Kisah - 78

109 15 1
                                    

Jumantara alam kini diselimuti gelap malam bertemankan cahaya Sang Candra. Putera Han kini duduk di sebuah khemah yang dibina khas untuk pemimpin-pemimpin negara yang tiada diundang hadir ke mari. Han Li Po berada di sisinya, terlelap di bahu kakandanya yang tegap. Kini, telahpun tiba ke pengetahuan umum bahawasanya gadis yang dikenali sebagai Mawar itu merupakan seorang puteri daripada Kerajaan LuoYang yang juga merupakan adindanya Putera Han.

Putera Han dengan Puteri Han masing-masing menanti penuh sabar akan kenderaan kuda mereka yang ditawarkan oleh Sultan Muadzam Shah untuk membawa mereka ke istana dan disambut sebagai tetamu yang mulia.

Kesemua tentera Wantachitra bawah pimpinan Sultan Muadzam sendiri kini sedang bertungkus lumus menguruskan sejumlah besar pesakit yang selayaknya menerima rawatan yang lebih baik. Ramai tabib-tabib Wantachitra dipanggil untuk hadir ke mari. Namun perjalanan mereka tetap memakan masa.

Rata-rata penduduk yang kepenatan lena dibuai mimpi di dalam surau. Bayi Seroja dipinta izin oleh Ratu Melawati kepada Sultan Muadzam Shah untuk diambil sebagai anak angkatnya. Bayi suci tiada bersalah itu kini telahpun yatim. Memandangkan bapanya hilang tanpa jejak, malah bundanya juga telahpun kembali ke Rahmatullah, hati pilu Ratu Melawati enggan membiarkan bayi itu sebegitu rupa. Bertambah enggan dia untuk menghantar bayi itu ke bawah jagaan penduduk kampung yang menjadi punca kematian Seroja.

Dahlia dan Dewi hanya duduk bersebelahan di dalam surau kampung itu tanpa sepatah bicara pun. Suasana antara mereka agak tegang dan janggal. Sesekala Dahlia terangguk-angguk akibat terlelap. Sungguh lelahnya tiada mampu diungkap dek kata. Dewi pula duduk tegak tanpa bergerak walau sedikitpun namun matanya telahpun lama terkatup rapat, membawanya ke alam lain.

Arjuna dan Iskandar juga tidak jauh beza. Kedua-duanya terlelap seusai solat isyak. Terlalu lelah untuk melakukan apa pun. Segala urusan pesakit diserahkan kepada hulubalang Wantachitra sendiri. Pemimpin kerajaan Wantachitra sahaja yang masih sibuk menguruskan pelbagai hal.

Raja Sang Kudawamarti turut diberikan tempat di sebuah khemah yang sama dengan Putera dan Puteri Han, namun beliau bertindak meliar ke kawasan sekeliling. Memerhati. Hatinya tidak senang melihat kejadian yang berlaku maghrib tadi.

Kakinya diorak menuju ke arah mayat Tok Penghulu yang telahpun dibalut kemas malah diasingkan daripada seluruh kawasan. Mayat itu kini menanti untuk dikebumikan. Beberapa jarak bersebelahan mayat Tok Penghulu, terkujur juga sebuah tubuh lemah milik Seroja.

Raja Sang mendekati mayat Tok Penghulu. Sebentang kain yang menutupi seluruh tubuh Tok Penghulu disingkap sedikit dari bahagian wajahnya. Langsung tiada rupa manusia. Matanya tertutup namun urat matanya seolah tersembul keluar berwarna biru keunguan seolah melukis corak pada kedua bahagian kelopak matanya. Mulutnya terbuka sambil bibirnya kering dan pecah malah berubah warna keunguan. Seluruh wajahnya pucat lesi tanpa terlihat seperti punyai darah. Beberapa tompok ungu kelihatan samar-samar di seluruh wajahnya. Pipinya yang asalnya cukup makan, menjadi cengkung hingga berlekuk menyerlahkan tulang pipinya. Rambutnya serta merta menjadi rapuh dan berubah warna menjadi beruban dalam sekelip mata. Suatu imej yang ngeri. Mayatnya serupa mayat yang telah dikebumikan selama beberapa hari.

  Raja Sang meneguk liurnya. Imej yang sama. Perasaan yang sama. Jantungnya merasa panas dan berdegup kencang. Dia kembali menarik kain rentang putih itu seraya menutup wajah ngeri mayat tersebut. Enggan membiarkan imej itu menghantuinya.

Mata Raja Sang berkalih pandang pula ke arah mayat Seroja yang diletakkan beberapa jarak jauhnya dengan mayat Tok Penghulu itu. Pandangan matanya menjadi kuyu tanpa perasaan. Dia kemudiannya melepaskan sebuah keluhan berat.

  Wan Panji hanya berdiri beberapa tapak jaraknya di belakang Raja Sang kerana tuannya tiada membenarkannya melihat sama mayat Tok Penghulu. Bukan semua orang berjiwa kental.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now