Ryu mengangkat anak mata. Semerta, gerak kaki mereka jadi perlahan. Masing-masing mula menayang riak tidak pasti. Sedikit-sedikit, Ryu mengherotkan mulut. Mata berdesis sinis. Kemudian...
"Arghhh!!!"
Raungan lelaki dalam genggamannya berbunyi lagi. Menerima cengkaman Ryu bawah rahang, sebelum mukanya dihempap atas roda Roullete. Bebola matanya buntang memandang besi turret yang terpacak hanya beberapa inci jauh dari mata. Desah nafasnya berbunyi kuat sebelum terhenti sejenak, dan bersambung kembali.
Serupa orang yang baru memperoleh nyawa semula.
Ryu tunduk mendekatkan bibir ke telinga lelaki itu. Tetapi tidak sekali pun, Ryu melarikan anak mata daripada memerhati konco-konco Bloody Tiger lain. Yang masih tercegat macam manikin. Yang masih tidak pasti, apakah patut mereka menyerang dan menyelamatkan rakan sekumpulan? Atau mungkin mengundur diri?
"Kalau aku mahu bunuh orang, aku takkan bunuh dia dengan cara mudah. Jadi kau patut bersyukur yang aku tak cuba bunuh kau," tutur Ryu separa berbisik. Dengan setiap patah kata itu, raut muka konco Bloody Tiger tampak berderau. Halkum bergerak. Menelan liur.
Ryu senyum dalam hati. Puas.
"Ryu."
Pantas Ryu melepaskan orang dalam genggaman. Dia kembali berdiri di sebelah Luo Ming. Bermuka selamba bagaikan tiada adegan dia mematahkan tangan orang dan hampir membutakan matanya.
"Banyak lagi benda kau perlu belajar, Rex. Salah satunya..."
Luo Ming mendekatkan muka kepada Rex. Kening separuh dijongket.
"Lebih berhati-hati dengan apa yang kau cakap. Dalam dunia kita, salah cakap, nahas akibatnya." Lembut Luo Ming berkata. Siap dengan nasihat di hujung bicara. Namun, dia tahu Rex bukan bodoh untuk mengerti apa yang dia cuba sampaikan.
Hidung Rex berdengus. Dia mengetap bibir sebelum mengulum senyuman. Sangat olok-olok.
"Terima kasih atas nasihat tu. Jadi sekarang, boleh kita teruskan dengan tujuan asal kita?"
Luo Ming menjauhkan semula kepala. Kembali bersandar.
"Ingatkan kau tak nak tanya."
"Apa kau nak buat dengan Shao-pai?" Tanpa mempedulikan sindiran Luo Ming, Rex terus menerjah.
"Nak buat apa? Siapa yang mulakan dulu?" Soalan juga yang Luo Ming lontarkan kepadanya.
"Anak buah kau dah cederakan adik aku," balas Rex dengan mulut yang terketap-ketap. Urat darah mulai timbul di tengkuknya yang terik.
Ryu semakin meninggikan rasa berjaga-jaga. Segenap perhatian diberi kepada kedua-dua hung kwan. Sesekali, ekor matanya melirik kepada sekeliling. Kalau-kalau ada konco Bloody Tiger yang menyerang hendap.
"Siapa suruh adik kau ganggu teman wanita dia?"
"Mana dia tahu..."
"Tak reti periksa dulu?"
"Kalau macam tu, baik kau suruh dia periksa sama ada semua perempuan di Macau ni, milik orang."
"Mungkin memang itu yang patut dia buat."
Suasana tiba-tiba hening. Sesi membidas kata antara Luo Ming dan Rex berakhir dengan Rex yang mendiam. Namun, matanya semakin lama kelihatan semakin keras.
"Jadi, kau memang tak nak serahkan dia kepada aku?" Suara Rex berbunyi akhirnya. Senada tanpa perasaan.
Luo Ming tidak segera menjawab. Matanya tenang membaca lelaki di hadapan. Apa yang berlaku sejak seminggu lalu, melintas dalam ingatan. Shao-pai, salah seorang anak buahnya telah membelasah seorang lelaki di Rose Club gara-gara mencabuli teman wanitanya. Siapa duga, lelaki yang dibelasah hingga masuk hospital itu, ialah adik kepada Rex Chao. Lelaki yang sudah lama jadi seteru mereka.
YOU ARE READING
I'M NOT A MONSTER (Published)
ActionNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: Dia...Ryu Seorang Red Dragon. Tidak perlu banyak cakap. Tidak perlu mengata apa-apa. Hanya dengan satu pergerakan, dia boleh mematahkan tulang temulang sang lawan. Dia...Maya Seorang...
PROLOG + BAB 1
Start from the beginning
