Bahagian 2 -- Ops Doppleganger (Part 3)

74 2 0
                                    

MASCARILLA atau Si Topeng Maut ini bukan calang-calang orang! Sepantas kilat Izz Qhuzairy melompat bangun dan terus memasang kekuda. Darah yang mengalir di hujung bibirnya diseka dengan belakang tangan. Lidahnya terasa berlogam saat tersentuh cecair merah yang muncul dari rekahan luka. Tanpa tunggu wanita yang dipanggil Mascarilla itu menyerang, Izz Qhuzairy membuat tendangan sisi.

Namun tendangannya berjaya dielak perempuan bertopeng itu. Izz Qhuzairy tidak akan sesekali mengalah kali ini. Dia tidak akan tewas lagi. Sebelum ini sudah beberapa kali dia berhadapan dengan perempuan berpakaian dan bertopeng hitam seperti Black Canary ini. Seringkali pertarungan mereka tanpa ada penamat. Sama ada pihak polis datang mengganggu atau perempuan ini diselamatkan oleh rakan-rakannya.

Tetapi hari itu, Izz Qhuzairy tidak akan melepaskan Mascarilla. Hanya ada mereka berdua di ruang pejabat itu. Tiada polis. Tiada penjahat. Hatta lelaki yang menjadi sasaran pembunuh upahan ini juga sudah melarikan diri apabila disuruh tadi.

Pertarungan diteruskan. Izz Qhuzairy terus mengasak Mascarilla sehingga dia terpaksa melompat ke atas meja, mengelak, memanjat dan melompat. Segala pergerakan Mascarilla itu pantas, licin dan kemas persis ahli akrobatik. Seperti kata pepatah, sepandai-pandai kucing melompat ke atas meja yang beralas, ia akan jatuh juga jika alasnya ditarik.

Mascarilla jatuh terlentang di atas lantai. Sepantas kilat Izz Qhuzairy melepaskan tendangan sisi beberapa kali mengenai tubuh perempuan itu. Jika ikutkan keadaan yang aman, tidak mungkin Izz Qhuzairy sanggup dan terdaya menghayun kaki kepada seorang perempuan. Tetapi sekarang keadaannya berbeza. Mascarilla ialah penjenayah yang paling dikehendaki. Jadi tiada langsung belas kasihan.

Tubuh Mascarilla tiba-tiba tidak bergerak. Izz Qhuzairy berhenti menendang. Termengah-mengah dia mengambil nafas. Nyata sekali lawannya kali ini memang bukan calang-calang penjahat. Kemampuan Mascarilla hampir setanding dengan lelaki yang pernah ditewaskannya.

Tika Izz Qhuzairy tunduk mahu menggari Mascarilla, tiba-tiba kepalanya terasa dihentak sesuatu. Celaka! Mascarilla ini main kotor. Rupa-rupanya dia tidak pengsan. Dia berjaya menghempas sebiji pasu ke kepala Izz Qhuzairy.

Apabila Izz Qhuzairy mengerang kesakitan, Mascarilla terus bingkas bangun dan menghilangkan diri seperti biasa. Tidak lama selepas itu barulah siren polis kedengaran bersahut-sahutan.

Kemudian beberapa orang anggota bersenjata merempuh masuk ke dalam ruang pejabat urusan Seteguh Waja Securities. Mereka terus menjalankan tugas mengawasi tempat kejadian bagi memastikan tiada saki baki penjenayah yang masih berada di situ.

"Keadaan selamat!" umum salah seorang anggota yang memeriksa di bilik-bilik pejabat yang ada di situ.

"Di sini juga tak ada apa-apa ancaman," sahut seorang lagi yang datang dari arah lain.

"Tuan!" Seorang anggota berpakaian biasa yang baru masuk terus menerpa ke arah Izz Qhuzairy yang sedang melutut di atas lantai sambil memegang sisi kepalanya yang berdarah. Menggunakan walkie-talkie di tangan, anggota berpakaian biasa itu mengarahkan pasukan paramedik masuk.

"Bagaimana tuan?" Dia membantu Izz Qhuzairy bangun.

"Terlepas. Tapi dia gagal bunuh mangsa." Izz Qhuzairy didudukkan di atas sofa. Sepasukan anggota paramedik bergegas masuk untuk merawat luka di kepalanya.

"Tuan dapat lihat mukanya kali ni?" Sarjan Mat, anggota polis berpakaian biasa tadi mula meneliti tempat kejadian. Mahu mencari bukti yang ditinggalkan penjenayah.

"Tak. Tapi sekurang-kurangnya saya berjaya halang niatnya." Izz Qhuzairy membiarkan pasukan paramedik membersihkan dan membalut lukanya. Mujur luka tidak dalam dan tidak perlu dijahit.

Usai merawat luka kecil di kepala pegawai polis berpangkat ASP itu, anggota paramedik berkenaan keluar dari rumah. Barulah selesa Izz Qhuzairy hendak membincangkan kes itu dengan anggota pasukannya.

"Saya pelik." Izz Qhuzairy bangkit perlahan-lahan. Tubuh badannya masih terasa sakit dan sengal akibat pertarungan tadi.

"Maksud tuan?" Sarjan Mat yang sedang bercangkung meneliti tompokan darah di atas lantai menoleh memandang pegawai atasannya.

"Selama saya mengkaji profil penjenayah ni, kesemua mangsa-mangsanya ialah penjenayah juga. Tapi kenapa hari ni dia bertindak mahu membunuh seorang lelaki yang tidak berprofil tinggi? Malah seorang pengawal keselamatan." Izz Qhuzairy melemparkan keraguan.

"Mungkin sebab pengawal tu enggan bekerjasama dengan mereka, tuan?" Seorang gadis berambut pendek yang memegang kamera tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyampuk. Sabrina ialah seorang pegawai forensik yang ditugaskan untuk merakam, mengumpul dan menganalisis bukti.

"Bekerjasama dengan pengawal jaga bangunan? Kerjasama jenis apa tu?" Seorang lagi anggota forensik melangkah masuk. Di bahunya tersandang sebuah beg hitam berbentuk kotak. Di dalam beg itu tersimpan segala peralatan untuk mengumpul bukti.

"Tak mungkin. Ada sebab lain mengapa dia mahu bunuh pengawal keselamatan tu." Izz Qhuzairy menafikan spekulasi yang dibuat oleh Sabrina yang kini begitu sibuk mengambil gambar tempat kejadian.

Ada sesuatu yang aneh dilihatnya tadi. Pengawal keselamatan yang disasar oleh Mascarilla bukan calang-calang orang. Dia masuk campur akan pergaduhan itu tadi pun kerana mendapati lelaki itu tiba-tiba lemah selepas disuntik sesuatu oleh pembunuh upahan itu.

Izz Qhuzairy bertinggung di sisi Sarjan Mat yang sedang meletakkan nombor di sisi tompokan darah yang ditemuinya.

"Ini darah tuan, ke?"

Izz Qhuzairy menggeleng kepala. "Darah saya di sana." Dia menuding ke ruang makan. "Ini dah tentu darah pembunuh bertopeng tu. Saya berjaya membuat torehan seni pada sebelah kanan tubuhnya." Izz Qhuzairy berasa puas hati kerana berjaya 'menanda' tubuh Mascarilla . "Dani, analisis kesemua bukti dengan segera. Kita tak tahu bila dia akan bertindak lagi. Saya mahu kita bersedia bila dia munculkan diri."

"Baik, tuan!" balas Dani yang sudah pun berada di samping Sarjan Mat untuk mengambil sampel darah di atas lantai.


Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Tahanan ng mga kuwento. Tumuklas ngayon