Kisah - 5

1.8K 208 59
                                    

  "Jikalau tidak keberatan, izinkan hamba ikut sama dalam perjalanan kalian berdua. Kalian ingin ke bandar bukan? Lebih mudah untuk aku cari abangku di kawasan sebegitu." Ratna memberanikan diri bertanya sebelum Dahlia dan Arjuna berangkat pergi.

  "Aku setuju kerana aku tidak mahu berduaan dalam perjalananku. Risau ada yang ketiga." Sahut Arjuna bersetuju. "Ayuh lekas. Semoga perjalanan kita diberkati Allah."

  Dahlia tersenyum lalu segera membantu Ratna naik kereta kuda tersebut. Dia juga bersetuju dengan cadangan Ratna kerana akhirnya dia punyai seseorang untuk bersembang. Dahlia merupakan seorang yang suka bercakap tetapi apabila dia bersama Arjuna mulutnya bagai dikunci rapat kerana tingkah laku pemuda itu seperti benar-benar tidak mahu bercakap dengannya.

  Perjalanan ke pekan diteruskan. Sesekala mereka akan berhenti di masjid berdekatan untuk menunaikan solat. Dahlia perasan setiap kali solat pasti Arjuna mengambil masa yang lama menunaikan solat-solat sunatnya.

  "Arjuna, kau ini orang alim ya?" Soal Dahlia membuka bicara memecah kesunyian perjalanan.

  "Jauh dari alim. Aku cuma berusaha menuju ke syurga-NYA." Balas Arjuna seraya beristighfar risau timbul riak dalam hati.

  "Jika kau mahu tahu, di zaman aku sukar sekali untuk berjumpa dengan golongan seperti kau ini. Solat dan ikhtilat kau jaga sebaik mungkin. Bercakap dengan aku pun kau tundukkan pandangan. Kagum aku melihatnya." Kepala Ratna yang terlena disisinya diusap lembut sambil dia berbicara dengan Arjuna.

  Arjuna menunggang memandang ke hadapan manakala Dahlia duduk di atas kereta kuda sambil memandang ke arah bertentangan.

  "Maksud kau, di masa hadapan kaum Adam tidak ramai yang menundukkan pandangan lagi?" Tunggangan kuda diperlahankan agar suara Dahlia dapat didengari dengan baik.

  "Iya tetapi tetap wujud juga golongan alim seperti kau pada zaman aku." Dahlia memandang langit cerah. Hanya langit sahaja satu-satunya medium di masa itu yang sama dengan zamannya. Tenang jiwa melihat awan terasa seperti dia sudah pulang ke tempat asalnya.

  "Sudah aku katakan aku bukan alim. Tolong jangan menggelar aku sebegitu lagi." Tegas Arjuna.

  "Baiklah." Dahlia tertawa kecil sebelum menyambung bicaranya. "Aku lihat kau banyak menunaikan solat sunat setiap kali lepas solat. Selain daripada solat sunat qabliah dan ba'diah, kau solat apa?" Soal Dahlia.

  Arjuna menarik nafas sebelum menyahut soalan itu. "Aku menunaikan solat hajat dan taubat." Balasnya pendek tidak mahu menceritakan hajat yang dipohonnya.

  "Ouhhh..." Menyedari hal itu, Dahlia tidak meneruskan bicaranya. Suasana kembali sepi. Hanya kicauan burung dan bunyi roda kereta yang kedengaran.

  Seketika kemudian Dahlia kembali memecah kesunyian. Memang dia tidak boleh berada dalam keadaan sunyi. Cepat bosan katanya. "Jika aku tidak silap, adakah ini Kesultanan Tarawangsa?"

  Arjuna tersentak. Dia tidak pernah menyebut soal itu di hadapan Dahlia. "Bagaimana kau tahu jika kau bukan pada zaman ini?"

  "Aku belajar sejarah lah. Kesultanan ini sangat terkenal pada masa ini." Balas Dahlia teruja apabila Arjuna kelihatan berminat untuk bicara dengannya.

  "Iyakah? Tetapi aku tetap tidak percaya kau dari masa hadapan. Terlalu mustahil untuk dihadam." Kata Arjuna.

  "Aku tidak suruh kau hadam apa-apa pun. Aku sendiri pun tidak boleh percaya aku berbalik ke masa lampau. Sudahlah tidak tahu jalan pulang. Sesudah menghadap Tuanku nanti aku mahu lekas mencari jalan pulang." Ujar Dahlia sedikit terkesan dengan tindakan Arjuna yang terus menerus curiga dengannya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now