Kisah - 80

71 13 0
                                    

  Dahlia menyarung selendang batik khas buatnya. Dia berdiri di hadapan cermin yang separa pudar namun saiznya agak besar malah ukiran bunga-bunga di bahagian kelilingnya menambahkan keserian cermin itu. Pandangan Dahlia jatuh pada busana yang dikenakannya pagi itu. Atas arahan Dewi, dia perlu keluar pagi ini bersantap pagi bersama Tuanku sultan dan permaisuri.

Sedang dia leka memerhatikan wajah sendiri, tiba-tiba dia terbatuk lagi. Dahlia menarik nafas dalam. Jantungnya diusap perlahan. Batuknya terkadang terlalu lama tiada henti dalam satu masa. Batuk kering tiada berkahak. Bahkan lenanya belah malam semalam juga sedikit terganggu dek batuk yang kerap mengunjung tanpa diundang.

  Sebaik sahaja azan subuh berkumandang Dahlia sudah tidak boleh lelap. Seluruh ruang kamar istana itu terlalu gah untuk tidak dipandang. Benar-benar terasa seperti berada di dunia asing. Sekalipun telah berbulan lamanya Dahlia tiba di zaman ini, tetap sahaja dia akan kagum melihat segala apa yang disaksikan matanya.

  Ratna juga disediakan sebuah pakaian khas. Semata kerana dia dikasihi Dahlia, dayang istana turut perlu melayaninya serupa salah seorang ahli kerabat diraja. Namun semuapun arif akan status sebenar Ratna. Hanya Dahlia yang status sebenarnya tidak diketahui ramai.

Beberapa langkah jarum panjang melangkah, Dahlia sudah keluar dari ruangan kamarnya. Dia sendiri menyatakan hasratnya yang enggan dipersiap oleh dayang-dayang istana. Agak janggal dan malu. Apalagi dia sudah diajar untuk berdikari sejak kecil.

Mata Dahlia melilau memandang sekeliling. Ratna tidak kelihatan. Gadis kecil itu disediakan sebuah kamar berbeza dengannya. Dewi juga tidaklah duduk sekamar dengannya sekalipun dia merupakan pendamping setia Tengku Puteri. Sebentar tadi Dewi mengarahnya untuk turun bersantap ke ruang santap istana. Namun kelibatnya pula hilang entah ke mana.

Dahlia pula masih belum arif akan selok belok istana yang serba besar, gah dan mewah itu. Kakinya hanya diorak ke mana pun mengikut firasat hatinya. Kelmarin dia tidak sempat bersiar-siar untuk mengetahui selok belok istana, kerana malam sudah membaluti alam, malah dirinya juga sudah terlalu lelah. Maka sebaik sahaja dia dirawat, terus terlelap di atas katil milik Tengku Puteri. Tambahan pula, suasana di istana ketika itu tidaklah terang bergemerlapan dan kaya dengan pelita-pelita indah. Hal ini kerana suatu perkara buruk sudah berlaku di salah satu wilayah di Wantachitra berhubung dengan peperangan di pesisir pantai Wantachitra beberapa hari lepas. Maka pelita-pelita dan lampu-lampu istana dimalapkan serba sedikit sebagai tanda berkabung di atas tragedi yang berlaku.

  Memandangkan tiada yang mengawalnya ketika itu, Dahlia bertindak meliar sendiri ke kawasan istana. Terlalu besar dan berbelok-belok rupanya ruang istana ini. Kelmarin, sewaktu baru tiba ke sini, langsung dia tiada menyedari akan hal itu.

  Dahlia mula melangkah ke arah barat istana. Kamarnya Tengku Puteri juga berada di barat istana. Malah terdapat banyak juga ruang-ruang yang agak memeningkan kepala andai tidak arif di kawasan itu. Apa yang Dahlia pasti, ruang bersantap dan dapur istana pasti ada di tingkat bawah.

  Dahlia hanya mengikut arah belok-belok yang agak mudah dilalui jalannya. Pandangannya meliar ke arah kawasan sekeliling istana yang kaya dengan pelbagai ukiran-ukiran yang melambangkan corak dan budaya Alam Melayu. Siapa sangka, dia berpeluang menikmati kehidupan di dalam istana Melayu lama yang serba mewah dan gah. Sungguh jauh beza khabar dengan rupa.

  Sejarah banyak mengatakan bahawasanya zaman ini hanyalah zaman biasa yang masih lapuk dan tidak maju sekalipun punyai kerajaan yang hebat, kehebatannya hanyalah biasa. Namun apa yang disaksikan Dahlia sejak dia tiba ke sini sungguh jauh daripada sejarah yang diceritakan. Kehebatan kerajaan Alam Melayu lama tidaklah selemah dan selapuk yang menjadi bahan bualan masyarakat zamannya, namun ianya jauh lebih maju, hebat, mewah dan indah daripada apa yang dimanipulasikan.

Dusta Puteri PalsuWo Geschichten leben. Entdecke jetzt