Bab 1

35K 1K 39
                                    

Nafas dihembus kasar. Ternyata bukan menjadi dewasa itu yang menyakitkan tetapi menjadi seorang manusia itu yang menyakitkan. Hati merupakan anugerah yang tidak ternilai, benar. Namun ada saatnya ia juga terasa seperti sumpahan.

Seluruh hidupnya, Yara merasakan tidak punya hati itu jauh lebih baik. Ada saatnya, bernafas juga melelahkan. Luka pada tubuh fizikal mudah sekali dilihat dengan mata kasar tetapi bagaimana pula dengan luka pada hati? Luka dalaman yang tidak sepenuhnya dirawat.

Sampai bila dia harus pamer senyuman yang tawar keikhlasannya sedangkan hati jelas sekali berat dengan kekosongan. Untuk kesekian kali, nafas berat dihela. Dalam hati, dia beristighfar beberapa kali memandangkan Istighfar adalah salah satu ‘raja’ di kalangan zikir-zikir.

Pukulan manja daripada ombak kecil pantai yang menghempas kaki, diikuti dengan angin petang yang membelai lembut wajah, membuatkan hati dan mindanya dibuai mewahnya ketenangan. Lakaran indah langit petang yang berada di hadapan ditatap dengan perasaan kagum akan ciptaan Sang Pencipta

'klik'

Yara paling wajah ke kanan saat bunyi ketikan kamera kedengaran dekat dengan salur pendengaran. Anak mata disapa seorang jejaka berkemeja putih dan berseluar jeans biru lembut berdiri tidak jauh di sebelah. Di tangannya ada sebuah kamera dslr.

Oh, dia ambil gambar sunset rupanya. Perasan betul kau ni, Yara. Ingat diri tu artis ke? Yara malu sendiri. Walaupun dia bukan seorang artis, dia seorang penulis tak berwajah yang agak dikenali di media sosial. Siapa tahu kalau ada pembaca yang mengenalinya.

"Muka saya hampir tembus dah ni, cik adik. Sampai tak berkelip mata awak pandang saya." 

Teguran daripada si lelaki mengembalikan semula diri Yara ke dunia nyata. Wajah terasa bahang. Apahal dia pergi tenung anak teruna orang macam tu? Eh, tapi kalau dia dah berkahwin macam mana pula?

"Maaf." Itu sahaja yang mampu Yara ucap. Cahaya matahari masih terasa panas tetapi bukan itu punca wajahnya bertukar merah. 

"Tapi saya rasa, awak bukan pandang saya sebab saya good-looking kan? Minda awak seperti melancong ke tempat lain."

Tebaknya tepat. Mata Yara mungkin terarah pada pemuda itu tetapi tidak fikirannya. Setelah ditegur, baru Yara dapat menilik wajah tersebut lebih teliti. Kulit boleh tahan cerah, matanya coklat muda mungkin. Memandangkan lelaki itu juga disimbah cahaya perang matahari, agak sukar untuk Yara teka. Keningnya lebat, Bulu mata boleh tahan lentik dan sama lebat. Bentuk muka memang sudah jelas 'golden ratio' pada matanya. Ketampan si jejaka mula terserlah.

"Boleh tahan tajam mata awak. Lebih kurang la. Ya, awak kacak. Susur galur keturunan awak, ada yang berbangsa  arab ke?" Yara menyoal tenang tanpa ekspresi.

Tersentak lelaki itu dengan pengakuannya namun cepat sahaja dia  menutup. Belakang leher diraup kasar. Rona telinga bertukar merah. Terlalu jujur ke dia sehingga gerangan itu segan sendiri.

"Arwah atuk saya berketurunan Arab. Nama saya... Syed Attar. Nama awak?” Kekekokan yang dirasai ditepis  Attar jauh. 

"Yara Ameena. Yara for short. Umur awak berapa?"

"Saya dah tak muda sangat. 28." 

"I see. Saya, 28 tolak 3. Ingatkan awak lagi muda daripada saya. Muka awak nampak jauh lebih muda." 

Entah di mana kelakarnya, Attar tertawa halus sehingga menampakkan dua lekuk pada pipi. Attar ada lesung pipit tetapi taklah sedalam Aidit Noh atau Wawa Zainal. Yang pasti, lelaki itu nampak lebih senang untuk didekati. 

"Sure, Yara. I see, you are 25. 3 Tahun muda daripada saya."

"Kenapa? Awak nak saya panggil awak abang ke?" Yara menyakat dengan wajah tak beriak. Suka betul hatinya dapat melihat reaksi salah tingkah Attar. Mukanya mungkin tidak terlihat polos tetapi sikap Attar tidak dapat dinafikan.

"Eh, tak perlu. Attar saja pun dah cukup. Jantung saya tak setuju dengan panggilan tu." Attar menangkas. Yara sudah tergelak kecil. Rupanya, masih ada lelaki semalu Attar dalam dunia ini. Tidak sangka dia dapat melihat dengan mata sendiri. 

"Jantung ya? Noted, Attar."

"About earlier, apa pun yang menggangu fikiran awak, saya harap awak dapat selesaikannya dengan baik. Saya tahu saya cuma gerangan yang tak diundang pada awak but I can lend you my ears if you wish. No pressure."

Itu yang menjadi masalah. Setiap kali, pasti ada mereka yang sudi untuk meminjamkan telinga kepada luahan hatinya akan tetapi, Yara yang tidak selesa dengan situasi itu. Dia lebih selesa meluahkan setiap apa yang terbuku dalam bentuk penulisan. Tidak kisah sama ada novel, puisi, mahupun kata-kata. 

Berkongsi cerita dengan manusia, banyak celanya. Yara tidak akan tahu bila atau bagaimana ceritanya akan digunakan kelak. Hati manusia  sentiasa berbolak-balik. Dari sayang jadi benci, dari benci jadi sayang. Perasaan benci yang dia kenal kerap kali mengaburi kewarasan akal.

Tak  mudah untuk Yara percayakan seseorang apabila hati telah penuh dengan luka yang ditinggal tak dirawat. Kebanyakannya datang daripada mereka yang dia sayang. Mereka yang dia percaya dapat memahami setiap liku perasaanya tanpa perlu dia ucap. Tetapi Yara salah. Semua itu terlalu mustahil dan tak semudah yang disangka.

Kasih Kita Sempurna (c)Where stories live. Discover now