Mawar Putih III

221 26 13
                                    

   Terketar-ketar tangan Farha menekup mulut. Kejutan itu membuatkan lututnya lemah. Mengapa lelaki itu ada di situ? Adakah lelaki itu benar-benar suaminya?

   Namun apa yang membezakan mereka dengan jelas ialah, lelaki itu mengenakan sut kerja. Kemas sekali personalitinya ditambah dengan jam tangan Rolex yang mahal di pergelangan tangan kiri.

   Suaminya bukan begitu. Suaminya Wildan Iskandar hanya seorang nelayan yang hidup sederhana. Farha yang tidak mampu menahan gelora rasanya merasa pitam. Dia terus jatuh tidak sedarkan diri.

    Mendengarkan bunyi yang kuat, Wildan terus menoleh. Tubuh yang kaku di atas lantai terus dia hampiri. "Cik? " Tubuh itu digoyangkan. Tanpa menunggu lama, dia terus mengangkatnya ke sofa dan meluru keluar memanggil doktor.

   Farha terjaga dengan kepala yang memberat. Diperhati sekeliling yang tidak asing. Zana yang terlelap di sisinya terjaga dengan pergerakkan kecil Farha.

   "Kau dah bangun? " Mata Farha terlihat merah. Macam baru saja menangis. Farha pandang ruangan bilik persendirian itu. Hampir terlupa bagaimana dia boleh berada di situ.

   "Jom balik. " Farha menarik keluar IV drip yang dipasangkan kepadanya dan turun dari katil. Zana tidak mampu menghalang. Dia juga ingin keluar dari hospital itu secepatnya. Bukan setakat hospital itu, namun dia juga ingin cepat-cepat membawa Farha jauh dari tempat tersebut.

   Setelah memaklumkan kepada jururawat yang bertugas, Zana memerhati sekeliling. Bagaikan ingin mengelak dari seseorang, dia menarik lengan Farha terus menuju ke tempat parkir kereta.

    Farha hanya menuruti. Senja kian berlabuh. Pemandangan di luar tingkap kereta terlihat mempersonakan. Pantulan cahaya mentari petang menghiasi permukaan laut. Mendamaikan hati insan yang melihatnya.

   "Lepas ni kita terus kemas barang. " Zana bersuara mengisi kesunyian di antara mereka. Farha hanya diam. Pertemuan dengan Wildan tadi masih jelas di ingatan. Namun dia cuba menganggap itu hanyalah mimpi.

   Setelah menunaikan solat Isyak pada malam itu, mereka bergerak pulang ke rumah mereka. Sepatutnya mereka pulang pada hari ahad esoknya namun Farha tiba-tiba ingin pulang atas alasan ada kerja yang perlu disiapkan.

   Farha lebih suka meninggalkan tempat itu. Sekurang-kurangnya dia tidak terlalu merindui. Biarlah segalanya berlalu pergi. Hidup perlu diteruskan.

    Sudah sebulan berlalu semenjak percutian mereka, mereka kembali kepada kehidupan biasa. Zana yang duduk di beranda rumah sewa mereka termenung jauh memandang ke arah bangunan tinggi di hadapannya.

    Peristiwa sebulan lalu masih lagi meninggalkan kesan di hatinya. Pertemuan dengan Wildan setelah mendapat panggilan daripada lelaki itu melalui telefon Farha.

   "Tolong jangan bagitahu Farha apa-apa. Aku tak nak dia terluka. " Kata-kata egois lelaki itu membuatkan Zana merasa seperti ingin menampar wajah itu kuat. Apa dia tidak sedar perbuatannya selama ini sudah membuatkan Farha terluka?

   "Apa yang kau buat selama ni dah cukup buat dia terluka. Kau tak sedar ke? " Zana cuba menahan kemarahan yang sudah membuak di dadanya. Pandangannya tajam memandang wajah yang terlihat tenang itu.

   Wildan menarik nafas panjang. "Aku akan jumpa dia nanti. Tapi bukan sekarang. " Wildan mengurut pelipisnya. Zana tersenyum sinis.

   "Lebih baik kau jangan jumpa dia sampai bila-bila! Dia dah anggap kau mati Wildan. Sampai bila-bila pun kau jangan muncul depan dia. Kau tak tahu apa yang dia lalui sebab kau. Sakit dia. Perit dia. " Zana sudah tidak mampu menahan airmata.

   Airmata yang sudah jatuh di pipi dikesat. "Kalau kau tak nak Farha sakit, kau tolong jangan muncul depan dia lagi. Kau dah mati untuk dia Wildan. " Serentak mengatakan itu, Zana berlalu dengan deraian airmata.

   Dia menangis semahu-mahunya atas nasib yang menimpa Farha. Mengapa mereka sanggup memperlakukan sahabatnya begitu? Sedangkan haiwan juga punya perasaan, tergamak mereka memperlakukan Farha seperti insan tidak berperasaan.

