Bahagian 1 -- Kucupan Edelweiss (Part 4)

92 5 0
                                    

"BAGAIMANA? Sudah boleh dilancarkan kepada umum?" tanya Datuk Azhar setelah meneliti perkembangan terbaharu produk kecantikan mereka menerusi komputer tablet di tangannya.

Dr Israr membetulkan kaca matanya. Sungguhpun berkaca mata, wajahnya memang tampan. Macam Adam. Bezanya rambut Adam keriting halus. Langsung tidak sesuai dengan wajahnya. Sekali imbas macam Mat Nepal pun ada. Sudahlah kerjanya menjadi jaga. Padan sangatlah tu....

Masih sempat lagi Peya mengelamun. Perbincangan mengenai produk baharu yang diselang-selikan dengan bahasa Inggeris dan terminologi farmaseutikal itu ada kalanya mengelirukan Peya. Sungguhpun dia agak mahir berbahasa Inggeris, masih ada juga kosa kata yang dia tidak pernah dengar dituturkan oleh ketua makmal Mazz Win itu.

"Ada beberapa ujian yang perlu kami lakukan lagi."

"Berapa lama?" Datuk Azhar seperti sudah tidak sabar.

"Sabar, Datuk. Perkara begitu tak boleh terlalu tergesa-gesa. Ia mesti sempurna." Dr Israr memujuk.

Datuk Azhar mengurut dahinya. "Hari tu kata dua bulan lagi. Sekarang dah masuk tiga bulan pun masih belum dapat produk yang terakhir? Apa saya nak cakap dengan pelabur? Mereka dah banyak berhabis untuk projek ni." Sebagai seorang ahli perniagaan, Datuk Azhar lebih mementingkan keuntungan daripada memikirkan kesempurnaan produk ciptaan syarikatnya.

"Segala-galanya mesti sempurna, Datuk. Ini pesan arwah Datin." Dr Israr mengingatkan.

"Apa-apa sajalah. Tapi saya mahu produk terakhir itu dipamerkan minggu depan di hadapan para pelabur. Walau bagaimana cara sekalipun, sempurnakannya, Israr." Datuk Azhar bangun. Komputer tablet di tangannya, diserahkan kepada Peya.

"Datuk...komputer tu tak boleh dibawa keluar dari sini." Dr Israr segera menghampiri mereka. "Di dalamnya terdapat segala maklumat mengenai produk ini. Kalau terlepas ke tangan orang lain, kita boleh musnah."

Datuk Azhar memandang wajah Peya seketika sebelum memandang Dr Israr. Dia menarik nafas dalam-dalam. "Peya."

Peya segera meletakkan kembali komputer tablet itu di atas meja.

"Nanti sediakan laporan untuk para pelabur. Mereka perlu diberitahu sesuatu," Datuk Azhar berpesan sebelum melangkah keluar dari bilik mesyuarat yang serba putih itu.

Segala peralatan, kemasan lantai dan dinding diperbuat daripada bahan berwarna putih salji. Silingnya pula ialah cermin. Malah pakaian Dr Israr juga berwarna putih. Hanya kasutnya sahaja berwarna hitam. Kadang-kadang Peya terasa silau setiap kali masuk ke situ. Selalunya hanya dia dan Datuk Azhar sahaja yang membawa warna ke dalam bilik itu.

Di luar bilik mesyuarat, tiga orang pengawal keselamatan sudah menanti mereka. Sebagaimana mereka datang tadi, sebegitulah mereka pulang iaitu dengan diiringi oleh tiga orang pengawal keselamatan yang lengkap bersenjata. Seolah-olah masuk ke dalam bank; itulah tanggapan Peya sewaktu kali pertama mengiringi Datuk Azhar ke situ.

Mereka melalui koridor sebelum tiba di pintu pemeriksaan pertama. Tubuh badan mereka diimbas rapi sebelum dibenarkan keluar dari situ. Selepas melalui satu lagi koridor, mereka tiba di pintu pemeriksaan kedua. Di sini, Peya dan Dato' Azhar mengambil semula barang-barang peribadi milik mereka yang harus ditinggalkan seperti telefon bimbit dan beg tangan. Hatta barang kemas sekalipun tidak dibenarkan dibawa masuk ke dalam makmal.

Sebelum keluar dari bangunan makmal, mereka diminta melakukan pengesahan pengenalan diri dengan menekap tapak tangan kanan ke atas alat pengimbas. Sesudah identiti mereka disahkan, barulah mereka boleh keluar dari bangunan itu. Cara masuk dan keluar memang sama dan setiap kali ke situ, itulah rutin keselamatan yang harus mereka lalui. Tiada sesiapa pun yang terlepas hatta Datuk Azhar sendiri.

Walaupun terasa agak pelik dengan kawalan yang sebegitu ketat, Peya tidak pernah memandang serius akan perkara itu. Baginya ia satu kecanggihan yang mesti diraikan. Bangga sungguh dia kerana dapat menjadi orang penting, merasai kesemua kecanggihan itu. Antara rakan sejawatannya di pejabat, Peya bolehlah dikira sebagai permaisuri segala pembantu am. Dia pengiring utama lelaki paling berkuasa di dalam Mazz Win Dherma.

Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Where stories live. Discover now