Kalau 49 chai dikira sebagai askar dalam organisasi kongsi gelap, hung kwan ialah sang komander. Menjadi ketua dalam melaksanakan segala kerja kotor mereka. Mengugut, menyerang, membelasah dan tidak lupa....

Membunuh.

Jadi, lelaki berwajah keanak-anakan seperti Ah Lei membunuh orang? Pasti sukar untuk dibayangkan. Tetapi hakikatnya, syaitan selalu bersembunyi di sebalik wajah paling manis.

"Ryu, lama tak nampak." Lelaki berwajah comel itu, membalas teguran. Siap dengan satu tepukan kasar atas bahu Ryu.

Bibir Ryu bergerak sendiri. Tersenyum menghadap reaksi terlebih mesra itu.

"Rasanya abang yang selalu hilang. Aku ada saja kat sini. Mana lagi aku nak pergi?"

"Kau boleh pergi mana-mana pun kalau kau nak," jawab Ah Lei. Agak tersirat.

Sekali lagi, Ryu senyum. Tenang sahaja. Namun dalam hati, dia mahu gelakkan diri kuat-kuat.

Dia sekadar anjing bawahan yang tidak menarik perhatian? Huh, dia tarik balik kata-kata itu!

"Aku cuma nak ada di sisi dai lo," tekan Ryu setelah beberapa ketika. Mata tidak berkelip. Tepat dipanah ke muka Ah Lei.

Jawapan itu menerima tawa Luo Ming sebagai balasan. Mungkin terhibur. Mungkin juga berpuas hati. Ah Lei turut sama ketawa. Namun, Ryu dapat menangkap kerlingannya yang lain macam.

Lelaki itu benar-benar mahukan dia.

Ryu buat-buat tidak mengerti. Bukan dia tidak biasa dengan pandangan seperti itu. Tetapi, dia bukanlah serupa ahli Red Dragon lain yang tidak sabar untuk 'naik ke atas'. Reputasi yang dia bina di kalangan ahli kongsi gelap Macau tidak perlu dijadikan tiket untuk dia menaiki hierarki. Biarlah dia di sini. Sekadar anjing bawahan. Sekadar bayang-bayang.

Dia lebih tenang begini, tanpa perlu peduli tentang anak buah atau politik kotor dalam kumpulan.

"Okeylah, dia dah sampai?" Luo Ming mengubah topik perbualan. Wajahnya sudah bertukar serius. Tawa dan senyum yang tadi menghiasi, hilang entah ke mana.

Ah Lei turut mengubah riak muka. Juga serius.

"Dah. Ada di tempat biasa."

Luo Ming mengangguk kecil sebelum memusing badan ke arah tempat yang mahu dituju.

"Ryu."

Hanya sepatah kata. Hanya itu yang diperlukan untuk Ryu terus berdiri dekat dengan ketuanya. Ah Lei dan tiga orang bawahan langsung membuka laluan.

Tanpa menunggu lagi, Ryu dan Luo Ming mengangkat kaki. Berjalan melepasi mereka dan menuju ke arah pintu lif berwarna emas yang terletak di satu penjuru. Satu hala. Sebelah-menyebelah.

Seperti tuan dengan anjingnya. Seperti manusia dengan bayang-bayangnya.

*****

TEGANG.

Hanya itu perkataan yang layak digunakan untuk menggambarkan suasana di bilik VIP ini. Segala kemeriahan yang berlangsung sebelumnya, mati terus. Tiada rengekan manja wanita penghibur. Tiada jeritan teruja penjudi-penjudi di kiri dan kanan. Tiada suara-suara yang berbual rancak.

Semuanya lenyap. Semuanya seakan terhenti. Kecuali seorang lelaki di hujung sana. Selamba bersandar di sofa. Selamba meneguk wain.

Ryu dan Luo Ming melangkah setapak demi setapak. Memijak permaidani tebal warna coklat dengan corak-corak abstrak. Melepasi dua buah meja Roullete di kiri dan kanan. Melalui bawah lampu chandelier yang menerangi dengan cahaya mewah. Dan akhirnya, mereka berhenti betul-betul di hadapan sebuah meja kopi kaca. Bertentangan dengan mereka ialah lelaki tadi. Masih bersandar di sofa kulitnya. Masih ralit memutar gelas wain.

I'M NOT A MONSTER (Published)Where stories live. Discover now