Bahagian 3 -- Jejak Hantu(Part 1)

90 1 0
                                    

ATILEA merenung gelang besi yang melekap di pergelangan kaki kirinya, atas paras buku lali. Itu bukan gelang biasa tetapi sejenis alat pengesan yang dilengkapi GPS. Setiap pergerakan dan kedudukannya akan dirakam. Mereka akan tahu di mana saja dia berada sepanjang masa. Dan jika alat itu ditanggalkan secara paksa atau secara yang tidak mengikut prosedur, dia boleh dijatuhkan hukuman mati serta-merta. Hanya itu saja cara mereka hendak memastikan Atilea tidak akan melarikan diri atau berpaling tadah kepada Papa.

Dia menghela nafas dalam-dalam. Matanya tunak memandang lantai. Rambutnya bersepahan di sana sini. Perlahan-lahan dia bangun dan mula mengumpulkan rambutnya sendiri sebelum dibungkus ke dalam kertas surat khabar. Kemudian dia melangkah masuk ke dalam bilik shower dan mula membersihkan tubuh badannya daripada sisa-sisa rambut. Sejam mengunci diri di dalam bilik air, Atilea keluar sambil menyimpul tali jubah mandi pada pinggang. Kepalanya rasa ringan. Tidak perlu lagi dia hendak merapikan rambutnya yang yang sudah panjang melepasi bahu selepas dipotong atas arahan Pak Ibrahim suatu ketika dahulu.

Atilea merenung dirinya di hadapan cermin. Rambut hitam berkilatnya sudah diwarnakan perang gelap. Persis warna rambut Miasarah. Bezanya cuma rambutnya berpotongan pendek, kemas seperti gaya rambut aktres Anne Hathaway sewaktu berlakon dalam filem Interstellar.

Pintu bilik dibuka dari luar. Muncul Izz Qhuzairy dengan dua buah beg berwarna hitam yang kelihatan berat berisi sesuatu. Kedua-dua buah beg diletakkan di atas meja kopi. Dia menoleh seketika ke arah Atilea. Terkaku seketika Izz Qhuzairy melihat perubahan pada diri gadis itu. Seketika dia ternampak bayangan Miasarah. Pada awal perkenalan mereka, Miasarah pernah berambut pendek cuma berpotongan Bob.

Izz Qhuzairy memejamkan mata seketika untuk mengusir bayangan silam. Dia menghampiri TV dan mencapai alat kawalan jauh. Peti TV dihidupkan dan siaran berita dicari.

"Kau dah tengok berita ni?" Izz Qhuzairy bersuara sambil menudingkan alat kawalan jauh ke arah TV.

Atilea yang sejak tadi tidak mempedulikan kehadiran Izz Qhuzairy segera berpaling, memandang kaca TV. Wajah pemberita wanita yang terpampang di kaca TV menjadi tumpuan mereka.

"...awal pagi tadi, pasukan polis berjaya menembak mati seorang penjenayah yang dikehendaki atas cubaan membunuh seorang lelaki. Penjenayah yang dikenali sebagai Atilea Azman telah melarikan diri daripada tahanan sebelum berjaya dikesan oleh pihak polis. Ketika dalam kejadian tembak-menembak dengan anggota polis, suspek cedera parah terkena tembakan dan disahkan maut ketika dalam perjalanan ke hospital..."

"Duuhhh...kau ingat Papa akan percaya aku mati semudah itu?" Menggeleng kepala Atilea memikirkan rancangan yang diatur oleh Komander Ziyad untuk 'menamatkan riwayatnya'.

"Jangan pandang rendah pada kemampuan kami." Izz Qhuzairy berikan Atilea renungan amaran. "Papa tentu akan menghantar orang-orangnya ke rumah mayat untuk membuat pengesahan. Kami dah fikirkan perkara tu."

"Dan?" Atilea mahukan penjelasan mengenai rancangan yang diatur oleh Komander Ziyad.

"Dan mereka akan temui kau yang terbaring di atas katil besi tu." Izz Qhuzairy menghampiri almari dan mengeluarkan sehelai tuala yang berlipat. Kemudian dia masuk ke dalam bilik mandi.

"Aku?" Berkerut dahi Atilea memikirkan kata-kata Izz Qhuzairy. "Apa-apa sajalah." Malas Atilea mahu memecahkan kebuntuan itu. Dia menghampiri beg-beg yang dibawa oleh Izz Qhuzairy. Terpegun seketika dia melihat isi beg berkenaan. Penuh dengan pelbagai jenis senjata api dan senjata tempur. Nampaknya mereka akan pergi berperang.

Dia membuka sebuah lagi beg. Penuh berisi uniform berwarna hitam dan kelengkapan lain seperti but dan vest. "Hmmm...aku tak akan pakai semua ni." Atilea mencapai telefon bimbitnya di atas meja sisi katil. Bukan setakat dirinya sentiasa diawasi, telefon bimbitnya juga telah dilengkapi dengan alat perakam yang membolehkan semua perbualannya dan nombor pemanggil direkodkan.

Mereka betul-betul risau kalau Atilea berpaling tadah. Sia-sia sahaja kebimbangan mereka. Atilea memang langsung tidak ada niat hendak melarikan diri jauh sekali menyerahkan diri kepada Papa kerana kedua-duanya bererti maut. Cuma maut di tangan pengadilan lebih baik daripada mati diseksa oleh Papa dan orang-orangnya.

"Kau nak call siapa?" Izz Qhuzairy tiba-tiba menyergah dari belakang. "Kau kan baru saja 'mati'." Dia mengingatkan.


Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Where stories live. Discover now