🏮Prolog

40.7K 1.8K 176
                                    

Prolog

"Bagaimana pawang Sanduka? Adakah baginda bisa mendapatkan zuriat laki-laki bersama Puteri Nanggung Cahaya?"

"Ampunkan patik tuanku, patik sudah melihat zodiak takdir mereka. Mereka tidak bisa disatukan bersama-sama tuanku, perkahwinan mereka hanya bisa mengundang tulah buat kerajaan ini, tuanku. Namun apa yang lebih membimbangkan patik ialah..."

"Ialah apa pawang Sanduka?"

"Dalam pemeriksaan ramalan patik, baginda tidak akan bisa mendapatkan zuriat laki-laki dengan mana-mana wanita sekalipun yang dikahwini oleh baginda di alam ini."

Wajah Ratu Permaisuri Safuraluna bertukar riak. Ekspresi ceria automatik berganti riak tercengang yang jelas kelihatan di wajahnya.

"Apa? Kamu jangan berani-beraninya menipu beta, pawang Sanduka! Beta pantang berurusan dengan seuguwan pendusta! Jika tidak mahu kepalamu beta ceraikan dari jasad, sebaiknya kau berbicara yang sebenarnya!"

Ratu Permaisuri Safuraluna terus bangkit dari singgahsana lalu berbicara dengan lantang jari ditunding dengan reaksi penuh amarah kepada ahli nujum yang sedang berlutut di hadapannya itu.

"Ampun tuanku, patik mohon ampun! Patik hanya berbicara akan kebenarannya, tuanku! Tiada satu pun yang patik dustakan. Ini apa yang patik lihat di dalam ramalan patik,tuanku." Pawang Sanduka sudah mengangkat daulat tangannya dengan penuh ketakutan. Dia takut sekali jika wanita yang sangat berkuasa di hadapannya ini menjadi murka.

Dada Ratu Permaisuri Safuraluna sudah berombak tinggi tanda baginda sedang dalam kegelisahan dan amarah.

"Lalu....lalu bagaimana keluarga Sadewa bisa mempunyai pewaris? ,Adakah baginda sememangnya tidak mampu mempunyai zuriat disebabkan masalah yang ada padanya sendiri?"

"Tidak tuanku, Raja Andhika adalah laki-laki yang sihat dan mampu mempunyai zuriat namun bicara alam mengkhabarkan kepada patik yang setiap wanita di dunia ini tidak mampu melahirkan sebarang pewaris kepadanya.Tenaga semula jadi yang ada dalam tubuh baginda sangat kuat dan sangat aneh, wanita-wanita di sini tidak mampu untuk melahirkan zuriat baginda, tuanku"

"Jika tiada satu pun wanita yang bisa berputerakan seuguwan putera sebagai pewaris yang bakal memerintah negeri Langkasakti di kemudiannya, maka bagaimana keluarga ini bisa berkembang lagi keturunannya?" Ratu Permaisuri meramas-ramas tangannya dalam kegelisahan. Menyerahkan takhta kerajaan kepada keturunan gundik-gundik Raja-Raja yang dahulu? Ah! Tidak mungkin. Justeru hal itulah yang paling ingin dihindari olehnya.

"Ada tuanku ada,tapi..." Pawang Sanduka sedikit ragu-ragu untuk meneruskan bicaranya.

"Tapi apa? Segeralah kamu perkatakan,beta tidak suka bermain soalan."

"Tapi tuanku,wanita ini bukan asalnya dari dunia ini."

"Apa? Maksud kamu bakal isteri anakanda beta bukan uguwan sakti? Lalu dari mana asalnya?"

"Dia...dia asalnya dari bumi. Seorang manusia."

"Apa? Manusia? Tidak!Tidak!Beta tidak setuju. Beta cukup benci kepada makhluk yang bernama manusia. Mereka itu makhluk yang sombong dan suka menghancurkan alam! Makhluk seperti mereka tidak sepatutnya wujud! Kenapa alam perlu memilih permaisuri Raja Andhika daripada kalangan makhluk yang menjijikkan itu? Apa alam ini sebenarnya tidak adil?"

"Ampun tuanku. Itu pilihan alam. Patik tidak mampu membantah. Alam ini lebih tahu akan kehendaknya. Jika tuanku enggan membenarkan Raja Andhika berkahwin dengan wanita dari dunia ini, maka takhta utama negeri Langkasakti ini tidak lagi bisa diwarisi oleh keluarga Sadewa. Apa tuanku mahu takhta kerajaan ini bertukar tangan kepada keturunan yang lainnya?

Permaisuri Safuraluna terdiam sejenak memikirkan kata-kata Pawang Sanduka.

Ya, ada benarnya. Jadi dia memang tiada pilihan lain, jika mahu takhta kerajaan Langkasakti masih dikuasai oleh keturunan diraja Sadewa maka dia terpaksa memilih jalan ini.

"Baiklah,beta setuju tetapi beta ingin melihat dahulu rupa manusia itu."

Segera Pawang Sanduka bangkit dari kedudukannya lalu menghampiri Ratu Permaisuri yang juga sedang melangkah menuruni beberapa anak tangga untuk menghampiri Pawang Sanduka. Mereka sebenarnya sedang berada di balairung Istana Biara Sakti, iaitu istana utama di pusat pemerintahan Negeri Langkasakti. Hanya mereka berdua yang berada di sini. Suri-suri telahpun dititahkan keluar.

Pawang Sanduka segera memancarkan satu sinaran sakti dari tangannya lalu gambaran di alam manusia kelihatan dalam sinaran yang terpancar itu.

Kelihatan seorang gadis muda yang sedang mengemas pakaiannya di dalam sebuah bilik ditayang dalam bebola sinaran itu.

"Hurm...boleh tahan. Tapi sayang sekali, tidak akan bisa setanding uguwan-uguwan sakti di alam ini." bicara Permaisuri Safuraluna dalam keegoan menafikan hal yang sebaliknya.

"Ya benar tuanku." Pawang sanduka pula hanya mengiyakan sahaja walaupun kalbunya menidakkan.

"Segera persiapkan persediaan untuk perkahwinan anakanda beta dan manusia ini. Biar beta yang 'menjemputnya' ke sini."

"Apa benar ini tuanku? Apa tuanku sudah yakin?"

"Usah kau risau Sanduka. Beta sudah ada agenda beta sendiri. Mungkin manusia ini tidak akan mahu berlama di sini dan kelebihan ini kita boleh mempergunakannya." ujar Permaisuri Safuraluna sambil merenung si gadis yang digelar manusia itu dengan perancangannya yang sudah siap bermain di minda.

Gadis itu tidak akan lama di sini.

HIKAYAT CINTA DUA DUNIA✔Where stories live. Discover now