WCC | 1

3.4K 171 31
                                    


Demi menutup satu kebenaran, satu nyawa perlu digadaikan.

◾◾◾◾◾

KUALA LUMPUR : Kurang 20 jam, polis dan ejen CCID percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan seorang lelaki yang ditemui mati dengan sedas tembakan di dahi di sebuah rumah di Jalan Taman Melati di sini, awal pagi tadi, di mana ada kaitan dengan kes penahanan Dato' Aaron Alban tiga minggu lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Saiful Nizam, berkata siasatan ke atas 5 individu termasuk dua wanita yang ditahan susulan kejadian membawa kepada penyelesaian siasatan kes itu dalam tempoh yang singkat.

"Daripada 5 suspek berusia 30 hingga 59 tahun yang ditahan itu termasuklah suspek utama yang juga merupakan rakan sekerja kepada mangsa di mana pembunuhan itu berlaku.

"Siasatan ke atas lelaki berusia 34 tahun yang pada mulanya melaporkan kejadian itu dengan mendakwa mangsa menembak dirinya sendiri mendapati dia adalah suspek utama," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Bagaimanapun, katanya pihak polis masih mengumpulkan segala bukti dan keterangan bagi melengkapkan siasatan serta motif sebenar pembunuhan itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa yang hanya dikenali sebagai Aidid berusia 39 tahun dan berasal dari Jalan Taman Melati di sini, ditemui terbaring di tingkat 3 rumah terbabit dalam keadaan lengkap berpakaian baju Melayu putih serta bersongkok dengan sepucuk pistol di tangan kanannya.

Terdahulu, suspek datang ke rumah mangsa kira-kira jam 12 tengah malam untuk menghadiri satu perjumpaan bersama 5 individu lain, termasuk suspek di kediaman rumah teres setingkat yang diubah suai menjadi tiga tingkat itu.

Pada kira-kira jam 3 pagi, suspek mendakwa terdengar bunyi letupan di tingkat tiga yang dijadikan ruang rehat sebelum menemui mangsa dalam keadaan terbaring.

Suspek mendakwa ketika bunyi letupan, dia yang berada di tingkat bawah bergegas naik ke tingkat tiga dan menemui mangsa terbaring berlumuran darah dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan sepucuk pistol berada di tangan.

Suspek yang bekerja sebagai akauntan itu kemudian membuat laporan polis dan mendakwa mangsa menembak dirinya sendiri.

Namun siasatan yang dijalankan pasukan forensik di tempat kejadian mengesahkan wujud keraguan dalam kematian si mati yang dikatakan membunuh diri.

Polis kemudian mengambil sampel untuk ujian sisa tembakan (GSR) ke atasnya serta 5 individu lain yang berada di rumah itu ketika kejadian. Mereka kemudian ditahan bersama dua wanita iaitu isteri suspek serta pembantu rumah mangsa.

White Collar Crime [C]Where stories live. Discover now