Bahagian 2 -- Ops Doppleganger (Part 5)

79 1 0
                                    

ATILEA meneliti secebis kertas yang ditinggalkan oleh Jeremi di dalam sampul koko gelap. Selain secebis kertas yang mengandungi alamat Pak Ibrahim, ada wang tunai berjumlah RM5 ribu, sepucuk pistol Glock 17 dan satu kelongsong peluru.

Cukuplah untuk kegunaan dirinya buat sementara waktu. Kereta Saga merah itu dihentikan di sisi satu papan tanda bertulis Tanah Perkuburan Islam Kampung Demak. Yang menarik perhatian Atilea ialah satu lagi papan tanda kayu di bawah papan tanda tanah perkuburan itu. Perkataan bertulisan tangan yang mengunakan cat merah itu menyamai perkataan pada secebis kertas di tangannya.

Pada papan tanda kecil itu tertulis: Pak Brahim, The Undertaker. Terdapat lukisan anak panah penunjuk arah. Atilea menggeleng kepala. Rasa lucu pula membaca papan tanda itu. Pada mulanya dia sangka Jeremi sengaja main-main menulis perkataan itu. Rupa-rupanya apa yang Jeremi tulis memang sama dengan penunjuk arah yang diberi.

Atilea meneruskan pemanduan mengikut arah yang ditunjukkan. Tidak sampai setengah kilometer dari tanah perkuburan, ada sebuah rumah kayu beratap rumbia. Rumah itu nampak usang dan seperti tidak berpenghuni. Atilea mematikan enjin kereta dan berjalan menghampiri tangga rumah.

"Pak Ibrahim!" panggilnya. Sedikit pun suasana suram dan seram itu tidak mengganggu Atilea. Ketika itu, dia lebih bahaya daripada sebarang hantu atau ancaman lain yang ada di sekelilingnya.

"Ya...nak apa?" Seorang lelaki tempang yang berjalan terhincut-hincut muncul dari belakang rumah.

Atilea bergegas mendapatkan lelaki itu. Teragak-agak dia melemparkan senyuman yang jarang-jarang dipamerkan kepada sesiapa.

Pak Ibrahim mencerunkan pandangan matanya meneliti gadis muda berseluar jean dan berbaju kemeja senteng berlengan pendek corak kotak-kotak itu. "Anak ni cari siapa?"

"Pak Ibrahim tak cam Lea?" Atilea mula bermain 'teka siapa saya'.

Sekali lagi Pak Ibrahim meneliti gadis berambut panjang yang diwarnakan oren kemerahan itu. Kulitnya putih bersih. Matanya bundar. Wajahnya mengingatkan Pak Ibrahim kepada pelakon wanita drama Strawberi Karipap iaitu Nelydia Senrose. Tetapi tubuh badan gadis ini nampak lebih tegap dan tinggi. Bukan orang biasa. Sinar mata gadis ini tajam mengawasi keadaan sekeliling.

Dengan pantas Pak Ibrahim melontar pisau lipat yang sentiasa disimpan di saku seluarnya. Dan dengan pantas juga gadis itu mengelak terkena pisau yang dilemparkan.

"Siapa kamu? Siapa hantar kamu ke sini?" Nada suara Pak Ibrahim sudah tidak mesra. Bertahun-tahun dia menyisihkan hidup daripada dunia yang gelap itu. Sepanjang masa itu, dia tidak pernah melangkah keluar dari daerah ini seperti yang dijanjikan. Paling jauh pun dia pergi ialah ke daerah Jerantut melawat anak cucunya.

Atilea senyum lagi. Jelas kelihatan perasaan takut menguasai diri lelaki tua di hadapannya itu. Walaupun sudah capek, ketangkasannya masih sama. Sebenarnya Atilea separuh menyangka yang Pak Ibrahim akan mengujinya begitu. Mujur dia tidak pernah membiarkan dirinya leka. Hingga dalam lena pun dia masih berwaspada.

"Saya Atilea. Jeremi hantar Lea ke sini." Akhirnya Atilea menamatkan permainan 'teka siapa saya' kerana tidak mahu terus meresahkan Pak Ibrahim.

"Atilea?" Wajah Pak Ibrahim sungguh terkejut.

Ini pertama kali dia melihat wajah dewasa gadis yang menjadi anak suruhan emas ketua mereka. Dahulu semasa gadis ini kecil, dialah yang selalu menghantar dan mengambilnya dari sekolah rendah. Apabila dia memasuki sekolah menengah, Atilea dihantar ke sekolah berasrama penuh dan seterusnya ke luar negara. Entah bila dia tamat belajar dan pulang ke sini. Tiba-tiba sahaja Atilea muncul dengan bertopeng. Dan kemahirannya berlawan serta bermain senjata memang digeruni oleh semua seteru mereka. Dialah senjata rahsia yang akan digunakan oleh organisasi mereka apabila ada kumpulan lain yang mahu menggugat kekuasaan mereka. Atilea digelar Mascarilla .

"Ya...saya Atilea." Senyuman di bibir Atilea menjadi natural perlahan-lahan. Nampaknya dia harus selalu berlatih untuk tersenyum. Ini kerana setiap kali dia tersenyum, hatinya akan berasa bahagia. Bahagia...satu lagi perkataan asing yang mula muncul dalam kamus hidupnya beberapa minggu yang lalu sewaktu dia meninggalkan dunia jenayah. 

Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Where stories live. Discover now