Bahagian 1 -- Kucupan Edelweiss (Part 3)

95 5 0
                                    

"KAU dengan Adam merancang ke?"

Hampir hendak tersembur keluar mihun goreng yang baru dijamah oleh Peya apabila mendengar pertanyaan Munifah. "Kenapa pula tanya aku soalan tu?" Jelas sekali Peya tidak senang dengan pertanyaan Munifah. Terlalu kecoh sangat.

"Yalah...selalunya orang kahwin ni nak cepat dapat anak. Tambah rezeki." Suara Munifah langsung tidak mesra. Seolah-olah dia menyindir Peya pula.

Hairan Peya melihat sikap Munifah sejak kebelakangan ini. Semenjak dia berkahwin dengan Adam, sikap Munifah terhadapnya memang jauh berubah. Munifah selalu sinis dan kerap menyindirnya. Tetapi entah kenapa, Peya masih boleh bertahan berkawan dengan Munifah.

"Belum rezeki kami nak tambah rezeki," balas Peya sambil lewa. Segera dia menghabiskan baki mihun di pinggan; bimbang ditabur dengan pelbagai soalan yang bakal memerangkap dirinya. Kalaulah Munifah tahu dia dan Adam masih belum pernah bersama, tentu heboh satu bangunan itu orang mengumpatnya. Mulut Munifah hampir menyamai murai tercabut ekor.

"Datuk ada mesyuarat kat luar sekejap lagi. Aku naik dulu." Peya bangun dan mencapai cawan kertas yang masih penuh berisi Milo O panas. Terbantut seleranya dek soalan Munifah yang berbentuk perangkap itu. Sewaktu menunggu lif untuk naik ke tingkat atas, Peya terserempak dengan Adam. Suaminya itu baru habis bertugas syif malam.

"Abang nak Milo?" Dia menyuakan cawan kertas di tangannya.

"Peya tak nak ke?" tanya Adam sambil menyambut cawan kertas itu lambat-lambat.

"Tak apa. Abang minumlah. Lagipun Peya nak cepat ni. Datuk ada mesyuarat...dekat makmal." Di hujung ayat, Peya berbisik ke telinga Adam. Dia terpaksa berjingkit sungguhpun memakai kasut tumit dua inci. Adam memang tinggi orangnya. Kepala Peya hanya separas bahunya sahaja.

"Seronoklah tu?" Adam menyembunyikan senyum. Dia cukup faham perasaan isterinya setiap kali dibenarkan mengikuti Datuk Azhar ke makmal Mazz Win Dherma.

"Mestilah. Bukan calang-calang orang tau." Sudah acap kali Peya mengulangi kenyataan itu. Sesungguhnya dia bangga diberikan keistimewaan itu. Hatta pengurus besar pun tidak ada akses memasuki makmal yang dikawal ketat itu.

"Petang nanti abang jemput kat tempat biasa ya." Sebelum pintu lif tertutup, sempat Adam berpesan.

"Okey." Peya sempat melambai.

Adam berpaling dan berjalan masuk ke dalam kafeteria. Dia menuju ke arah gerai yang menjual kuih muih pelbagai jenis. Ketika ralit memilih kuih, seseorang datang menegurnya.

"Hai, Adam. Sorang saja?" tegur Munifah, begitu mesra. Galak matanya merenung Adam.

"Kau ada nampak orang lain dengan aku ke?" Selamba Adam menyoal. Dia tidak akan memberi muka lagi kepada Munifah. Gadis itu memang sengaja mahu menggodanya. Padahal dia suami sahabat baiknya. Entah apa jenis perempuanlah Munifah ini, kutuk Adam di dalam hati.

Walaupun ditempelak begitu, Munifah tetap tidak serik mahu menarik perhatian Adam. Dia hanya tersengih macam kerang busuk di sisi lelaki itu.


Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Hikayelerin yaşadığı yer. Şimdi keşfedin