PROLOG + BAB 1

6.1K 163 13
                                    




PROLOG

PEMANDANGAN malam Kota Macau yang berkerlipan dengan lampu-lampu neon pelbagai warna diperhati lama. Kosong! Pandangan matanya kosong sekali, seperti kosongnya hati dalam tubuh. Itu pun kalau dia masih boleh digelar sebagai manusia yang punya seketul hati dan perasaan.

Dari Taipa Bridge, tempatnya berdiri, dia dapat membayangkan beribu-ribu manusia lain sedang enak menghabiskan wang dan kekayaan yang tidak seberapa di tempat-tempat gah seperti Grand Lisboa, The Wynn, City of Dreams, The Venetian atau pun mungkin The Globe. Dia juga seakan-akan dapat melihat manusia-manusia seperti Zachary Ho yang ketawa jelik kala melihat kejatuhan manusia lain.

Perlahan dia menghela nafas. Berat menyinggah telinga. Matanya kemudian dikerling kepada jari-jemari. Masih basah. Masih merah. Masih hanyir. Masih berdarah.

Ya, darah mangsanya yang pertama. Darah yang telah melerai dirinya daripada perikemanusiaan. Darah yang telah menukarnya kepada...

Raksasa. A monster.

Setapak demi setapak, dia mengangkat langkah. Mendekati tebing jambatan. Angin ngilu musim sejuk dibiarkan sahaja, walhal dadanya terasa pedih. Bunyi hon yang bertalu-talu bagaikan memberi amaran. Namun tidak juga diendah. Bahkan, dia memanjat bahagian bawah pagar jambatan. Ketinggian pagar yang jadi penghalang itu, berubah jadi setakat paras pahanya sahaja. Sekali ditolak angin, dia pasti akan terbang menjunam ke bawah. Seperti burung. Bebas menebarkan sayap.

Dia mengangkat kedua-dua belah tangan. Didepa luas, umpama burung dengan sayapnya. Matanya sedikit-sedikit dikatup. Bibir bergerak membentuk senyuman. Plastik. Kosong. Tidak datang dari hati.

"Selamat datang, Ryu. Selamat datang ke dunia kegelapan. Sekarang, kau benar-benar dah tak boleh berpatah balik."

"Erghh...erghhh...."

Seruan pelik menggamit perhatian. Lantas, dia berpaling ke belakang. Pandangan mata jatuh ke bawah, melekat pada seorang gadis yang elok memegang hujung jaketnya. Kepala gadis tergeleng-geleng. Mata bundarnya bertakung dengan tangisan yang bila-bila masa akan tumpah. Ryu tidak buta untuk melihat kesedihan dan kekesalan di situ.

Lama mereka bersabung mata.

"Macam mana kau boleh ada di sini, Maya?" Akhirnya, Ryu memecah keheningan. Seperti biasa, tutur katanya dingin sekali.

Si gadis hanya membungkam.

"Kau lepaskan jaket aku." Ryu berkata lagi. Masih mendatar.

Kepala Maya bergerak ke kiri kanan. Berulang kali. Tangannya juga semakin kuat mencengkam hujung jaket.

Ryu merengus kuat. Sudahlah sekarang dia tiada mood, muncul pula perempuan ini menambah kekusutan!

"Kau tahu, kan? Aku tak suka perempuan degil," desisnya seraya merentap jaket. Ternyata, rentapannya terlebih kuat. Maya terjelepuk jatuh ke tepi jalan dan...

Ponnnn.....

Bunyi hon panjang bergema. Lampu kereta berkelip tinggi. Mata Ryu membuntang luas. Tidak menunggu sesaat, dia melompat turun dan menyambar tubuh Maya. Sekelip mata sahaja, mereka sudah pun tersadai di pagar jambatan. Sama-sama berdakapan.

Ryu menolak Maya daripada rangkulan.

"Kau dah gila?! Nak mati?!"

Hanya sepasang mata yang terkulat-kulat menjadi jawapan kepada tengkingan Ryu. Kemudian tanpa kata, Maya menggerakkan kedua-dua belah tangannya. Ryu melarikan anak mata, tidak mahu melihat semua itu. Namun, lengannya ditarik. Ryu buat tidak peduli. Ditarik lagi. Ryu tetap tidak berpaling. Lengannya sekali lagi ditarik. Lebih kuat. Ryu mendengus dan berpaling.

I'M NOT A MONSTER (Published)Where stories live. Discover now