Bahagian 1 -- Kucupan Edelweiss (Part 5)

83 4 0
                                    

"BERAPA?" Seorang lelaki berjaket kulit bertanya kepada pegawai forensik yang selesai mengumpulkan bukti di tempat kejadian.

"Lima," Perlahan jawapan pegawai wanita itu. Tanda namanya bertulis 'Atikah'. Wajahnya muram sahaja. Begitu reaksinya setiap kali dia dipanggil mengumpulkan bukti di tempat kejadian. Cuma kes kali ini, begitu menyentuh hati wanitanya. Adakala dia sudah tidak sanggup untuk ke tempat kejadian mahupun ke makmal jenayah menganalisis bukti. Setiap hari sebelum ke tempat kejadian, dia terpaksa menenangkan dirinya supaya sentiasa tabah dan sabar berhadapan dengan kekejaman manusia yang saban hari semakin hilang perikemanusiaan.

"Lima?" Lelaki yang bertanya tadi jelas terkejut. "MO yang sama?"

Atikah mengangguk. "Bila laporan siap saja, saya akan hubungi tuan." Dengan langkah perlahan, dia menghampiri kenderaan forensik polis. Kesemua bukti dan mayat lelaki bertatoo yang dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap sudah pun berada di dalam kenderaan itu.

Lelaki berjaket itu meninggalkan tempat kejadian dan menghampiri lorong suram berhampiran. Seorang lagi rakan setugasnya sedang menanti di situ.

"Lima. MO sama," Dia mengulangi laporan awal yang baru diterima tadi. "Sama macam dulu. Aku pasti mereka tak meninggalkan bukti."

"Terima kasih, inspektor," ucap lelaki yang seolah-olah bersembunyi di lorong yang suram itu. Tiada siapa yang nampak kehadirannya. Orang pasti menyangka Inspektor Ramzi sedang bercakap sendirian. "Saya akan tunggu laporan lengkap daripada forensik. Jumpa lagi." Lelaki itu menghilangkan diri di sebalik kegelapan malam yang semakin dinihari.

Ramzi menghampiri keretanya.

"Siapa tu, tuan? Selalu saja saya tengok tuan bercakap dengan dia?" Sub-Inspektor Ram Kumar menyoal. Sudah lama dia memerhati akan kemunculan lelaki misteri yang sering bersembunyi di sebalik bayang-bayang itu. Tidak pernah dia muncul di kawasan yang terang. Dia muncul di setiap lokasi jenayah kes yang sedang mereka siasat ini.

"Orang daripada skuad khas. Saya pun tak pernah tengok wajah dia dengan jelas. Sama ada dia bersembunyi di sebalik bayang ataupun dia memakai penutup kepala." Ramzi tidak keberatan berkongsi maklumat itu.

"Skuad khas?" Ram Kumar agak teruja mendengarnya. "Saya pernah dengar kisah mereka daripada ayah saya. Katanya skuad khas ialah pasukan elit yang dilatih untuk membanteras jenayah terancang berprofil tinggi...dan juga anti keganasan." Lebih 30 tahun ayah Ram Kumar berkhidmat dalam pasukan polis. Sungguhpun dia pencen dengan pangkat sarjan mejar, telah banyak jasa yang ditaburkan demi keselamatan negara.

"Benarlah seperti apa yang ayah kamu ceritakan." Ramzi mengiyakan. "Mereka ni licik. Macam hantu. Masa di pusat latihan dulu, kawan-kawan saya menggelar mereka Jejak Hantu. Tiada siapa yang tahu identiti sebenar mereka. Hatta pegawai berpangkat tinggi sekalipun. Ramai yang cuba nak menyertai skuad ni. Tapi tak tahu bila dan bagaimana anggota skuad dipilih." Ada sedikit kekecewaan pada nada suara Ramzi. Dahulu dia pun pernah bercita-cita hendak menyertai skuad Jejak Hantu. Namun peluang tidak pernah datang. Apabila ditanya kepada pegawai atasannya, dia hanya diketawakan. Mana ada Jejak Hantu, begitu dakwaan mereka. Akhirnya dia terpaksa menerima kenyataan itu dengan hati separuh kecewa.

Tetapi segala-galanya berubah semenjak mayat-mayat penjenayah yang dikehendaki mula bergelimpangan tidak bernyawa di sekitar bandar. Dan waktu itulah lelaki misteri itu mula muncul. Ramzi juga telah menerima arahan daripada pihak atasan supaya membantu lelaki itu tanpa banyak soal. Jelas sekali skuad Jejak Hantu memang wujud. Alangkah bagusnya kalau Ramzi dapat menyertainya.



Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Unde poveștirile trăiesc. Descoperă acum