Dalam diam, Ryu mengelus pipi itu. Menyeka air mata yang tidak henti-henti merembes. Mungkin gadis tidak sedar apa yang sedang dia buat, kerana gadis membiarkan sahaja. Malahan, gadis lebih galak melepas tangis. Teresak-esak dengan bahu yang terenjut-enjut.

Hati kontang Ryu tiba-tiba rasa lain macam. Seperti sedang disiram air.

Beberapa ketika berkeadaan begitu, gadis membuka mata. Terbeliak sesaat, sebelum menepis tangan Ryu dengan kuat. Riak muka kembali keras. Mata lencunnya memanah garang.

Bibir Ryu bergerak sinis. Sudah tidak terkejut dengan perilaku itu. Dia menegakkan tubuh dan membawa diri ke almari. Pintu gelangsarnya ditolak ke kanan.

"Macam yang aku cakap tadi, aku tak berminat dengan kau. Jadi..." Ryu menoleh kepada gadis. Masih menatapnya curiga.

"Buang fikiran kotor kau tu jauh-jauh." Ryu menyudah kata dengan menarik keluar sehelai t-shirt. Disarung kepada tubuh. Namun, ekor matanya sempat menangkap renungan gadis kepada kepala naga atas dada kirinya. Ryu biarkan sahaja. Dia yakin gadis tidak bodoh untuk tahu siapa dia.

Kalau sudah bertemu dalam keadaan seperti tadi, takkanlah gadis bengap benar untuk mengerti segala-galanya?

Bukan seperti dia yang masih bengap untuk mengerti siapa gadis dan apa yang sudah berlaku kepadanya.

Pelbagai persoalan yang berlegar dalam fikiran sebelum ini, kembali melintas. Namun cepat-cepat dihambat pergi.

Dia...Ishikawa Ryu. Dia tidak peduli tentang orang lain. Dia tidak mahu ambil tahu!

Lantas, Ryu memusing badan dan menapak ke muka pintu. Sampai di situ, dia sekali lagi membuka mulut.

"Aku bawa kau ke sini, cuma sebab aku tak nak kau mati kesejukan. Kalau kau nak pergi, dipersilakan. Aku tak tahan kau di sini. Aku tak kurung kau di sini."

Seketika, Ryu berhenti. Apa yang ingin diluah tiba-tiba terasa sukar untuk dilontar keluar. Tetapi, dia tahan-tahan rasa itu. Kepala ditegakkan angkuh. Mata merenung ke depan. Tajam lagi kosong.

"Aku lebih suka kalau kau berambus dari mata aku."

Entah kenapa, tutur kata itu terasa pedih mencalar jiwa sendiri.

*****

BUNYI yang berdering itu sayup-sayup kedengaran di telinga. Sekejap kuat. Sekejap bersahut-sahutan. Sekejap berhenti. Kemudian berbunyi semula. Ryu menarik bantal dari bawah kepala dan menekup muka. Berharap agar bunyi itu pergi jauh.

Semestinya, tidak.

Hendak tak hendak, Ryu mengalih bantal dari muka dan membawa tangan ke meja. Menggagau-gagau mencari punca bunyi. Jumpa! Tanpa membuka mata, dia meletaknya ke telinga.

"Abang!"

Spontan, Ryu menjauhkan telefon dari telinga. Hampir pekak mendengar jeritan itu.

"Kau ni kenapa? Melalak macam orang gila. Aku tengah tidur, tahu tak?" sembur Ryu sebaik mendekatkan semula telefon bimbitnya.

"Dai lo..."

Dan-dan, mata Ryu terbeliak. Tubuh terbangun terus daripada pembaringan.

"Kenapa dengan dai lo?" soalnya agak kuat. Bermacam-macam kemungkinan menyelinap masuk.

Semuanya buruk.

Tawa halus Kosuke berbunyi di hujung talian. Ryu mengerutkan dahi.

"Dai lo tak apa-apa. Dia cuma nak jumpa abang."

Nafas lega terlepas keluar.

"Kau ni kan..."

"Apa? Aku belum sempat cakap apa-apa. Abang yang fikir bukan-bukan," bidas Kosuke. Jelas tahu apa yang ingin dia ucap.

I'M NOT A MONSTER (Published)حيث تعيش القصص. اكتشف الآن