Bab 8

9K 546 26
                                    

Ada tikanya kau merasakan kau mungkin telah kehilangan segala-galanya,

Terutamanya kasih yang sudah lelah kau tagih pada mereka yang tak sudi, 

Pada mereka yang penuh dengan kepura-puraan dalam menabur benih sayang.

Di saat itu, Sang Pencipta hadirkan seseorang diluar jangkaan akal celikmu,

Seseorang yang mampu mengubat lukamu yang belum sepenuhnya sembuh, 

Mungkin dia bukan yang kau pinta tetapi dia adalah seseorang yang kau perlu. 

-Yara Ameena 

Puisi yang ditulis untuk menggambarkan perasaanya pada ketika itu segera diunggah ke MuseNote. Yara dapat rasa hatinya sedikit ringan. Menulis memang baik untuk minda yang tengah rungsing. Tak semua yang selesa untuk meluah kepada sesama manusia. Dia antara salah seorang. 

Esok, pertunangan dia dengan Attar bakal berlangsung. Zikir semakin banyak membasahi bibir sejak dua tiga hari yang lalu untuk menenangkan badai di hati. Sudahlah dia penghidap anxiety. Jangan esok dia pengsan sudah. 

Anehnya, Attar tidak lagi menghantar pesanan Whatsapp kepadanya sejak beberapa hari yang lalu setelah mereka set untuk memakai baju berwarna hijau mint pada hari pertunangan esok. 

'tok, tok, tok'

Ketukan pada pintu bilik meleraikan lamunannya. Tombol pintu dipulas daripada luar sebelum wajah Yasna muncul dari sebalik pintu. Adik perempuan Yara. Langkahnya diatur ke arah si kakak. Punggung dihenyak pada sisi katil. 

"Hang ok dak kak?" 

"Ok ja. Awat pasaipa?"

"Saja kacau. Dah nak kawin dah hang noh. Ingatkan hang tak mau kawin dah." 

Kenyataan yang keluar daripada mulut Yasna mengundang senyuman sinis di wajahnya. Yara sendiri tidak pernah menyangka detik itu boleh sampai. Tapi apakan daya, perancangan Allah melebihi segalanya. Dia hanya mampu merancang. Yang membenarkan rancangan itu untuk berlaku hanya Sang Pencipta.

"Sejujurnya aku takut, Yasna. Hang tau dak bila orang tanya, apa yang hang bawak atas meja? What can you bring to the table? Apa ja yang aku bawak." Mentalnya yang kacau-bilau?

Soalan itu sering sekali dia nampak pada postingan di media sosial. Kadang-kadang sehingga menimbulkan perbalahan di antara lelaki dan perempuan. Dua-dua tidak mahu kalah. Jika difikirkan, siapa sahaja yang tak risau. Manusia bukannya seratus peratus boleh dipercayai. 

"Tak payah la dok pandang rendah sangat dengan diri tu. Hang dah ada rumah sewa sendiri, kereta sendiri, duit pun takkan tak cukup banyak lagi? Lebih daripada cukup dah tu pun." Nak berdikari sampai ke tahap mana lagi? 

Kalau kita sentiasa belajar untuk terus mensyukuri nikmat yang Allah kurniakan, Insya Allah segala kekurangan kita akan dicukupkan. Tak di dunia, di akhirat kelak. Destinasi terakhir setiap hamba-Nya. 

Yara mengeluh berat, bukan itu yang dimaksudkannya. Dia tahu tugas seorang isteri adalah patuh dengan arahan suami dan melayannya dengan baik. Dengar macam mudah tapi agak berat untuk dirinya yang tidak tahu menahu soal cinta. Kawan lelaki pun dia tak ada. 

"Sekalipun kesihatan mental aku dah tujuh puluh peratus baik, tak bermakna parut dekat tangan aku akan hilang. Kenapa aku bodoh sangat eh dulu? Apa aku nak cakap dengan Attar nanti." Nak dipatah balik masa, dia bukannya dalam cerita Avengers dengan infinity stones bagai. 

Yasna terdiam. Ya, mungkin gadis itu juga fikir benda yang sama. Dia tidak akan dapat mengelak selamanya kerana lambat laun, Attar akan tahu juga. Macam mana kalau lelaki itu fikir yang dia seorang wanita yang sempurna? Bebas daripada masa gelap yang ingin dia lari. 

"Hang kena jujur jugak dengan dia macam mana pun. Sebelum kawin hang cerita bagi habis. Insya Allah dia faham punya." 

"Hang nak aku cakap macam mana dekat dia, Yasna? Aku depress sebab mama? Sebab tu aku toreh tangan aku sana sini. Kalau hang ada dekat tempat aku, apa hang akan buat?" 

Bibir Yasna terkunci lagi. Mahu saja Yara ketawa lepas seperti orang gila tetapi dia perlu sabar. Pedulikan apa tanggapan Attar ke atasnya nanti, sekiranya lelaki itu memilih untuk pergi, dia tidak kisah walaupun hatinya mungkin akan sedikit terluka. Siapa dia untuk mengubah hati dan sangkaan pemuda itu terhadapnya. 

Mental dia mungkin tidak kuat tapi Yara sentiasa cuba untuk sembuh. Dia tidak akan sesekali biar dirinya hanyut dalam kancah kemurungan untuk kali yang kedua. Yara tidak sanggup. Apa yang dilalui sudah lebih daripada cukup. Kebodohannya suatu masa dahulu tidak akan diulang lagi. 

Zikir tidak henti-henti membasahi bibir. Sesekali, digigitnya isi dalam pipi dek kerisauan yang berlari amuk. 20 minit telah berlalu setelah ketibaan Attar dan keluarganya. Yara pastinya berada di dalam bilik. Suara tetamu yang bergelak ketawa di luar menaikkan lagi resahnya. 

‘Ya Allah, perlu ke aku pura-pura pengsan,’

Itu belum lagi hari akad nikah. Kalau hari itu tiba, agaknya dia sudah terkena serangan panik. Novel yang terletak di atas meja sisi katil dicapai lalu dibaca sementara dia belum diseru oleh Yasna untuk keluar. Fokus memang sudah lenyap tetapi dia tidak mahu ambil peduli.

'tok, tok, tok'

Tiga kali ketukan pada pintu bilik itu hampir sahaja membuatkan novel yang dipegang Yara terlepas ke muka. Tidak tahu ke Yasna yang dia sememangnya mudah terkejut. Kang tak pasal-pasal tulang hidungnya patah.

Kasih Kita Sempurna (c)Nơi câu chuyện tồn tại. Hãy khám phá bây giờ