Bab 9

9.4K 607 24
                                    

Zikir tidak henti-henti membasahi bibir. Sesekali, Yara menggigit isi dalam pipinya dek kerisauan yang berlari amuk. Dua puluh minit telah berlalu sejak ketibaan Attar dan keluarganya. Yara pastinya berada di dalam bilik, tersembunyi daripada pandangan. Suara tetamu yang bergelak ketawa di luar bilik menaikkan lagi resahnya. Ya Allah, adakah dia perlu berpura-pura pengsan. Melarikan diri daripada situasi tersebut.

Itu belum lagi hari akad nikah. Jika hari itu tiba, mungkin dia sudah terkena serangan panik. Novel yang terletak di atas meja sisi katil dicapai lalu dibaca sementara dia belum dipanggil keluar oleh Yasna. Fokus memang sudah hilang, tetapi Yara tidak mahu ambil peduli.

'Tok, tok, tok.'

Tiga kali ketukan pada pintu bilik hampir membuatkan novel yang dipegangnya terlepas ke muka. Tidak tahukah Yasna yang dia sememangnya senang terkejut? Kang tak pasal-pasal tulang hidungnya patah.

"Kakak, dah boleh keluaq dah. Sempat lagi tu dok pi baca novel." Yasna menggeleng kepala dengan perangai kakaknya. Cara macam tak ingin bertunang.

"Aku nervous la, gila. Hang tau apa." Satu jelingan maut dihadiahkan buat Yasna.

“Nanti kalau hang ada dekat tempat aku baru hang tau. Aku tahan kencing ja ni.”
“Pengotoq punya kakak.” Bahu Yara ditamparnya keras. Bertambah tajam jelingan Yara jadinya.

Pintu bilik tidur yang tertutup dibuka semula. Yara menarik nafas sedalam-dalamnya. Dengan lafaz bismillah, langkah kakinya diatur keluar dengan muka yang kebas menahan malu. Semakin kacau-bilau degup jantung jadinya.

Wajah-wajah yang dia tidak kenal mula menyapa mata. Biarpun canggung dengan keadaan itu, Yara tetap menyalami tangan beberapa orang wanita yang hadir ke majlis pertunangannya. Yang lelaki tak mungkinlah dia nak salam. Bibir mereka tidak lepas daripada memuji kecantikan rupa paras Yara. Senyuman separa ikhlas tidak lekang pada wajahnya bagi menutup gugup di hati. Jangan nak puji sangatlah. Kalau dia pengsan dekat sini siapa pula yang nak usung.

Selesai bahagian itu, Yara menyusun langkah ke arah ibu Attar, Puan Madeena yang sedang tersenyum manis menantinya di atas pelamin yang dibuat oleh mamanya. Simple dan klasik, itu yang dia rasa. Lensa kamera telefon pintar dan kamera DSLR milik tetamu dan jurukamera yang giat memfoto dan merakam dirinya tidak diendahkan.

"Assalamualaikum, bakal menantu ummi." Ucap Puan Madeena bersama senyuman yang tidak lokek. Sekali pandang dia sudah tahu pilihan Attar tidak salah. Hatinya terikat serta-merta dengan wanita muda tersebut.

"Waalaikumussalam... Ummi." Dengan teragak-agak Yara menggelar wanita itu sebagai ummi. Jujur tangannya sudah bergetar dan sejuk seperti ais batu. Muka juga mungkin sudah pucat. Tanpa membazir waktu, dia menyalam tangan Puan Madeena.

Belakang Yara diusap lembut oleh wanita itu. Tersentuh hatinya dengan tindakan ibu Attar. Dia dapat rasa yang Puan Madeena merupakan seorang wanita yang lembut dan penyayang. Kelembutannya terserlah jelas. Berkurang satu persepsi jahatnya terhadap bakal ibu mertua seperti yang dipertontonkan dalam drama. Sempat Yara mengemam senyum.

"Comel orangnya. Tak hairanlah hati anak ummi awak curi." Hidung Yara dicuit manja oleh Puan Madeena.

"Yara biasa-biasa saja, ummi." Ah, sumpah dia segan. Entah apa yang diceritakan Attar pada umminya. Rasa macam nak masuk menyorok bawah katil.

"Ummi sarungkan cincin ya?"

Tangan Yara sudah pun berada di dalam genggaman Puan Madeena. Yara mengangguk kecil sebelum jari manisnya disarungkan sebentuk cincin emas bertatahkan batu permata kecil. Yara menyalam sekali lagi tangan Puan Madeena. Kali ini sedikit lama, memberi ruang kepada jurukamera dan tetamu untuk merakam momen mereka berdua.

Kasih Kita Sempurna (BAKAL TERBIT)Tempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang