Ah, dia sudah tidak tahu apa yang patut difikirkan!
Perlahan, Ryu memejam mata. Nafas ditarik dalam-dalam. Bunyi bising Maya dibiarkan pergi umpama angin malam yang menumpung lalu di sebelah telinga. Beberapa ketika berlalu, dia membuka matanya semula.
Lebih tajam. Lebih dingin. Kemudian, dengan suara yang terlebih mendatar, dia menjatuhkan arahan.
"Sudah, Maya. Jom balik rumah."
Seperti selalunya dia tidak mengendahkan kemarahan gadis itu, seperti itulah juga dia melakukannya malam ini.
**************************************
BAB 1
Cotai, Macau, 2010
PINTU berwarna emas itu ditolak luas, sebelum dia memberi laluan kepada orang di belakang. Tanpa sebarang kata, orang itu berjalan masuk dan melepasinya. Ryu pantas membuntuti. Bunyi bingit dengan segala macam jeritan, menujah masuk ke telinga. Pada masa yang sama, hidungnya ditusuk bau kuat rokok bercampur bir, serta bau tubuh manusia yang lama tidak mandi. Sungguh, dia bencikan bau ini. Tetapi bau yang sama ini juga sudah terlalu sebati dengannya. Pemandangan yang sudah sebati juga, bertebaran depan mata.
Satu bahagian tersusun dengan beratus-ratus mesin slot. Skrinnya menyala dengan pelbagai imej terang, bagaikan memanggil-manggil orang mendekat. Ternyata, itulah yang berlaku. Hampir kesemuanya diduduki orang. Kebanyakan mereka sudah agak berumur. Dengan rupa yang boleh tahan serabai. Sekilas tengok, Ryu tahu mereka datang dari Tanah Besar China.
Bibir Ryu menyenget sedikit. Bau tidak mandi ini, pastinya datang daripada mereka. Sudah jadi kebiasaan bagi orang-orang dari sana untuk 'berkampung' di kasino dari mula sampai hingga pulang. Mereka ini datangnya dari kelas pertengahan, dan tidak akan membazirkan wang untuk menyewa hotel. Tujuan mereka ke Macau adalah untuk mendapatkan wang. Jadi, untuk apa membuang wang demi tempat tinggal?
Di satu sudut lain pula, kelihatan meja-meja Blackjack yang teratur tidak jauh antara satu sama lain. Seperti mesin slot tadi, hampir semua dikelilingi orang. Dealer sibuk menyusun dan membahagi kad. Sesekali bunyi jeritan bergema. Dari sang pemain, juga para penonton. Mungkin teruja, atau mungkin juga kegeraman. Yang pasti, carutan yang timbul di celah-celah jeritan, bukan tanda kegembiraan.
Kaki Ryu diayun lebih ke hadapan. Mengikut setiap satu langkah Luo Ming, ketua yang sudah dia ikut sejak enam tahun lalu. Dia benar-benar umpama orang bawahan yang sangat setia. Atau lebih tepat lagi, seperti anjing yang mengikut tuannya. Huh, dia tidak peduli. Dia lebih rela jadi begini. Hanya anjing bawahan. Hanya bayang-bayang yang tidak disedari orang.
Mereka kini masuk ke bahagian Roullete. Meja-meja memanjang warna hijau, dengan roda bulat di hujung, mengelilingi kiri dan kanan. Bunyi bola berpusing atas roda, bercampur-baur dengan pekikan dan tepukan tangan pemainnya.
Sangat. Meriah.
The Globe selalu seperti ini. Meriah dengan manusia yang suka memperjudikan wang dan kehidupan.
"Ming Ko! (Abang Ming!)"
Kepala Ryu terngadah, memandang sang ketua yang kini bercakap dengan beberapa orang lelaki. Dia kenal salah seorang daripada mereka. Ah Lei, hung kwan bagi Golden Dragon, satu lagi geng di bawah jaringan kumpulan kongsi gelap Soaring Dragon. Orang yang bertanggungjawab 'menjaga' kasino ini.
Langsung, Ryu bergerak ke hadapan.
"Lei Ko (Abang Lei)." Dia menegur.
Orang yang ditegur pantas berpaling, dan menayang senyum. Gigi arnabnya terserlah. Mata sepetnya membentuk separa bulatan. Sekali tengok, sesiapa pun tidak akan menduga bahawa dia ialah seorang ahli kongsi gelap. Apatah lagi, hung kwan yang kerjanya mengetuai 49 chai.
YOU ARE READING
I'M NOT A MONSTER (Published)
ActionNOVEL INI SUDAH DITERBITKAN DI PASARAN - Sinopsis belakang buku: Dia...Ryu Seorang Red Dragon. Tidak perlu banyak cakap. Tidak perlu mengata apa-apa. Hanya dengan satu pergerakan, dia boleh mematahkan tulang temulang sang lawan. Dia...Maya Seorang...
PROLOG + BAB 1
Start from the beginning
