BAB 5

1.7K 101 8
                                    

"TAK GUNA!" Lidah Ryu menjerit lantang. Kedua-dua biji mata terbelalak luas. Rasa kurang fokusnya dan-dan menghilang. Dia menyerbu ke hadapan. Kaki yang tergantung itu dipegang dan cuba diangkat ke atas. Biar leher pemiliknya tidak terjerut lagi. Rontaan yang diterima langsung tidak dipeduli. Bahkan, dia mengemaskan lagi pegangan.

Pada masa yang sama, hujung kaki Ryu dipaut pada kerusi yang separa tersadai. Sebaik kerusi tersebut terletak elok, dia meletakkan kaki yang tadinya tergantung ke atasnya. Perhatian dialih pula pada tali yang melilit leher gadis. Cuba ditarik keluar. Tetapi kuat juga gadis memegangnya. Tidak mahu menyerah. Tetap meronta-ronta.

Ryu mendengus sekuat hati dan merentap tali tersebut. Terputus dua! Sesudah itu dia mengangkat tubuh gadis ke atas bahu, berjalan setapak ke hadapan dan membantingnya ke atas katil. Sangat kuat hinggakan tubuh gadis jadi melantun ke atas, sebelum kembali berbaring. Belum sempat gadis bangun, Ryu lebih dahulu bertindak. Dia naik ke atas katil dan menindihnya. Kedua-dua belah pergelangan tangan gadis dicengkam tidak boleh bergerak.

Gadis meronta-ronta. Wajahnya dipusing kiri dan kanan. Bahu cuba diangkat. Namun, tidak berkesan. Tubuh besar Ryu tidak seinci pun berkalih. Malahan, dia mengetatkan lagi cengkaman. Bebola matanya terasa seperti menanti saat untuk tersembul keluar. Mencerlung sangat tajam. Urat lehernya juga menegang. Rahang terketap-ketap. Gigi terkacip-kacip.

Pemandangan depan matanya benar-benar membuatkan segenap pembuluh darah dalam tubuhnya seperti mahu pecah!

Langsung, dia melepas sebelah tangan gadis dan membawa tangannya sendiri ke bawah rahang gadis. Direngkuh kuat, hinggakan muka gadis jadi terngadah. Tepat memandang Ryu. Rontaan serta-merta terhenti.

"Kau dengar sini baik-baik," tekan Ryu. Sangat keras.

"Aku tak peduli apa-apa pun jadi pada kau. Tapi selagi kau ada dalam rumah aku, selagi kau ada depan mata aku, aku takkan biarkan kau mati."

Anak mata gadis mengecil. Merenung lebih tajam. Hidungnya berdengus-dengus, di sebalik mulut yang setia terkatup.

Ryu mengherotkan bibir.

"Kenapa? Geram? Kalau macam tu, marah aku! Pukul aku! Tapi..."

Kata-kata Ryu terhenti di sekerat jalan. Jantung tiba-tiba terasa terlebih sebu.

"Jangan sesekali cuba bunuh diri kau. Jangan cuba cabut nyawa sendiri. Jangan..."

Suara tersekat di celah kerongkong.

"Jangan..."

Tersekat lagi. Ryu mengetap bibir dan memejam mata. Nafas ditarik dan dihembus beberapa kali. Seketika berlalu, dia membuka mata semula. Kembali memanah mata tajam yang cuma beberapa inci jauh daripadanya.

"Jangan mati depan aku." Kali ini, suara yang terpantul bertukar nada. Ryu tidak berniat, tetapi dia boleh dengar betapa lirihnya suara dia. Huh, persetankan! Kalau dia kedengaran lemah sekali pun, dia sudah tidak peduli.

Gadis kekal pegun. Tidak langsung melarikan mata. Namun, Ryu dapat melihat pandangannya bertukar sedikit demi sedikit. Ketajaman menghilang, digantikan dengan takungan yang semakin lama semakin tebal. Hingga akhirnya bolos menuruni birai mata.

Perlahan-lahan, Ryu melepaskan cengkaman. Tubuh juga dialih ke tepi, dan dibiarkan melurut ke lantai. Dia menyandarkan belakang ke birai katil. Terasa lemah, seolah-olah semangatnya sudah disedut oleh suatu kuasa asing. Ekor mata Ryu kemudian dilirik ke katil. Gadis masih serupa tadi. Terbaring dengan posisi asal, waktu Ryu mengalihkan tubuh.

Kaku tidak bergerak. Mata terkelip-kelip memandang siling.

Dan seperti pagi tadi, titis-titis jernih menuruni ekor mata dan dibiar jatuh mengenai bantal. Senyap sekali. Tetapi bibirnya jelas terketar-ketar dan sesekali diketap. Ryu yang melihat, menarik senyum. Sinis bercampur kelat.

I'M NOT A MONSTER (Published)Where stories live. Discover now