BAB 7

1.7K 98 1
                                    

GILA.

Hanya itu perkataan yang cocok untuk menggambarkan apa yang sudah dia putuskan. Dia, Ishikawa Ryu sudah membenarkan seorang perempuan masuk ke dalam kehidupannya. Padahal selama ini, dia sudah tanamkan dalam dirinya bahawa perempuan adalah ancaman. Sebesar-besar ancaman!

Bukan kepada Ishikawa Ryu, Red Dragon atau kumpulan kongsi gelap sahaja. Malahan kepada seluruh organisasi jenayah terancang yang lain dalam dunia. Kalau tidak, masakan wujud salah satu rukun dalam organisasi mafia Sicily yang berbunyi, "Adalah satu kewajipan bagi setiap ahli untuk menghadirkan diri di sisi Cosa Nostra, walaupun pada ketika isteri akan melahirkan anak." Begitu juga dengan yakuza. Setiap lelaki yakuza tidak boleh mempunyai rasa yang rapat terhadap mana-mana perempuan. Itu dianggap sebagai kelemahan. Boleh membawa kepada segala kehancuran.

Itu kuasa wanita. Dan Ryu benar-benar tahu itu. Kerana itulah, dia tidak pernah membenarkan mana-mana perempuan menghampiri. Kalau setakat melepas nafsu, dia tidak kisah. Dunianya dikelilingi oleh wanita-wanita yang sanggup melempar diri ke kakinya. Tetapi Maya bukan wanita seperti itu. Maya bukan untuk diratah sesuka hati. Justeru, apa yang sudah dia buat? Apa yang sudah dia putuskan?

Huh, makin dia memikirkannya, makin gila otaknya.

Tuk...tuk...tuk...

Ryu kerling ke arah pintu yang diketuk dari luar. Sesaat cuma. Pandangan dibawa ke hadapan semula. Menghadap pemandangan tasik Nam Van di luar jendela pejabat. Kot yang membaluti tubuh, dikemaskan sebelum dia berpaling.

"Masuk." Tegas arahan yang diberi. Kaki diayun mendekati set sofa di tengah-tengah pejabat. Pungggung dilabuhkan di sofa paling hadapan. Tubuh bersandar tegak. Setentang dengan logo Ming Construction Materials (MCM). Kaki duduk menyilang. Mata menyambut kemunculan tiga susuk tubuh. Dua anak buah dan seorang lelaki yang tampak takut-takut.

Ryu senyum sipi. Apalah yang nak ditakutkan sangat dengan dia? Bukan dia makan orang pun.

"Dai...dai lo..."

Tengok! Bukan main menggeletar suaranya. Ryu angkat sebelah kening, memberi isyarat agar sang lelaki penakut mengambil tempat duduk di sebelah. Matanya meliar ke kiri kanan. Jelas ragu-ragu.

"Aku jemput kau duduk. Tapi nampaknya, kau tak nak." Ryu buka mulut. Sangat mendatar.

Secepat kilat, lelaki itu menjatuhkan punggung di sofa sebelah. Ryu melirik kepadanya sekilas. Muka pucat lesi. Peluh membasahi dahi. Jari-jemari tidak habis-habis dikepal. Kakinya juga tidak boleh duduk diam. Digerak tidak tentu hala.

Ryu ambil kotak tisu yang terletak atas meja, menarik sehelai tisu dan menghulurkannya kepada lelaki itu. Berkerut mukanya memandang. Bingung sekali.

"Lap dahi kau. Bilik ni bukan panas pun."

Teragak-agak, lelaki itu menyambut. Tangannya kelam-kabut mengelap muka sendiri. Ryu kembali menyandar belakang ke sofa. Mata tajam merenung. Lelaki di sisi langsung tidak berani menentang pandangan. Masih beriya mengelap muka, padahal Ryu boleh nampak betapa wajahnya sudah mengering.

"Kau..."

"Ya, dai-lo!" Laju lelaki itu menyahut. Terlebih kuat. Tubuh automatik tegak. Tisu juga sudah terlempar entah ke mana.

"Nama kau Xiao-ping, kan?"

"Ya...ya, dai-lo."

"Hmm, ketenangan kecil." Ryu menyebut maksud namanya.

"Ya."

"Jadi..."

Ryu lembutkan riak wajah. Siap dengan bibir yang lebar mengulum senyum. Muka lelaki bernama Xiao-ping bertambah pucat.

I'M NOT A MONSTER (Published)Where stories live. Discover now