Bahagian 1 -- Kucupan Edelweiss (Part 2)

128 5 0
                                    

"Kau dah fikir habis-habis?" tanya Munifah sungguh-sungguh. Wajah teman baiknya itu ditenung dalam-dalam.

"Nak fikir habis bagaimana lagi, Muni? Apa pilihan yang aku ada?"

Munifah mengeluh, melepaskan perasaan tidak puas hati yang membengkung dirinya. "Takkan kerana takut digelar anak dara lanjut usia kau sanggup kahwin dengan lelaki yang kau baru saja kenal?" Sinis nada suara Munifah menempelak.

"Bukan itu saja alasannya. Aku memang dah tak ada sesiapa. Kawan lelaki pun tak pernahnya serasi. Aku nak tunggu sampai bila? Ni kira ajaib jugalah si Adam tu tiba-tiba ajak aku kahwin." Peya malas hendak fikir panjang lagi. Walaupun hatinya separuh sahaja yang menerima lamaran Adam, dia sanggup menerima lamaran pemuda yang baru dikenalinya itu. Perkenalan mereka baru tiga bulan usianya. Adam tiba-tiba melamar. Dan Peya, bagaikan lembu dicucuk hidung, terus bersetuju.

"Kau jangan menyesal, Peya. Kahwin bukan perkara main-main. Ikatan seumur hidup, tahu tak? Tak boleh batalkan sesuka hati kau. Hari ni suka, esok boleh buang." Munifah terus membebel, mengalahkan emaknya di kampung pula. "Kau belum kenal hati budi si Adam tu. Memanglah luaran dia nampak baik. Tapi hati dia, kau tahu ke? Baru kenal tiga bulan, bertemu janji pun cuma beberapa kali, tiba-tiba ajak kau kahwin. Tak rasa pelik ke?"

"Nak pelik apa pula? Agaknya dia cinta pandang pertama pada aku kut." Peya masih sempat lagi berlawak jenaka.

"Kalau aku kata dia nak kau semata-mata kerana duit...kau percaya?" Munifah masih bersungguh-sungguh menentang niat Peya mahu bersuamikan Adam.

"Duit?" Peya tergelak. "Duit apanya? Aku bukan orang berharta. Gaji pun setakat RM3200 saja. Baru saja naik pangkat jadi PA cabuk Datuk Azhar." Peya menangkis dakwaan Munifah.

"Mana ada PA yang gaji macam kau? Orang macam kita yang kerja lebih 10 tahun aje baru dapat merasa gaji macam tu tau. Kau kira bertuahlah juga sebab dapat naik pangkat secepat ni. Baru dua tahun jadi kerani, dah naik pangkat jadi PA gaji macam eksekutif. Siapa tak buntang mata tengok? Termasuk sekali si Adam jaga tu. Sedarlah sikit, Peya. Dia nak kau sebab gaji kau tu aje."

Berkerut dahi Peya merenung Munifah yang begitu beria-ia menentang niat Adam terhadapnya. Daripada tidak berasa apa-apa, Peya mula berasa jengkel terhadap Munifah. "Entah-entah kau cemburu tak sebab Adam melamar aku? Maklumlah...Adam tu walau tak masuk kategori kacak...muka dia manis juga. Ada daya penarik."

Wajah Munifah terus mencuka. "Kita nak nasihatkan dia, kita balik yang dikata! Lantak kau lah Peya. Jangan menyesal!" Munifah berjalan pergi meninggalkan Peya dengan hati bergumpal dendam.

"Makan apa malam ni, sayang?"

Tersentak Peya apabila Adam menyergah dari belakang. Rupa-rupanya jauh juga dia mengelamun sampai tidak sedar kemunculan Adam di dapur yang sempit itu. Baru masuk dua orang, sudah tiada ruang untuk bergerak selesa.

"Sup sayur, ikan goreng dan sambal belacan." Peya menjawab sambil mencapai piring dari rak besi. Dua ekor ikan selar bersaiz sederhana yang sudah siap digoreng, diangkat ke dalam piring kaca lut sinar itu. "Abang, tolong bancuh air teh." Peya menghulurkan jag plastik kepada Adam yang masih ralit memandangnya menghidang makanan.

Adam akur, seperti selalu. Malah lelaki itu memang ringan tulang membantunya di rumah. Suruhlah apa sahaja; memasak, membasuh, mengemas, menyidai pakaian, menyapu lantai; semuanya Adam boleh lakukan tanpa banyak soal.

"Abang kerja malam ni?" Peya sempat menjeling ke arah Adam. Selalunya selepas sembahyang Isyak, dia akan memakai baju tidur. Tetapi malam itu dia memakai baju t Pagoda dan berseluar hitam.

"Kerja. Gantikan Isam. Bini dia dah bersalin petang tadi." Adam membawa jag yang berisi teh O ke ruang tamu. Di situlah tempat mereka bersantai, di situlah tempat mereka makan. Di samping dua buah kerusi rotan, terdapat meja lipat berbentuk segi empat di sudut sebaris dengan pintu masuk rumah. Itulah meja makan mereka.

Peya menyendukkan nasi panas dan menghulurkannya kepada Adam. Kemudian di duduk di sisi lelaki itu sambil menghadap televisyen.

"Peya tak makan?" tegur Adam apabila dilihatnya Peya hanya mengunyah kerepek pisang yang dikirimkan oleh ibu mentuanya.

