Hujan dan Pelangi

233 22 1
                                    

       Rintik-rintik hujan yang turun   menghujani bumi semakin lama semakin lebat. Seorang remaja lelaki berseragam putih yang duduk sendirian di stesen bas teruja dengan kehadiran hujan.

   Tangan dihulur melepasi paras  atap stesen bas. Membiarkan titis-titis hujan membasahi tangan. Kenderaan bertali arus melalui jalan raya besar di hadapan. Semakin lama hujan semakin deras, namun dia masih juga begitu.

   Tidak cukup dengan satu tangan, dia melangkah keluar dari lindungan atap. Tangan didepakan seluasnya sambil wajah didongak memandang langit. Pakaiannya yang basah sudah tidak dipedulikan.

   Sebuah kereta berwarna hitam berhenti di tepi stesen bas. Pemandu kereta keluar bersama sebatang payung, yang juga berwarna hitam.

   Payung di tangan digunakan untuk memayungi lelaki berseragam sekolah tadi. Lelaki itu membuka mata apabila hujan tidak lagi terasa menyentuh tubuh.

   "Abang Man!" Riang dia menegur pemandu mereka itu. Azman hanya tersenyum dan mengiringi anak majikannya itu masuk ke dalam kereta. Begitulah dia setiap kali hujan turun.

    Sudah seringkali dipesan agar tidak bermain hujan, namun kebiasaannya itu tidak pernah  berubah. Makannya, pada malamnya pasti dia akan demam yang akan berlanjutan sampai beberapa hari.

  
    Iris menjenguk di sebalik pintu dapur. Melihat kalau-kalau Emir sudah sampai. Sudah lama dia menunggu kepulangan lelaki itu. Puan Suri yang sedang menyusun pinggan berisi lauk di atas meja memandang Iris.

   "Iris. Lain macam benar lagak kamu ni. Apa yang kamu buat terjenguk-jenguk kat pintu tu? " Puan Suri terus bertanya. Hairan dengan kelakuan anaknya.

   "Iris tengah tunggu abang Emir ni. Kenapa dia lambat balik ibu?" Puan Suri menggelengkan kepalanya. Sudah besar panjang pun masih juga nak mencari Emir.

    Walaupun Emir selalu membuat Iris menangis, Iris tidak pernah serik. Hairan dia dibuatnya. Selesai menghidangkan makan malam, Puan Suri meminta diri kepada bibik untuk pulang ke rumah. 

   Iris yang masih belum bertemu dengan Emir berkeras hendak menunggu lelaki itu, namun Puan Suri laju saja menariknya. Melihatkan hujan yang turun dengan lebat di luar, Puan Suri kerutkan dahi.

    "Iris ada bawa payung ke datang tadi? " Dipandang wajah cemberut Iris. Muncung sedepa anak itu ditarik geram. Asyik nak merajuk saja.

   "Apa ibu ni..." Iris menolak tangan Puan Suri. Dia berpeluk tubuh. Rasa geram Puan Suri bertambah. Tidak padan langsung dengan umurnya, masih lagi nak merajuk bagai.

   Oleh kerana mereka tidak membawa payung, mereka duduk menunggu hujan reda di beranda rumah. Iris yang kurang gemar dengan hujan menarik hujung baju Puan Suri.

   "Ibu, jom masuk." Rajuknya sudah hilang. Puan Suri pandang wajah anaknya dengan senyuman. Tahu benar dia yang Iris tidak suka melihat hujan. Kalau boleh, bunyi hujan pun dia tak nak dengar.

    "Tunggulah kejap lagi, pak su dah nak sampai tu." Puan Suri memandang jam di tangan. Kereta hitam milik keluarga itu memasuki perkarangan rumah. Tepat perkiraan Puan Suri.

   "Pak Su dah sampai tu. Jomlah." Iris memandang ke arah kereta teruja. Setelah kereta diparkirkan di garaj, sekujur tubuh lampai keluar dari sebelah tempat duduk pemandu.

    Melihatkan Emir, senyuman Iris terus melebar. Panggilan Azman untuk menunggunya mengambil payung tidak dihiraukan. Diredah saja hujan itu dengan riang sambil menghampiri beranda rumah.

    "Assalamualaikum ibu," Emir tayang senyuman manis buat Puan Suri. Puan Suri membalas salam itu sambil tersenyum. Lagi seorang anak yang tidak kena dengan umur, masih juga bermain dengan hujan.

My Stories [ Himpunan Cerpen ]Where stories live. Discover now