Bab 1 - Aku, Amy

2.2K 152 30
                                    

AKU kecewa. Bukan dengan orang lain, tapi dengan diri sendiri. Kenapa selama ini aku tidak pernah sedar yang peperiksaan UPSR itu pintu awal untuk aku memasuki alam lain? Alam sekolah berasrama. Jauh daripada mak abah. Kenapa aku tak tahu? Dan, kenapa tidak ada seorang manusia pun yang nak ingatkan aku?

"Aku tak tahu yang kau pun berminat nak masuk asrama. Aku nampak kau selesa sekolah dekat sini."

Ya. Selesa. Selesa sangat. Aku tahu yang aku tak pandai macam kau, Zul. Tapi, aku juga tahu kalau aku berusaha, aku mampu capai apa yang aku nak. Kalau bukan straight A macam kau pun, mungkin lima A dan satu B. Cukup untuk aku ikut jejak kau ke sekolah berasrama.

Aku tidak mampu nak pamer senyum pada Zul. Zul ni sepupu aku. Dia pun kenal perangai aku macam mana. Kalau aku tak puas hati, memang aku tak sorok. Aku tunjuk depan-depan.

"Amy."

Aku pandang muka Zul.

"Maaf."

"Tak ada bendalah, Zul. Bukan rezeki aku."

Hanya lepas di mulut, bukan di hati. Hati aku masih rasa tidak puas. Bukan dengan Zul. Dia tak salah. Tapi dengan diri sendiri. Aku betul-betul nak pergi ke sekolah berasrama. Aku tahu, sekolah berasrama bukan sahaja tempat mengumpulkan pelajar cemerlang, tapi tempat menguji kemampuan diri untuk berdikari. Itu permulaan hidup.

Bukan tak boleh berdikari kalau di rumah. Boleh. Tapi, jenis aku, bila di hadapan mak abah, depan adik-beradik, memang aku tak suka tunjuk aku boleh buat. Aku sorok sisi baik aku. Aku hanya tunjuk sisi aku yang tak senonoh. Yang degil. Yang malas. Yang buat kerja tak semenggah. Ya, itu aku bila di hadapan keluarga aku. Tapi, aku tahu kalau aku jauh daripada keluarga, aku akan jadi diri aku yang lain.

Ah, Amylea. Semuanya dah lepas. Lain kali jangan tunjuk semua benda kau tak kisah. Kau tak nak ambil tahu. Kau main-main. Tak serius. Konon, nak hidup bersederhana. Selagi bernafas, buat apa nak terkejar-kejar. Buat apa nak jadi bagus. Chill sahaja. Hah, sekarang, kenapa kau gelabah sangat? Mana chill kau?

Hidup sederhana bukan bermakna kau tak perlu ada target dalam hidup. Tak perlu berusaha meningkatkan taraf hidup. Bukan hanya bersyukur dan statik tanpa menambah apa yang Tuhan dah beri. Sekurang-kurangnya, hiduplah dengan matlamat.

Selepas ini aku nak capai perkara ini. Dan, kalau nak capai perkara ini, aku perlu buat begitu begini. Hah, barulah kau boleh pergi lebih jauh! Barulah kau boleh merangka jalan hidup kau. Ini tidak. Hidup sederhana kau itu, umpama hidup seorang yang malas berusaha. Asal hidup. Asal bernafas. Bersyukur dengan apa yang ada tanpa nak susah payah mencapai yang lebih lagi. Kalau kau sudah benar selesa, sekurang-kurangnya, usahalah pula untuk ummah.

Suara itu.

Suara dari dalam kepala aku.

Membebel pada aku.

Heh, nasib baik aku tak nampak rupa. Hanya suara yang berkicau, menyemak dalam kepala aku. Kalau aku nampak, confirm aku bakar!

Aku tengah sedih, suara dalam kepala otak aku kecam aku gila-gila. Basuh aku bersungguh sampai tersiat kulit telinga. Penat aku dengar suara dalam otak aku membebel! Banganglah!

TIDAK dapat ke sekolah berasramalah yang membawa pertemuan aku dengan Lan. Aku sebenarnya sudah hilang memori pertama kali kita orang kenal. Tapi, budak Lan ini mati-mati kata aku dan dia pernah bersekolah bersama semasa tadika. Tadika tu, weh! Umur enam tahun. Mana aku nak ingat!

Lagipun dia ni aku rasa budak penyengap! Penyengap tu apa? Penyengap tu istilah bagi budak pendiam. Aku tak pernah pun perasan kelibat dia. Selalunya aku lebih mudah perasan kelibat budak nakal. Sebab budak nakal selalu kena denda dengan cikgu sewaktu perhimpunan. Memang muka yang sama dan nama yang sama yang akan diumumkan untuk berdiri di hadapan perhimpunan.

KAWAN (Completed)Where stories live. Discover now