BAB 14

1.6K 86 1
                                    

WANITA yang berdiri tegak dalam cermin itu, Maya tenung lama. Tubuh tinggi lampainya tersarung dengan persalinan dres dari kain chiffon, warna pic lembut, sampai ke takat bawah lutut. Rambut pendeknya, dirapikan kemas. Wajah berhias dengan sentuhan mekap. Wanita yang selalunya ringkas dengan t-shirt dan seluar lusuh, rambut pendek serabai dan wajah pucat tanpa mekap, entah hilang ke mana. Yang tertinggal cuma, wanita dengan dres cantik.

Semakin Maya tatap wanita itu, semakin bergenang kolam matanya. Dia jadi teringat kepada dirinya yang dahulu. Sebelum dia terperangkap dalam dunia bawah tanah yang berselirat ini.

Sebelum dia jadi Maya.

Jari telunjuk dibawa ke bawah mata, menahan titik-titik jernih yang mahu gugur. Nafas digali dalam-dalam. Sesudah itu, Maya pusing badan. Meninggalkan cermin yang memapar wanita tadi. Langkah diayun tertib hingga melepasi daun pintu, masuk ke ruang tamu dan akhirnya berhenti di tengah-tengah. Tidak jauh daripada susuk tubuh yang sedang duduk menanti di sofa.

Maya tiba-tiba rasa tidak pasti. Setahun tidak berpakaian seperti ini, rasa yakinnya sudah terlempar masuk gaung. Dia gigit bawah bibir. Jari-jemari dikepal kemas. Kaki pula dikuis-kuis atas lantai. Kepalanya langsung tidak diangkat. Dadanya berdebar kuat, menunggu apa-apa yang mungkin terpancul keluar dari mulut lelaki yang tidak jauh daripadanya itu.

"Kau nampak...cantik."

Hujung telinganya mendengar pujian yang tercetus. Senyuman kecil dan-dan tersimpul di birai bibir. Namun Maya tetap berpura-pura tidak mendengar. Kepalanya setia menekur. Seketika kemudian, bunyi derap tapak kaki mula berkumandang. Sedikit-sedikit hingga akhirnya dia dapat melihat sepasang kasut hitam yang muncul dari bawah pandangan mata. Betul-betul berdiri di hadapan plumshoes yang tersarung di kakinya sendiri. Air liurnya ditelan sekali, sebelum Maya akhirnya memanggung muka. Terserlah di hadapannya wajah macho dan maskulin Ryu yang seperti selalu, serius tanpa senyum. Elok menyarung kemeja putih yang diselit celah pinggang. Jeans biru menyerlahkan kaki panjang. Lengan baju pula dilipat hingga siku, menampakkan urat jantan yang kekar. Ada beberapa parut di situ.

"Jom."

Ryu melontar sepatah kata. Tubuh dipusing membelakangi. Maya angkat kaki dan membuntuti. Hanya untuk berhenti betul-betul depan pintu yang sudah terbuka. Telapak tangannya tiba-tiba rasa berpeluh. Tubuh bergetar tanpa dapat dihalang. Pelbagai memori berderu-deru masuk dalam otak. Jantungnya mula sesak. Nafas terasa sangat sukar untuk ditarik dan dihembus. Perlahan-lahan, tubuh Maya melurut ke bawah, mencangkung atas lantai. Tangan mencengkam dada. Kuat bersama nafas yang cuba ditarik masuk.

Kau dah kenapa, Maya? Hari tu elok saja kau keluar. Maya soal diri sendiri. Tiada jawapan, kecuali bunyi derap kaki yang muncul semula. Lambat-lambat, Maya dongak kepala. Berbalam-balam matanya melihat susuk tubuh tinggi itu. Sedang elok menghulur tangan kepadanya.

Maya tidak terus menyambut. Dia sekadar melihat. Ryu setia menanti. Tidak mengata apa-apa. Hanya diam dengan tangan yang masih kaku di udara.

Sedikit-sedikit, Maya angkat tangan. Baru sahaja jari-jemarinya ingin menyentuh jari-jemari Ryu, lelaki itu lebih dahulu menangkap tangannya dan menarik Maya ke atas. Sekelip mata sahaja, Maya sudah pun tersadai dalam rangkulan Ryu. Sebelah lagi tangan lelaki itu elok melekap di belakang pinggang Maya. Renungan tajam penuh tersirat.

Maya telan liur.

"Kau lambat."

Ryu bertutur senada. Tubuh Maya ditolak dari pelukan dan digerak menghadap pintu. Ryu memposisi badan di sebelah. Sesaat kemudian, jari-jemari Maya bertaut dengan jari-jemari kasar Ryu. Saling bersilang. Kemas.

I'M NOT A MONSTER (Published)Where stories live. Discover now