Bahagian 1 -- Kucupan Edelweiss (Part 1)

227 6 0
                                    


"Aku tak pernah membayangkan akan mati dalam usia semuda ini....tetapi sekurang-kurangnya ia berbaloi kerana mati melindungi orang yang tersayang...."

Tubuhnya sudah kaku tidak bergerak di atas lantai yang dingin. Darah pekat mengalir perlahan daripada luka tembakan yang mengena abdomen tubuhnya. Kesakitan bersatu dengan ketakutan menghadapi maut. Tubuhnya menggigil menahan kejutan akibat kedinginan dan kehilangan darah yang banyak. Perlahan-lahan kelopak matanya terpejam. Kesakitan yang dirasai semakin menipis diganti dengan kegelapan infiniti yang datang menjemput kesedarannya....

SEBUAH motosikal hijau model Kriss berhenti di hadapan perhentian bas yang agak sesak dengan penumpang yang sedang menanti ketibaan bas masing-masing. Penunggangnya segera menghulurkan topi keledar kepada seorang gadis yang tercegat di tepi motosikal itu.

"Kenapa lambat? Dah sejam tunggu." Wajah Peya sudah cemberut. Topi keledar berwarna merah disarungkan ke kepalanya.

"Maafkan abang. Tadi enjin motor tak boleh hidup." Adam menjelaskan. Faham benar dia dengan sikap Peya yang sering kurang sabar sekiranya janji yang dibuat tidak ditepati.

"Kenapa tak beritahu? Peya boleh balik sendiri naik LRT. Tak payah lama-lama tunggu kat sini. Langit dah mendung. Tentu kejap lagi hujan." Peya terus merungut-rungut sambil memanjat naik ke atas motosikal.

Adam sekadar tersenyum menelan kata-kata Peya. Begitu selalunya. Adamlah yang sering mengalah apabila Peya buat perangai buruknya. Motosikal itu bergerak perlahan masuk semula ke jalan besar. Tidak sampai beberapa minit berada di atas jalan, hujan turun dengan lebatnya. Adam mahu berhenti berteduh di perhentian bas berdekatan, tetapi Peya enggan. Dia terus memaksa Adam pulang ke rumah sahaja walaupun terpaksa mengharungi hujan yang semakin lebat.

Sebaik sampai di rumah, pakaian mereka sudah lencun, melekat pada tubuh ibarat kulit kedua. Lebih-lebih lagi Peya yang memakai kemeja berwarna merah jambu. Kain kemeja itu jarang sehingga menampakkan baju dalamnya. Adam segera menanggalkan jaketnya dan dihulurkan kepada Peya. Tanpa banyak soal, Peya menyangkut jaket basah itu di atas bahunya. Bahagian depan jaket ditarik rapat ke dada. Tidak cukup dengan itu, beg tangannya juga dipeluk rapat.

Adam menyorong motosikal masuk ke dalam kawasan rumah flat yang berbentuk empat segi itu. Peya sudah pun memanjat naik ke tingkat dua, di mana letaknya rumah mereka di flat kos sederhana yang sudah berusia 20 tahun itu. Keadaannya nampak uzur dengan cat yang lusuh. Dengan sampah yang bersepah di merata tempat, najis kucing bersepah-sepah di bawah tangga, bau hancing yang memualkan, flat itu bukanlah kawasan kediaman yang selesa diduduki. Peya sudah banyak kali mendesak Adam supaya berpindah. Namun lelaki itu tetap berdegil. Alasannya mudah. Tidak ada kawasan kediaman di tengah-tengah Kuala Lumpur yang menawarkan sewa sebanyak RM350 sebulan, melainkan rumah yang mereka duduki itu. Lagipun kata Adam, gajinya kecil. Tidak cukup hendak menanggung perbelanjaan mereka berdua.

Peya bersin beberapa kali. Rambutnya yang basah segera dikeringkan dengan tuala kecil. Adam baru sahaja keluar dari bilik air sewaktu Peya bersin buat kali keempat.

"Peya, nanti makan ubat ya, sayang. Demam pula nanti." Suara Adam kedengaran begitu bimbang.

Namun tidak langsung terkesan di hati Peya. Bibirnya mencebik. "Suruh beli kereta, abang tak mahu. Suruh pindah pun abang tak mahu. Sampai bila kita nak duduk macam ni? Macam merempat aje." Peya sudah mula mengungkit.

"Gaji abang kecil, Peya. Mana mampu." Lembut suara Adam memujuk. Dia menyarungkan baju T Pagoda ke tubuhnya.

"Peya kan mampu." Peya berpaling memandang Adam.

"Tapi tanggungjawab menyara Peya ialah hak abang. Duit Peya, simpan untuk diri sendiri dan untuk mak ayah di kampung." Adam menyarung songkok ke kepalanya. Disebabkan hendak cepat tadi, tidak sempat dia hendak menunaikan solat Asar. Waktu itu jam sudah menunjukkan pukul 6.45 petang. Walaupun sudah hampir tamat waktu, tidak bermakna dia boleh meninggalkan kewajipan bersolat.

Peya mendengus perlahan. Itulah jawapan yang sama diberikan oleh Adam setiap kali dia mengungkit mengenai cara hidup mereka. Gaji Peya tinggi sedikit daripada Adam. Dia mampu membeli kereta terpakai. Lagipun gajinya setiap bulan sekadar digunakan untuk menyara keluarganya di kampung. Lebihannya memang cukup untuk membayar ansuran bulanan kereta atau sewa rumah yang lebih selesa. Namun Adam tetap bertegas tidak mengizinkan wang gajinya digunakan untuk kegunaan mereka berdua. Bagi Adam, wang gaji Peya adalah hak Peya sepenuhnya.

Makan pakai Peya semuanya Adam yang tanggung. Gaji Peya memang bersih untuk kegunaannya sendiri. Malang sekali Adam tidak mengizinkan dia menggunakan wang tersebut untuk memperbaiki taraf hidup mereka. Bagaimanalah dia boleh setuju berkahwin dengan Adam enam bulan yang lalu?



Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Where stories live. Discover now