BAB 2

2.5K 126 14
                                    

"MANA dia?"

"Aku tak tahu."

"Aku yakin dia masuk sini tadi."

Suara yang bersahut-sahutan itu, kedengaran sipi-sipi sahaja di telinga Ryu. Dia masih pegun dengan seorang gadis yang dihimpit rapat. Saling bertatapan. Saling terpanar. Atau mungkin dia seorang yang tergamam, kerana mata di hadapannya kelihatan kosong benar.

Mati daripada secalit emosi.

"Jahanam!"

Carutan bergema. Berbunyi agak dekat. Menyedari seteru yang semakin menghampiri, Ryu meletak jari telunjuk ke mulut dan berbisik.

"Aku akan lepaskan kau. Tapi jangan menjerit."

Hanya kerlipan mata yang jadi jawapan. Lambat-lambat, Ryu menjatuhkan tangan. Dia menjangkakan bakal menerima jeritan. Namun yang keluar dari mulut mungil itu cuma desah nafas yang berat. Tiada jeritan. Tiada laungan. Bahkan, tiada rontaan.

"Jangan keluar." Ryu menjatuhkan arahan seraya mengundur diri. Kemudian, dia memusing badan dan berjalan ke hujung lorong. Langkah yang tadi pincang, cuba dibetulkan. Tubuh yang masih mencucuk-cucuk sakit, cuba diabaikan. Sampai di situ, dia berhenti sekejap dan mengerling ke belakang.

Kepada gadis yang masih tersandar kaku di dinding.

"Ishikawa Ryu."

Ryu melarikan semula anak mata ke hadapan. Kelihatan salah seorang konco Bloody Tiger tidak jauh daripadanya. Berdarah-darah, serupa dengannya. Di belakangnya pula, berbaris empat orang lelaki.

Lima lawan satu. Huh, bagus!

Sedikit-sedikit, Ryu membawa kaki dan tangan kanannya ke hadapan. Membentuk posisi bersedia menerima apa-apa yang bakal mendatang. Kepala tegak penuh keangkuhan. Mata tajam mencabar. Jari-jemarinya digerak-gerak, memanggil mereka masuk.

Lelaki di hadapan menjeling ke belakang. Lelaki di belakang saling berpandangan. Berwajah gementar.

Ryu senyum sekejap. Sinis. Kemudian...

"Arghhh!!!"

Mereka masuk menyerang. Segala keheningan di lorong kecil itu lenyap terus. Pekikan dan carutan berbunyi dalam kekalutan. Berselit dengan bunyi erangan manusia. Semuanya menerima 'hadiah' daripada Ishikawa Ryu.

Walau dengan kecederaan di tubuh, gerak laku Ryu tetap tangkas, padu, dan tepat mengenai sasaran. Tangannya bergilir-gilir menumbuk dan menghentak konco Bloody Tiger yang serentak menyerang. Kakinya sekejap menendang, sekejap melompat. Sesekali, melibas pergelangan kaki sang lawan hingga tersungkur atas jalan. Ryu menyudahkan serangan dengan menghentak dada lawannya dengan siku. Raungan bergema kuat. Telinganya jelas mendengar bunyi patah tulang rusuk.

Selang beberapa ketika, Ryu berhenti. Dia tercungap-cungap menarik dan menghembus nafas. Tegak berdiri di tengah-tengah lima manusia yang sudah bergelimpangan di sekeliling. Masing-masing mengerekot menahan sakit.

Ryu membawa sebelah tangan ke dada. Perit! Dahinya berkerunyut menahan rasa. Mulut yang terasa penuh, diludah isinya. Melekat liur atas jalan. Bercampur darah.

Sesudah itu, dia menyeret kaki. Terumbang-ambing menuju celah lorong tadi. Semakin dia mendekat, semakin dahinya berlapis. Anak mata mula melingas ke kiri kanan. Cuba mencari kelibat gadis yang sudah hilang dari tempat dia ditinggalkan. Dari celah-celah samar cahaya bulan, pandangan Ryu akhirnya melekat kepada belakang tubuh seseorang. Sedang berjalan sambil menampung dinding. Perlahan dan agak terhuyung-hayang. Seperti menanti saat untuk jatuh menyembah bumi.

I'M NOT A MONSTER (Published)Where stories live. Discover now