PROLOG + BAB 1

Mula dari awal
                                        

Ada dua orang lelaki berdiri di kiri kanan sofa. Tatu yang menjalar di lengan menandakan kumpulan mereka. Berwajah serius dengan mata dalam keadaan bersiap sedia. Hanya dengan sepatah kata, dua orang lelaki ini akan bertindak.

Di atas sofa yang sama, kelihatan dua orang wanita seksi. Masing-masing pegun di tempat duduk. Hujung mata saling menjeling. Wajah pucat gementar.

"Pergi." Lelaki dengan wain merah menjatuhkan arahan. Secepat kilat, wanita-wanita tersebut berdesup keluar. Bukan setakat itu, dealer yang sedari tadi berdiri di meja Roullete juga pantas meloloskan diri di sebalik pintu.

Lalu, tertinggallah lelaki-lelaki dengan urusan lelaki.

"Kau memang berani." Lelaki dengan wain merah memulakan bicara. Gelas di tangan, diletak atas meja. Dengan gaya yang jelas sengaja diperlahankan.

Telinga Ryu menangkap bunyi dengusan Luo Ming. Berbaur ejekan. Ketuanya selamba mengambil tempat di sofa sebelah kanan. Satu gelas kosong yang ada di situ, ditarik lebih dekat. Tangan kanannya bergerak ke arah botol wain yang tersedia. Namun, Ryu lebih cepat bertindak. Dia mengambil dan menuangnya ke dalam gelas. Luo Ming sekadar membiarkan dan meneguk cecair merah itu. Kedua-dua matanya separa terpejam menikmati.

Ryu kembali berdiri. Kepala dan belakang tegak. Masih berwajah tanpa riak. Mata tepat memerhati pemandangan di hadapan. Telinga tajam berjaga-jaga.

"Aku yang berani atau kau yang penakut?"

Sebaik melepas soalan itu, lelaki bertatu di sebelah kanan sofa bergerak ke arah Luo Ming. Ryu lebih pantas memintas. Tangan lelaki itu yang hampir mengenai muka Luo Ming, ditepis kuat. Tangan Ryu pula yang hinggap tepat ke pipinya. Tersembam dia atas lantai. Serentak dengan itu, berpuluh-puluh lelaki dalam bilik bangun berdiri. Masing-masing memekik tidak puas hati. Ada juga yang maju ke hadapan.

"Cukup!"

Langkah mereka serta-merta mati. Ditahan sang ketua.

"Rex...Rex...Rex..." Suara Luo Ming bergema dalam ketegangan. Dia meletak gelas dan menyandarkan badan ke sofa. Sinis memandang muka lelaki yang jauh lebih muda daripadanya.

Rex Chao.

Salah seorang hung kwan dalam kumpulan The Claws. Mengetuai geng Bloody Tiger. Manusia yang tidak habis-habis fikir bahawa dia boleh melawannya.

"Kau memang tak pernah berubah, kan? Hanya untuk selesaikan hal peribadi, kau bawa berpuluh-puluh orang? "

Bibir Luo Ming menyenget sekejap.

"Huh, dasar penakut."

Riak muka Rex jelas berderau. Rahangnya terketap-ketap. Namun, tidak pula dia menyerbu atau menengking. Sebaliknya dia menarik nafas dan menggerakkan bibir. Juga senyum mengejek.

"Kau patut cakap itu pada anak buah kesayangan kau ni."

Ryu kelip mata sekali. Masih berwajah kosong.

"Mana ada kongsi gelap yang tak bunuh orang."

Sinis sekali kenyataan yang menyentuh telinga Ryu. Disambut oleh bunyi ketawa semua konco Bloody Tiger. Sesetengah mereka melempar jeritan dan mengejeknya pengecut.

"Ryu."

Sebaik mendengar namanya disebut, Ryu meluru kepada salah seorang konco Bloody Tiger yang terdekat. Yang paling kuat mentertawakannya. Belum sempat lelaki itu berbuat apa-apa, dia sudah pun meraung kesakitan. Tangan kanan memegang tangan kirinya. Kelihatan tulang yang tersembul keluar dari soket. Konco-konco Bloody Tiger yang lain mula bergerak. Tangan masing-masing tangkas mencapai senjata yang disembunyi bawah meja.

I'M NOT A MONSTER (Published)Tempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang