Bahagian 2 -- Ops Doppleganger (Part 1)

102 2 0
                                    

Aku bukan sesiapa. Lahir ke dunia bukan kupinta. Dikutip dan dibela oleh penjahat paling digeruni di bandaraya ini. Sejak kecil, aku hanya tahu menghayun senjata, menumpahkan darah tanpa rasa. Aku dilatih sebegitu rupa demi 'membalas jasa' mereka yang telah membesarkanku ~ Atilea

Demi agama, bangsa dan negara, aku rela berkorban. Nusa ini perlu diselamatkan daripada tangan-tangan yang ingin menghancurkan. Misiku hanya satu, cari atau musnah atau menyelamat ~ Izz Qhuzairy

SEJAK beberapa jam lalu telinganya dihidangkan dengan suara jeritan dan raungan perempuan di bilik kurungan sebelah. Dia hanya mampu mendengar rintihan sayu dan erangan seksa perempuan itu. Hendak menolong apakan daya sedangkan tubuhnya sendiri sedang dipasung di atas lantai yang dingin. Tubuhnya luka di sana sini. Dia tak mampu bangun. Anggota tubuhnya sudah mengaku kalah.

Tapi tengah malam itu, sel kurungan menjadi sunyi. Tiada lagi suara jeritan dan raungan penghuni di sebelah bilik kurungannya. Mungkin perempuan itu sudah pergi menemui Penciptanya. Hanya tinggal dia sendirian, mengira detik kembali kepada-Nya.

Entah berapa lama dia terbaring, sekejap sedar, sekejap lena. Tubuhnya sudah terlalu lemah. Tidak diberi makan dan minum entah berapa lama. Tekaknya kering. Bibirnya merekah. Sesekali dia tertelan darah sendiri. Rasa berlogam.

Dia memejamkan matanya. Cuba menghanyutkan fikirannya ke alam bawah sedar supaya dia boleh melarikan diri daripada kesakitan, kekecewaan, kemarahan dan dendam. Belum pun sempat dia hanyut, pintu besi bilik kurungannya dibuka. Namun dia malas mahu mempedulikan gangguan itu. Sudah pasti si penyeksa kembali mahu memeras segala maklumat yang mungkin dia sembunyikan. Derap kasut but semakin menghampiri tubuhnya. Dia menarik nafas dalam-dalam, menyediakan diri untuk disepak terajang. Moga-moga si penyeksa tidak tersepak lengan kirinya yang terkehel atau mungkin sudah patah tulangnya.

"Lea!" Suara itu berbisik keras. Sebelum sepasang tangan menarik tubuhnya perlahan-lahan supaya duduk.

Atilea membuka matanya. Dalam keadaan samar, dia cuba mengecam orang yang sedang membuka kunci rantai pada kaki dan tangannya.

"Kau kena pergi dari sini sebelum Papa pulang." Orang itu masih berbisik keras kepada gadis bertopeng muka itu. Yang kelihatan cuma matanya yang bundar dan bibirnya yang merah. Gadis ini persis Si Catwoman lakonan Anne Hathaway.

"Jeremi?" Atilea terkejut melihat orang kepercayaan kuat Papa. "Kau buat apa ni? Kalau Papa tahu kau selamatkan aku..."

"Syy..." Jeremi meletakkan jari telunjuknya ke bibir Atilea yang pecah merekah. "Papa tak akan tahu kalau kau tak beritahu." Sempat dia mengukir senyuman mengusik.

Atilea mengeluh lemah. Sempat lagi Jeremi hendak bergurau senda dalam keadaan getir seperti ini. Dia terpaksa mengetap gigi apabila Jeremi membantunya berdiri. Semua kesakitan yang dirasainya ditelan dengan tabah. Semenjak kecil dia tidak pernah diajar meluahkan perasaan sakit. Perkataan itu tidak wujud dalam kamus hidupnya.

Jeremi meletakkan tangan kanan Atilea ke atas bahunya. Sementara sebelah tangannya memeluk pinggang gadis itu dari sisi. Tika mereka bergerak keluar dari bilik kurungan dan melintasi bilik kurungan lain, Atilea teringat sesuatu.

"Remi...ada sorang gadis terkurung di sebelah sel aku." Langkah Atilea terhenti di hadapan pintu bilik kurungan yang dimaksudkan. Dia mengintai di sebalik jeriji besi. Sesusuk tubuh terperosok di sudut sel kurungan. Nampak seperti tidak bergerak.

"Lupakan dia, Lea." Jeremi menarik tubuh Atilea menjauhi pintu bilik kurungan.

"Tak...aku tak boleh tinggalkan dia." Atilea menolak tangan Jeremi dan membuka pintu bilik kurungan yang sememangnya tidak berkunci. Tidak perlu kunci di situ kerana semua tahanannya dipasung dengan rantai sama ada pada lantai atau dinding.

Terhincut-hincut Atilea menghampiri sekujur tubuh yang terperosok. Dengan sebelah tangan, dia membalikkan tubuh si gadis. Wajah gadis berambut panjang itu comot dengan bengkak dan darah. Sukar untuk melihat wajahnya dengan jelas. Pakaiannya juga sudah tidak sempurna. Koyak sana sini. Kasihan gadis ini. Dia bukan sahaja dipukul, tapi juga diperkosa. Atilea berasa simpati. Satu perasaan yang dia baru belajar ertinya.

"Remi...bantu aku bawa dia keluar dari sini." Atilea menoleh ke arah Jeremi yang berdiri di sisinya.

Wajah Jeremi serba salah. Resah mendengar permintaan sukar Atilea. "Melepaskan kau adalah satu risiko besar bagi aku. Sekarang kau nak aku lepaskan perempuan ni juga?"

Atilea mengetap rahang. "Kalau begitu, baik kau selamatkan saja gadis ni dan tinggalkan aku di sini. I'm okay, Remi. Aku dah bersedia untuk mati...aku berhak untuk mati! Tapi bukan gadis ni. Dia tentu tak bersalah apa-apa."

Jeremi melepaskan keluhan berat. Kedua-dua belah tangannya meraup kepala. "Baiklah." Dia terus bercangkung dan mahu membuka kunci rantai pada tangan dan kaki gadis malang itu. Tapi kemudian, aksinya terhenti. "Dia dah tak bernyawa." Berbaur nada kesal pada suara Jeremi. Tubuh gadis malang itu sudah kaku, kejung dan sejuk.

Atilea terkaku seketika. Dia terkejut. Bukan sebab gadis itu mati. Tetapi kerana dirinya dalam penafian. Sudah lama sebenarnya dia tahu gadis itu tidak bernyawa. Entah kenapa tiba-tiba ada keinginan di jiwanya untuk jadi penyelamat. Padahal selama ini tugasnya ialah mencabut nyawa. Sejak bila dia tahu menyelamatkan nyawa? Adakah kerana nyawanya sendiri dalam bahaya maka keinginan untuk diselamatkan dan menyelamatkan itu menjadi dominan?

Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Where stories live. Discover now