BAB 10

1.6K 93 12
                                    

"MAYA..."

Maya telan emosi bulat-bulat dan memaling muka. Tepat menghadap mata hitam Ryu. Kedinginan yang dilihat tadi hilang sudah. Digantikan dengan renungan yang entah bermaksud apa. Ada lunak. Ada sesal. Dia tidak pasti.

"Kau tak apa-apa?"

Hampir sahaja Maya menghamburkan tawa. Soalan itu kedengaran sangat kelakar di peluput telinga. Sangat menggelikan hati. Selepas apa yang sudah berlaku, boleh pula Ryu tanya kalau dia tidak apa-apa? Ryu terlalu bodoh untuk baca riak mukanya, atau apa?

Lambat-lambat, Maya bangun. Hampir terjelepuk semula, tetapi pantas disambut oleh tangan Ryu. Pantas juga ditepis oleh tangan Maya. Dia membetulkan sendiri tegak berdirinya. Lewat ekor mata, dia perasan raut muka Ryu yang berubah. Mungkin tersinggung dengan tindakan tadi.

Ah, Maya sendiri tidak tahu kenapa dia bertindak demikian. Adakah dia tidak sanggup disentuh oleh tangan yang sudah mencabut nyawa manusia? Atau dia sebenarnya terlalu kecewa dengan apa yang sudah dibuat oleh Ryu?

Dia tidak tahu. Dia benar-benar tidak tahu.

Nafas ditelan lagi. Tangan mula membuat isyarat. Kembali memegang watak wanita bisu yang dimain selama ini. Kembali jadi wanita pembohong.

Apa bezanya kau dan Ryu, Maya? Kau fikir kau baik? Kau fikir kau tak ada noda? Huh, silap! Kau juga seorang pendosa.

Sedetik, dia terfikir begitu. Disusuli rasa bersalah. Juga rasa gentar. Kalaulah tembelangnya pecah dan Ryu tahu siapa sebenarnya dia, mampukah Ryu kekal sebagai lelaki yang tidak pernah mengapa-apakan dia? Maya sangsi tentang itu.

Namun, tetap juga Maya menyudahkan isyarat tangan. Kekal sebagai wanita bisu.

"Aku tak apa-apa. Aku nak bersihkan diri sekejap. Kau tunggu di bilik. Nanti aku datang."

"Tak perlu. Aku tak..."

"Tak apa-apa? Kau ingat aku buta?" sampuk Maya. Mata dijegil besar-besar, bagi Ryu mengerti bahawa dia tidak akan berkompromi kali ini. Ryu cedera. Berdarah-darah, dan dia akan menengok-nengok lelaki itu. Tidak kira Ryu mahu atau pun tidak.

Masih dengan lagak tak berapa rela, Ryu mengundurkan diri ke luar bilik air. Maya kembali kepada sinki yang ditinggalkan tadi. Pili dibuka. Jari-jemari dibawa ke bawahnya. Sedikit demi sedikit, air yang mengalir bertukar jadi merah. Maya pandang dengan seribu satu perasaan. Ingatan terbang kepada saat-saat dia mencemarkan tangan sendiri, cuba mencuci tangan Ryu.

Bodoh sekali tindakan itu. Apa dia fikir darah yang terpalit pada tangan Ryu akan hilang? Jawapannya, tidak. Selama-lamanya, Ryu akan kotor dengan darah itu. Akan kekal dengan bau kematian.

Mengingati hakikat tersebut, mata Maya kembali bergenang. Dia kelip mata dua tiga kali, cuba menghambat tangisan itu pergi. Sungguh, apa yang tidak kena dengan dia? Ryu kelihatan biasa-biasa sahaja. Kenapa dia pula yang berjiwa parah? Bukannya dia yang cabut nyawa orang. Bukannya dia yang jadi pembunuh!

Maya melepas keluhan. Berat menyinggah telinga yang sebenarnya tidak pekak. Sesudah itu, dia melempar air ke muka. Berkali-kali hingga puas. Muka dipanggung kepada cermin. Menitis-nitis dengan air. Rambut pendeknya juga kebasahan. Sesaat, Maya gelak sinis.

Kalau dahulu rambut hitamnya panjang mengurai, beralun lembut hingga ke pinggang. Tetapi kini pendeknya sudah serupa anak jantan. Potongannya kasar dan tidak teratur. Apa tidaknya? Selama setahun ini, Ryulah yang jadi tukang guntingnya. Setiap kali rambutnya memanjang, Maya akan minta Ryu mengerat. Ada juga dibantah lelaki itu. Katanya...

"Muka cantik kau lebih sesuai dengan rambut panjang."

Cantikkah dia? Entahlah, dia tidak fikir begitu. Bagi Maya, rupanya biasa-biasa sahaja. Cuma yang pasti, wajahnya persis ibu. Kalau dahulu, dia gembira benar dengan wajah yang diwarisi daripada ibunya. Tetapi kini tidak lagi. Kerana wajah inilah yang telah membawa dia kepada kehancuran hari ini. Ya, segalanya jadi kacau bilau kerana wajah menyerupai wajah ibunya ini!

I'M NOT A MONSTER (Published)Kde žijí příběhy. Začni objevovat