Cik Bunga II

285 18 1
                                    

   Laju langkah dihayun menuju ke bilik yang menempatkan ayahnya. Rasa risau menjenguk di jiwa. Bukan sekali dua ayahnya ditahan di hospital. Usia semakin meningkat, macam-macam penyakit yang menimpa.

   Menyerbu ke dalam bilik sakit persendirian itu, tubuh papa yang kaku dihampiri. Perlahan saja nafasnya dengan dibantu alat pernafasan. Sayu hatinya melihat keadaan itu.

   "Doktor cakap papa dah lepasi tahap kritikal, tapi pemantauan yang teliti masih perlu dijalankan. " Danial menerangkan. Dahlia menggenggam tangan ayahnya dan dikucup lembut.

   "Papa akan sembuh." Dahlia cuba menenangkan hati sendiri. Danial juga hanya mampu berdoa. Mereka berdua hanya mempunyai papa sebagai ibu dan ayah mereka semenjak kecil.

   Tidak terbayang kehidupan mereka tanpa papa. Azwina masuk ke dalam ruangan itu bersama anak mereka. Danial menyambut huluran buku daripada isterinya.

   "Ini buku papa. Papa minta abang bagi pada Dahlia. " Dahlia memandang buku tebal berkulit biru tua itu sebelum menyambutnya. Dia tahu itu buku diari papa.

   "Mungkin ada sesuatu yang papa nak bagitahu pada Lea." Dahlia menyelak helaian terakhir pada buku itu. Satu penulisan yang masih baru terpampang di situ.

   Sepertinya itu surat yang ditujukan khas untuk Dahlia. Membaca kata-kata yang terpahat pada halaman itu, airmata Dahlia jatuh ke pipi.

   Kenangan masa lalu kembali ke fikiran. Sewaktu usianya 18 tahun, perbualan dengan papa itu tidak pernah dia lupakan.

   "Nanti kalau Lea dah kahwin, Lea kena tinggal dengan suami Lea. Dah tak boleh lagi nak berkepit dengan papa selalu. " Kata-kata papanya itu membuatkan Dahlia mengeratkan pelukannya pada tubuh papa yang agak gempal.

   "Kalau macam tu, Lea tak nak kahwinlah. Lea nak tinggal dengan papa sampai bila-bila." Mengatakan itu, Dahlia tidak bermain-main, dia memaksudkannya.

   "Mana boleh macam tu, nanti kalau papa dah tak ada siapa yang nak jaga Lea? Lea tak boleh sendiri. Kalau boleh sebelum papa pergi papa nak tengok anak papa kahwin. Baru tenang hati papa. "

   Kata-kata papa itu masih segar di ingatan. Namun di usianya yang sudah 27 tahun itu, Dahlia masih belum berkahwin. Bukan kerana tiada yang datang membawa lamaran, namun semuanya dia tolak atas alasan belum bersedia.

   Surat papa di helaian terakhir diarinya itu benar-benar membuatkan dia tersentuh. Jauh di sudut hati, dia rasa sedikit sesalan kerana membuatkan papanya tidak tenang.

   "Maafkan Lea, papa... " Dahlia mengucup tangan papa dengan juraian airmata. Dia belum bersedia untuk melepaskan papa pergi.

  
   Darren mengetuk-ngetuk meja kerjanya dengan hujung jari. Sudah hampir dua minggu kedai bunga ditutup. Rasa risaunya muncul buat cik bunga. Mungkinkah ada sesuatu yang terjadi kepadanya?

   "Darren, jomlah turun lunch. Kau menung apa lagi ni?" Teman sekerjanya Haqel menegur. Darren terus menyarung sut hitamnya dan mengekori langkah Haqel meninggalkan tingkat pejabat mereka.

   "Kau rasa kan, kalau pekedai bunga tinggalkan kedai dia berminggu, apa sebab dia? " Darren bertanya kepada Haqel sewaktu menunggu lift. Haqel berfikir sejenak.

   Masuk ke dalam perut lift, Haqel menekan butang ke tempat meletak kereta.

    "Pekedai bunga ya? Kalau ditinggalkan berminggu tiba-tiba, mungkin ada kecemasan. Mungkin masalah keluarga ataupun dia terlibat kemalangan." Haqel memberi penerangan yang masuk akal.

   "Bukan sebab nak kahwin kan?" Darren cuba mengetengahkan buah fikirannya. Haqel geleng kepala.

    "Aku rasa tak. Sebab kalau kahwin, mesti dia dah rancang dari awal. Kalau tutup macam tu saja, sayanglah kat bunga-bunga dia. Kalau dia dah rancang awal mesti bunga dia dijual habis dulu." Darren mengangguk mengiyakan.

My Stories [ Himpunan Cerpen ]Where stories live. Discover now