Peluang Pertama

407 30 11
                                    

Melangkah melewati koridor hospital yang lengang, kot putih tersarung kemas di tubuh. Stetoskop juga kemas tergantung pada leher. Beberapa orang jururawat yang berpapasan dengannya tersenyum melihatnya.

Masuk ke dalam sebuah bilik sakit persendirian, seorang lelaki yang terbaring di atas katil kelihatan lena. Tidak mahu mengganggu lelaki itu, dia mengeluarkan ubat dari laci meja di sebelah katil.

Beberapa biji ubat dikeluarkan dari botolnya dan diletakkan di atas satu piring kecil khas. Semua ubat itu perlu dimakan sekali pada waktu yang ditetapkan. Setelah menyusun ubat itu dengan cantik, dia menuang air ke dalam gelas yang sememangnya disediakan untuk ruangan itu.

Lelaki yang masih lena di atas katil dikejutkan. "Masa untuk makan ubat... " Dia bersuara perlahan namun cukup untuk mereka berdua dengari setelah lelaki itu membukakan matanya. Lelaki itu beristighfar panjang lalu terus turun dari katil.

"Apa yang Ura buat ni? Tadi kata nak duduk baca buku je. Ni kenapa pakai kot abang ni?" Hadiff menarik kot putihnya dari tubuh Haura dan memakainya. Stetoskop di leher diletakkan di dalam poket kot.

Pakaian pesakit yang membaluti tubuh Haura kini jelas. Haura hanya tersenyum manis. Kembali ke tempatnya, di atas katil, Hadiff membantunya untuk memakan ubat.

"Abang dah tak penat lagi kan? " Haura bertanya dengan senyuman yang lebar. Hadiff senyum.

"Tak penat dah. Lama abang rehat tadi. Ura pergi mana tadi? " Hadiff mengusap kepala adiknya perlahan. Pandangannya penuh perhatian. Haura yang suka diusap kepala memegang tangan Hadiff yang menapak di atas kepalanya yang berbalut tudung nipis.

Kepalanya yang botak itu terasa kosong saja. "Ura jalan-jalan kat koridor je. " Haura menjawab sedikit tidak jujur. Sebenarnya dia pergi ke tempat lain.

"Lain kali jangan merayau lagi. Dah kali ke berapa Ura keluar dengan kot abang ni? Jangan sampai Ura tukar tempat abang rawat pesakit pula. " Hadiff memberi amaran halus. Haura hanya mampu tergelak kecil.

"Ura tak janji. " Haura berbaring di atas katil apabila rasa mengantuk mulai menguasainya. Kesan daripada ubat-ubatan yang dia ambil sebentar tadi.

Hadiff hanya mampu gelengkan kepala. Diselimuti tubuh kecil Haura. Mata Haura perlahan-lahan tertutup. Detak jantungnya mulai perlahan sebelum akhirnya dia betul-betul terlena.

Suasana ruangan kecemasan hospital sememangnya tidak pernah aman. Pelbagai jenis pesakit keluar dan masuk. Hadiff yang merupakan salah seorang doktor yang ditugaskan di bahagian itu tergesa-gesa memulakan tugasnya.

Walaupun sebenarnya dia sudah lari sekejap untuk tidur selama lebih kurang 15 minit di bilik adiknya. Situasi di ruang kecemasan agak riuh memandangkan baru saja berlaku kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah bas ekspress.

Tidak cukup tangan staf di bahagian itu menerima pesakit kecemasan. Mujur masing-masing sudah mahir di dalam bidang tugas masing-masing.

Beberapa orang petugas kecemasan menolak katil beroda di mana seorang lelaki berusia lewat 20-an terbaring dengan pakaian berlumuran darah. Salah satu kes yang tidak asing lagi di ruangan itu.

Kesan kelaran pada lengannya menjelaskan segalanya. Mungkin saja mereka boleh menyelamatkan nyawa remaja lelaki itu, sebelumnya, dan mungkin pada masa akan datang. Namun hanya dia yang boleh menyelamatkan dirinya sendiri.

My Stories [ Himpunan Cerpen ]Where stories live. Discover now