"Ahmad, kau dan beberapa orang akan kekal di sini menjejaki Perkasa dan pihak yang membantunya itu. Aku harus pulang ke istana membawa gadis kecil ini. Selesai sahaja urusanku di sana, akan segera aku datang ke mari." Arah Delima kepada salah seorang tentera yang dipercayainya.

"Baik, Tuan!" Sahut Ahmad.

Kemudian Delima dan Ratna bersama beberapa orang tentera lain mula mengorak langkah menuju Istana Tarawangsa.

_______________________•••____________________

Suasana meriah dengan suara hiruk pikuk penduduk. Masing-masing berhibur tanpa henti. Minuman keras dijadikan menu utama manakala wanita dijadikan habuan melepaskan nafsu. Hari ini malam gemilang di Sulantara.

Kerajaan pimpinan Raja Sang Kudawamarti itu bagaikan rakyat tidak bertamadun akibat tiada Islam di tanah tersebut menyebabkan kerajaan tersebut bagaikan tiada limpahan rahmat Ilahi. Masing-masing leka dengan dunia sendiri hanyut dibuai nafsu yang memakan diri.

Sambutan hari kelahiran Raja Sang Kuwadamarti itu telah diuar-uarkan kepada seluruh rakyatnya dan mereka diberi kebebasan untuk berhibur hingga lewat malam tanpa batasan. Bunyi gelak tawa yang bagaikan menyeringai membingitkan telinga. Orang mabuk di jalanan bagaikan sudah hilang akal sihatnya. Tiada lagi rupa melambangkan kerajaan dan rakyat gemilang malah negara itu kelihatan mundur akibat pembaziran berleluasa. Tambahan pula, rakyatnya bagaikan manusia tiada hala tuju, tiada tatasusilanya.

Dalam riuh rendah suasana itu pula, kelihatan Raja Sang sedang dalam keadaan mabuk bersama berbotol-botol minuman keras yang sudah dihabiskannya sejak malam senja tadi. Hari ini hari bahagianya maka baginda mahu menyambut hari gemilang itu dengan pelbagai hiburan yang melalaikan jiwa.

"Jikalau cinta hatiku berada di sini, pasti dia berjaya menjadi pelengkap hidupku!" Laung Raja Sang sekuat hati sambil tangan kanannya memegang hujung botol minuman keras itu. Matanya separa terbuka, dirinya huyung-hayang tidak mampu berdiri dengan stabil.

Wan Panji yang berada di sebelahnya turut mabuk sama namun tidak seteruk Raja Sang. Dia harus menjaga Tuanku nya biarpun dalam keadaan mahu berhibur.

"Oh Dahlia sayang! Sampai pisang berbuah dua kalikah baru kau mahu datang ke mari menghiasi perjalanan hidupku?!!!" Laungan kini bertambah kuat sambil botol kaca dihempaskannya ke meja. Nasib tidak pecah meja kayu itu.

Lihatlah bagaimana orang tiada iman melepaskan kesengsaraan dan kesedihannya. Melaung sekuat hati, menghempas itu ini bagaikan tiada akal yang sihat untuk berfikir dengan baik. Sudah junjungan besar Rasulullah SAW ajarkan pelbagai cara untuk menjadi masyarakat yang bertamadun tetapi sepertinya mereka tetap lalai cuba mengembalikan zaman jahiliah seperti dahulu kala.

Nauzubillahiminzalik. Semoga dijauhkan.

Sedang leka dibuai fana, seorang hulubalang istana datang membawa sepucuk surat.

"Surat apa ini?!" Sergah Raja Sang garang. Pantang benar masa berhiburnya diganggu sebegitu rupa.

"Ampun Tuanku, surat ini dihantar oleh seekor burung dan kelihatannya ia bukan daripada Perkasa mahupun mana-mana perisik kita yang lain. Jelas surat ini dikirim oleh seseorang yang tidak diketahui, Tuanku." Hulubalang itu menyerahkan surat tersebut kepada Raja Sang.

Segera surat itu dirampas kasar baginda. Gulungan surat dibuka dan dibaca. Biarpun dalam keadaan mabuk, baginda tetap tidak memandang remeh urusan pentadbiran negara.

"Puteri Seri Dahlia dipercayai hilang. Sekiranya perkara ini berterusan hingga ke majlis keraian, kalian boleh mula bertindak mempersiapkan angkatan tentera untuk menghabisi Wantachitra."

Dusta Puteri PalsuTempat cerita menjadi hidup. Temukan sekarang