Kisah - 79

72 16 0
                                    

  Dahlia melabuhkan punggungnya di atas tempat duduk khas di dalam kenderaan berkuda itu. Pertama kali dia meraih pengalaman menaiki kereta kuda milik kerajaan. Luluh hatinya sebentar tadi melihat respons Arjuna dikuburkan begitu sahaja memandangkan dia perlu lebih fokus bagi menyelesaikan tanggungjawabnya. Ratna duduk di bahagian depannya.

  Kenderaan itu tidaklah terlalu besar namun tetap selesa untuk memuatkan kedua Dahlia dan Ratna di dalamnya tanpa perlu untuk mereka berhimpit. Keadaan di luar tidak dapat dilihat kerana ditutup dengan langsir kecil yang menjadi tirai pemisah mereka. Malah keadaan alam yang gelap pada waktu malam tambah menyukarkan pandangan mereka ke luar.

  Seketika Dahlia dan Ratna menanti di dalam kenderaan sebelum rombongan itu mula bergerak. Pandangan Dahlia jatuh pada balutan kain yang terikat kemas di tangannya. Serta-merta dia teringat bahawasanya kain itu milik Arjuna.

  "Sebentar!" Dahlia bersuara dari dalam ruang kenderaan sambil menepuk dinding bekas itu. Serentak dengan itu juga kenderaan itu dihentikan.

  "Mengapa Tengku?" Dewi menyoal sambil menyelak kain tirai pemisah kenderaan itu.

  "Ah maaf. Sebentar Dewi, aku ingin pulangkan kain ini ke tuannya" Dahlia bingkas turun dari kenderaan sambil mencabut balutan kemas di tangannya seraya berlari ke arah Arjuna.

  Namun ternyata pemuda itu sudah tiba di hadapannya. Seolah Arjuna juga baru lepas berlari ke arahnya. Kedua-duanya terhenti langkah lantas saling berpandangan keliru.

  "Ah, maaf Arjuna. Ini kain kau" Dahlia menyerahkan semula kain milik pemuda itu yang sudah dilipat kemas ala kadar. "Maaf tidak sempat mencucinya dengan baik. Terima kasih" Dahlia sekadar tersenyum nipis sebelum dia kembali menoleh ke belakang lantas bergerak ke arah kenderaan.

  "Dahlia!" panggil Arjuna separa kuat. Tidaklah melaung namun cukup jelas untuk ditangkap telinga Dahlia. Gadis itu menoktahkan langkahannya seraya menoleh keliru.

  Arjuna meneguk air liurnya. Seolah ingin menyampaikan sesuatu namun bicaranya juga seolah tersekat di hujung kerongkong.

  "Ya!" Laung Arjuna sepatah, menambah kerut di dahi Dahlia.

  'Apa yang "ya!" ?' Dahlia keliru tidak memahami.

  "Itu jawapan aku untuk soalan terakhir kau tadi!" Arjuna menjelaskan.

  Dahlia masih berkerut. Namun Dewi telah memanggilnya untuk lekas masuk ke dalam kenderaan semula. Bayang Arjuna ditatap sekilas buat kali terakhir sebelum Dahlia naik kenderaannya.

  Dahlia melabuhkan punggungnya dalam keadaan tenggelam dengan kekeliruan. Arjuna kelihatan seolah sudah mengumpulkan kekuatannya yang maha dahsyat hanya untuk melaung 'ya!' kepada Dahlia.

  Fikiran Dahlia menerawang mengingati semula soalan-soalannya yang diajukan kepada Arjuna.

  "Apakah kau senang bertemu denganku?"
  "Apakah kau bakal menanti pertemuan denganku semula?"

  Jawapan Arjuna adalah "ya!" . Dahlia terkesima seketika tatkala menyedari akan respons baik daripada Arjuna.

  Dasar cinta. Sepatah perkataan daripada Arjuna sudah cukup membuatkan Dahlia menjadi tidak keruan. Senyuman gadis itu berusaha disembunyikan namun gagal kerana Ratna tetap dapat melihatnya. Gadis kecil itu juga hairan. Dalam sekelip mata, emosi Dahlia berubah daripada sedikit putus harap kepada bahagia bagai dilamun cinta. Malah wajah Dahlia juga merona merah bagaikan delima masak.

  "Kakanda kenapa?" soal Ratna hairan sambil tertawa kecil melihat gelagat Dahlia.

  Dahlia menggeleng perlahan sambil tangannya seolah menutup mulutnya yang jelas terserlah akan senyuman girangnya. Sungguh bahagianya tidak mampu disorok lagi ketika itu. Mereka berdua tertawa kecil sekadarnya kerana Dahlia enggan memberitahu Ratna asbab sebenar dia bahagia bukan kepalang ketika itu.

Dusta Puteri PalsuWaar verhalen tot leven komen. Ontdek het nu