BAB 3

1.8K 107 18
                                    

JEDA.

Ryu di hadapan cermin. Gadis di belakangnya. Saling bertentang mata melalui pantulan. Tiada suara. Tiada kata. Tetapi Ryu dapat merasai ketegangan yang memenuhi segenap bilik. Sangat tegang hinggakan bulu tengkuknya seakan-akan menegak. Kerana apa, Ryu tidak tahu. Namun itulah yang sedang berlaku.

Dia yang tidak reti takut, boleh meremang bulu roma hanya kerana mata seorang perempuan.

Tidak mahu terus-terus terpasung dalam mata itu, Ryu mengangkat punggung dan memusing badan. Tercegat berdiri menghadap gadis atas katilnya. Masih mencerlung tanpa suara.

Setapak demi setapak dia berjalan ke hadapan. Semakin dia mendekat, semakin terdongak kepala gadis. Semakin juga dia dapat melihat ke dalam mata itu. Ada mutiara jernih yang bertakung. Menanti saat untuk tumpah. Bukan setakat itu. Bibir gadis juga terketar-ketar. Sebelah tangan mencengkam cadar. Kuat hinggakan Ryu dapat melihat urat darah yang timbul di tangan putihnya.

Gadis sedang menahan perasaan!

"Kau..." Suara Ryu terhenti di sekerat jalan. Kali ini, ditenggelamkan oleh setitik air mata yang menitis di pipi gadis. Secepat itu juga, gadis menyekanya. Mata masih merenung. Seakan-akan mahu mengatakan sesuatu, tetapi sesuatu itu tersekat di celah kerongkong.

Yang pasti, sesuatu itu bukanlah sesuatu yang menyenangkan. Kalau tidak, masakan renungannya sebegitu rupa?

Penuh kebencian.

Hati Ryu tiba-tiba terasa panas. Tidak gemar sungguh dia dengan pandangan itu. Seolah-olah dia ialah manusia paling jahat yang sudah menghancurkan seluruh kehidupan gadis.

Ya, dia akui. Dia memang manusia jahat. Tetapi dia tidak pernah mengapa-apakan perempuan ini. Dia tidak kenal pun siapa perempuan ini!

Tengkuk Ryu terasa semakin terik. Jantung semakin dipam-pam amarah. Lalu, dia menapak lebih dekat dan menundukkan muka. Perlahan-lahan. Gadis sedikit pun tidak beralih. Seperti sengaja menanti. Akhirnya mereka selamat setentang.

Mata bertemu mata. Hidung hampir menyentuh. Desah nafas bagaikan bersatu dalam hembusan yang sama.

"Kalau kau fikir aku dah apa-apakan kau, kau boleh buang fikiran tu jauh-jauh. Aku tak ada keinginan untuk perempuan yang tidak sedarkan diri." Ryu menggumam keras. Hanya itu yang terfikir dalam mindanya sekarang.

Dia lelaki. Tanpa baju. Gadis atas katilnya. Bukankah itu perkara normal yang mungkin terlintas dalam fikiran seorang perempuan?

Mungkin tidak perempuan ini. Kerana gadis kekal dengan muka tanpa riak. Masih bersabung mata dengannya. Masih tidak tergugat.

Dan-dan, Ryu rasa tercabar. Dia yang selama ini digeruni, kini dipandang sebelah mata oleh seorang perempuan?

Ini tidak boleh jadi!

Terus, Ryu menarik leher gadis. Desah nafasnya terhembus kuat. Mata bulat memandang bibir Ryu yang cuma tinggal beberapa inci jauh daripada bibirnya.

Ryu menyengetkan mulut. Mata sengaja dilirik kepada gadis.

"Mungkin memang itu yang patut aku buat," bisiknya senada. Wajah didekatkan lagi...dan lagi...dan lagi...dan...

Terhenti. Saat dua bibir hampir menyentuh.

Ryu mengangkat pandangan. Dari bibir gadis ke matanya. Mata yang kini terkatup. Mata yang kini menitiskan tangisan. Bukan setitik dua. Bahkan, bercucuran lebat. Sangat lebat!

Sedikit demi sedikit, Ryu menjauhkan kepala. Tatapan mata tidak dilarikan. Tangan di leher gadis juga tidak dijatuhkan ke bawah. Sebaliknya, tangan itu mula bergerak. Dari leher gadis, naik ke pipinya.

I'M NOT A MONSTER (Published)Where stories live. Discover now