Prolog

1.4K 108 27
                                    

"Manusia tak pernah berhenti mencari kesempurnaan. Umpama cuba memiliki matahari." - Naraki

_________________________________________

TANAH Lama, sebuah negara yang paling awal berkembang dan bertamadun. Negara itu sangat teguh dari segala segi; ekonomi, tentera, teknologi serta kepakaran manusia.

Segalanya terlihat sempurna di Tanah Lama. Namun pada pada tahun 4400, satu organisasi telah ditubuhkan. Unit Mikrobiologi Rasmi Antarabangsa atau UMBRA, sebuah badan yang menjalankan penyelidikan dengan motto 'Kesejahteraan manusia, Masa depan kita'.

Mereka menghasilkan ubat-ubat dan vaksin-vaksin baru untuk melawan penyakit, juga produk-produk serta prosedur kosmetik. Badan ini merupakan hasil kerjasama hampir semua negara.

Namun, semua itu hanyalah satu persembahan di atas pentas. Di belakang tabir, misi utama mereka adalah untuk mencipta tentera yang luar biasa. Umum juga tidak mengetahui bahawa program sulit tersebut dibiayai dan disokong oleh pihak kerajaan Tanah Lama sendiri.

Tiga tahun selepas ia beroperasi, 50 subjek telah dipilih untuk menjadi tikus makmal bagi sebuah eksperimen yang dinamakan 'Projek Paragon'.

Ujikaji tersebut berhasil. Namun dalam masa kurang dari setahun, banyak yang telah meninggal kerana tubuh mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan perubahan badan yang melampau.

9 orang subjek ujikaji yang berjaya hidup daripada Projek Paragon itu digelar 'Parabrid'. Mereka ini dilabelkan sebagai generasi pertama atau Gen 1.

Ternyata Parabrid lebih baik daripada manusia biasa dari segi fizikal dan mental. Masing-masing memiliki kelebihan yang berbeza. Semua mereka akan sembuh dari penyakit dengan cepat. Kadar regenerasi sel mereka yang pantas juga menyebabkan jangka hayat mereka lebih lama.

Teruja dengan keberkesanan projek itu, UMBRA meneruskan fasa seterusnya, 'Projek Paragon II'. Mereka mahukan Parabrid yang lebih tahan lasak dan mempunyai lebih banyak kekuatan dalam bidang tempur.

Enam tahun selepas projek pertama itu, 100 orang subjek lagi telah diuji. Kali ini ada yang semuda 10 tahun. Eksperimen yang dijalankan semakin giat.

Akhirnya, lebih kurang 60 orang Parabrid berjaya bertahan dengan segala 'seksaan' di makmal itu. Dari itu, terhasillah Parabrid Gen 2.

Kesemua Parabrid telah dilatih di dalam sebuah kem rahsia di bawah tanah. Apabila mereka telah bersedia, mereka diberikan pelbagai misi untuk menguji kebolehan mereka.

Tetapi, UMBRA masih tidak berpuas hati. Parabrid Gen 1 dan 2 dilihat masih mempunyai had kemampuan.

Seperti manusia, mereka masih memerlukan rehat, makan dan minum. Mereka mula mengingkari arahan jika kehendak mereka tidak dapat dipenuhi. Malah, ada di antara mereka yang mula menjalinkan hubungan, berkahwin dan berkeluarga.

Hal ini sangat tidak disenangi oleh UMBRA kerana ia sudah tentu akan menganggu misi-misi mereka.

UMBRA mahukan lebih lagi. Mereka ingin mencipta Parabrid yang lebih baik daripada generasi sebelumnya. Mereka impikan Parabrid yang lebih hebat serta mudah untuk dikawal.

Pada tahun 4412, saintis-saintis UMBRA mula bereksperimen dengan subjek-subjek yang seterusnya. Maka, 'Projek Paragon III' dilancarkan.

Kali ini, kanak-kanak dalam lingkungan 8 hingga 12 tahun telah dipilih. Lebih muda, maka lebih banyak masa dan ruang untuk mengembangkan potensi mereka sepenuhnya.

72 orang kanak-kanak berjaya dalam eksperimen tersebut. Parabrid Gen 3 mempunyai kekuatan dan stamina yang lebih tinggi. Mereka boleh hidup tanpa makan selama berhari-hari, dan masih mempunyai kekuatan untuk bertempur.

Seperti generasi lain, mereka telah dilatih secara terancang bagi membangkitkan kuasa masing-masing ke tahap yang maksimum. Mereka juga dimandulkan.

Walaupun begitu, lama-kelamaan eksperimen ini menunjukkan kelemahannya.

Gen 3 amat handal, tetapi mereka tidak begitu stabil seperti generasi sebelumnya akibat beberapa komplikasi. Mereka lebih agresif, kadangkala tidak dapat mengawal emosi dan tindak tanduk sendiri, juga telah beberapa kali merosakkan misi-misi yang diberikan.

Keadaan ini akhirnya membuka rahsia kewujudan mereka pada umum.

Saintis-saintis UMBRA tahu yang mereka telah melakukan kesilapan.

Tujuh tahun selepas Projek Paragon III, UMBRA mula merancang untuk mencipta Parabrid yang sempurna, iaitu yang mempunyai kesemua trait terbaik daripada kesemua generasi Parabrid. Mereka mahu menebus kesilapan mereka.

Namun ujikaji tersebut tergendala apabila berlakunya pembelotan oleh ahli-ahli UMBRA sendiri, diikuti dengan pemberontakan oleh kebangkitan rakyat Tanah Lama yang telah mengetahui tentang organisasi rahsia tersebut. Rakyat mula berasa terancam dengan kehadiran 'spesis baru' yang digelar Parabrid itu.

Bermula dari peristiwa itu, satu perperangan besar tercetus. Parabrid-Parabrid dan askar-askar telah dikerahkan untuk berlawan dengan pembelot-pembelot serta semua pemberontak. Terlalu banyak kerosakan yang dilakukan oleh Parabrid.

Pergelutan antara Parabrid, rakyat, dan pihak kerajaan telah membawa peperangan tersebut ke tahap kemuncak.

Pada tahun 4424, peperangan tersebut akhirnya telah menyebabkan kejatuhan UMBRA serta kerosakan yang teruk, termasuklah di stesen-stesen nuklear.

Radiasi yang merebak dengan tidak terkawal telah menyebabkan penghijrahan secara besar-besaran meninggalkan negara itu. Tanah Lama akhirnya telah menjadi padang jarak padang terkukur.

Saat ini, Parabrid dilihat sebagai ciptaan yang menakutkan. Hal ini telah memaksa Kerajaan Empayar Barat untuk campur tangan bagi menyelesaikan krisis tersebut sebelum ia merebak ke negara mereka.

Setelah menghadapi banyak perbalahan dan rundingan dengan negara-negara yang lain, akhirnya kata sepakat diambil. Semua Parabrid diminta menandatangani perjanjian perdamaian dengan kerajaan Empayar Barat, dan jika mereka enggan bekerjasama, maka mereka akan dihapuskan.

Peperangan tersebut meninggalkan banyak kesakitan dan penderitaan.

Kini, Empayar Barat telah menggantikan Tanah lama dan menjadi sebuah negara gergasi yang maju. Ia menjadi nadi utama kepada negara-negara yang lain.

Parabrid semakin berkurangan. Separuh daripada mereka yang tidak mahu menjadi tali barut kerajaan terpaksa bersembunyi dan menyamar di kalangan manusia lain untuk meneruskan hidup.

Saki-baki mereka masih diburu hingga ke hari ini. 

PARAGONWhere stories live. Discover now