    "Zana. Jom keluar dinner. " Farha memanggil dari sebalik pintu dengan senyuman nipis di bibir. Zana cuba meriangkan wajahnya.   

   "Jomlah. " Mereka selalu memasak di rumah namun kadang-kadang makan di luar jika tidak sempat memasak.

   "Pasal tawaran kerja ke Dubai tu, kau dah fikirkan? " Zana bertanya sementara menunggu pesanan mereka siap. Farha pandang jari- jemarinya.

   "Aku dah fikir dah. Aku rasa aku nak tolak. " Zana mengeluh mendengarkan jawapan Farha. Peluang itu bukan senang untuk diperolehi. Namun dia juga risau untuk membiarkan Farha pergi sendirian.

   "Kau betul tak nak pergi?" Farha angguk kepala yakin. Zana hanya mampu akur. Makanan mereka dihidangkan. Seperti biasa, Farha memesan makanan kegemarannya, semangkuk tomyam seafood dengan sepiring nasi putih.

   Dia mula menyuap nasi ke mulut dengan sopan. Suasana restoran bergema dengan nyanyian selamat ulang tahun dari satu sudut. Farha dan Zana menoleh ke arah itu. Tindakan drastik apabila mendengar keriuhan.

   Melihat akan keluarga itu, Farha terus memandang ke arah Zana. Masing-masing saling berpandangan. "Nak keluar? " Zana bertanya perlahan. Macam takut didengari oleh mereka walaupun kedudukan mereka agak jauh.

   Farha angguk kepala cepat-cepat. Zana memanggil pelayan restoran dan membisikkan sesuatu membuatkan pelayan itu kerutkan dahi. Tidak pernah-pernah pelanggan meminta untuk dibungkuskan makanan di restoran mereka.

   Namun dia hanya menurut. Setelah membungkus makanan mereka, Zana dan Farha cepat-cepat meninggalkan restoran itu. Tidak mahu terserempak dengan sesiapa di situ.

   "Hari jadi siapa harini? " Zana bertanya setelah mereka masuk ke dalam perut kereta. Farha tarik nafas perlahan sebelum menjawab.

   "Hari jadi Farhan. " Tenang dia menjawab. Zana kerut dahi. Dipandang tarikh hari itu di atas skrin telefon. Dahi ditepuk kuat. Senyumannya terus melebar memandang ke arah Farha.

   "Kau kenapa tak ingatkan aku! " Zana terus menampar bahu Farha. Tidak terlalu kuat dan tidak juga perlahan.

   "Aku pun lupa." Serentak mereka ketawa kuat. Sampai lupa akan tarikh pada hari itu kerana terlalu memikirkan hal kerja. Farhan dan Farha merupakan kembar, insan-insan di dalam restoran tadi merupakan keluarga Farha.

   "Jom kita celebrate. " Setelah membeli kek di secret recipe, mereka melepak di tepi tasik yang dipenuhi para pengunjung.

  Mujur ada sebuah pondok kosong sewaktu mereka tiba. Sambil makan, mereka bercerita tentang kenangan lalu sambil bergelak ketawa. Kini usia Farha sudah genap 28 tahun.

   Sehingga kini, dia sudah tidak punya kerisauan tentang hidup berkeluarga. Wajah Zana yang ceria dipandang dengan senyuman. Kek di atas meja dipotong sedikit dan disuap ke mulut kecil itu.

   "Kau bila nak kahwin?" Pertanyaan Farha membuatkan dia hampir menyembur keluar kek di dalam mulut. Bahu Farha dia tampar sekali lagi. Berbicara soal itu, dia juga tidak punya jawapan.

   "Awal lagi. " Zana cuba berselindung. Dia tidak memikirkan hal itu lagi semenjak melihat sendiri keadaan rumah tangga Farha. Lagipula, dia belum mahu meninggalkan Farha sendirian.

   "Kau dah ada kerja, kereta sendiri dan dah mampu untuk beli rumah sendiri, kau dah lupa apa kau cakap masa sekolah dulu? " Kata-kata Farha membuatkan Zana tersedak air mineral.

   Mengingatkan kenangan lalu sewaktu remaja, mereka sama-sama tergelak. Malam itu pelbagai cerita dikongsi. Banyak kenangan yang mereka cipta bersama. Dari kenangan menyedihkan sehinggalah kenangan memalukan dan membahagiakan, mereka kongsi bersama.

   Semoga persahabatan yang tercipta kekal selamanya.
  

.


  Ini bukan cerpen lagi ni. Tapi biarlah kan. Tunggu sampai part berapa cerita ini akan habis. 😂

My Stories [ Himpunan Cerpen ]Where stories live. Discover now