"Petang tadi Peya dah makan di pejabat Dato' Jalal." Semenjak menjadi PA Datuk Azhar, dapat juga Peya menumpang rezeki orang kaya. Apa yang Datuk Azhar makan, dia dapat merasa. Maklumlah, PA sulit peribadi yang ikut sahaja ke mana ketuanya pergi. Mujur Datuk Azhar tidak pernah memintanya bertugas hingga waktu malam. Jika tidak, tentu Adam tidak mengizinkan.

"Mesyuarat apa dengan Dato' Jalal tadi?" Sambil makan, sempat lagi Adam menyoal siasat. Sudah rutin Adam begitu. Semua kerja Peya dia mahu tahu. Peya pula tidak pernah kisah berkongsi cerita dengan Adam kerana hanya pada lelaki itu sahaja dia berani bercerita. Datuk Azhar sudah meminta dia supaya menjaga segala rahsia daripada pengetahuan sesiapa di pejabat. Peya tidak fikir Adam termasuk dalam lingkungan itu. Sungguhpun Adam menjadi pengawal keselamatan di bangunan tempat pejabatnya diletakkan, lelaki itu bukan pekerja Mazz Win Dherma.

"Pasal produk anti penuaan terbaharu. Yang dulu Peya cerita pada abang tu. Kalau pakai, wajah berkedut pun akan licin." Peya kedengaran kagum bercerita mengenai produk terbaharu syarikat kosmetik yang diwarisi oleh Datuk Azhar daripada arwah isterinya Dr. Mazwin; pengasas Mazz Win Dherma.

"Tipulah. Kalau dah kedut tu, guna iron pun tak akan licin." Adam menuangkan air ke dalam kobok untuk membasuh tangan.

"Abang memang...semuanya tak pernah percaya. Peya dah tengok hasilnya." Geram pula Peya apabila Adam memperlekehkan syarikat tempatnya bekerja.

"Pernah tengok? Kat mana?" Adam mengelap bibirnya dengan tuala.

"Kat makmal lah. Mana lagi." Peya begitu berbangga. Bukan calang-calang pekerja boleh masuk ke dalam makmal Mazz Win Dherma yang dikawal rapi itu. Hanya penyelidik dan pekerja di dalam makmal sahaja yang bebas keluar masuk ke situ. Disebabkan dia PA Datuk Azhar, maka dia turut mendapat akses masuk ke dalam makmal. Pekerja di bahagian lain, yang bukan R&D, sama sekali dilarang ke sana. Begitu bangganya Peya mendapat keistimewaan itu.

"Peya dapat masuk makmal Mazz Win?" Nada suara Adam sedikit berubah.

Peya merenung Adam. Sudah pasti Adam juga berasa kagum mendengarnya. Bertambah lebar senyuman di bibirnya. "Tentulah. Abang fikir Peya ni siapa? Ni PA sulit khas Datuk Azhar, tau. Semua rahsia Datuk ada dalam kepala Peya." Angkuh sekali Peya membuat pengakuan.

Adam tersenyum; senyuman yang sarat berisi makna yang dalam. "Peya tentu tak keberatan berkongsi dengan abang, kan?"

Peya mencebik. "Kalau ikutkan hati Peya, tak mahu cerita. Tapi disebabkan Peya tak dibenarkan buka mulut pada sesiapa, hatta pada Muni sekali pun, Peya terpaksa...terpaksa tau...cerita pada abang. Mana boleh tahan, bang. Simpan rahsia sorang-sorang. Boleh jadi gila kalau tak diluahkan." Peya bangun dan mula mengemas meja makan.

"Sayang isteri abang." Adam terus mencium pipi Peya.

"Abang ni!" Cepat-cepat Peya berganjak dari tempatnya berdiri. Sebelah tangannya menyapu pipi yang terasa dingin dikucup oleh Adam. "Jangan lebih tau. Peya belum sudi lagi!" Peya memberikan amaran entah buat berapa kali.

Ya, memang dia sudi bernikah dengan Adam. Tetapi dia masih belum sudi menjadi isteri Adam sepenuhnya. Hanya itu sahaja tanggungjawabnya sebagai isteri yang belum dilunaskan. Dan mujurlah Adam tidak pernah mendesak. Pada mulanya Peya rasa hairan juga kerana Adam langsung tidak pernah memaksa atau cuba-cuba memaksa. Lelaki itu seolah-olah tidak kisah. Peya apa lagi, hip hip horey sahajalah. Kadang-kadang dia sendiri hairan. Perkahwinannya dengan Adam untuk apa sebenarnya? Bukankah untuk melahirkan zuriat penyambung umat akhir zaman?

"Dah lah. Jangan merajuk. Abang nak pergi kerja ni." Sempat Adam menggosok ubun-ubun kepala Peya sebelum masuk ke dalam bilik menyarung pakaian seragam putihnya. Setelah menyarung stoking dan kasut, Adam keluar dari rumah. "Abang pergi dulu ya, sayang." Dia berpesan sebelum melalui koridor dan turun ke tingkat bawah.

Peya yang sedang mencuci pinggan hanya sempat melihat kelibat Adam melintasi tingkap nako di dapur. Bunyi tapak kasut Adam menuruni tangga kian menghilang. Sebentar kemudian Peya dapat mendengar sayup-sayup bunyi motosikal Adam meninggalkan Flat Taman Mulia. Beginilah rutin hariannya. Sering ditinggalkan sendirian pada waktu malam. Tetapi Peya tidak pernah kisah. Dia rasa hidupnya sudah cukup bahagia.

Jejak Hantu (Antologi Aksi Bunuhan) [PUBLISHED]Where stories live. Discover now