Kisah - 81

69 13 1
                                    

  Wajah Dahlia berubah pucat lesi. Menjerit pun dia tidak mampu. Keadaan dirinya yang sedang meluncur laju di dalam sebuah terowong sempit dan panjang menyebabkan jantungnya berdegup bagaikan gempa. Terkejutnya sehingga lidahnya terkunci daripada menghambur walau sebutir huruf pun.

  Tangan Dahlia masih memegang buku berlambang pelita menyala itu. Tangannya juga diusahakan untuk berpaut pada sekeliling dinding terowong. Namun luncurannya terlalu laju hingga tidak mampu untuk Dahlia berbuat apa pun.

  Dahlia cuba mengumpul tenang. Apa pun yang bakal menantinya di hujung terowong, dia perlu bersedia untuk menempuh. Tiada pilihan. Dia enggan mati di sini. Gerunnya cuba ditelan, kekuatannya dikumpul. Pesanan Merpatika terngiang-ngiang di seluruh ruang mindanya. Dia harus kekal tenang. Apa pun berlaku, dia harus kekal tenang.

Semakin lama meluncur di dalam terowong gelap dan sempit itu, semakin laju luncurannya. Sehinggalah mata Dahlia seolah menangkap sumber cahaya di hujung jalan. Langsung dia tidak sempat melihat apa yang menantinya di hujung itu. Luncuran terlalu laju sehingga dapat dirasakan dia bakal terbabas seandainya dia tidak berhenti meluncur sekarang.

Namun apakan daya, tangannya tidak mampu berbuat apa-apa. Sungguh berbagai kemungkinan menanti Dahlia. Gadis itu hanya mengatup matanya rapat menyerah diri kepada takdir.

'Ashadu an la ila ha illallah... wa ashadu anna Muhammad Rasulullah..' bibir Dahlia melafaz syahadat sendirian bersedia untuk menghadap takdir. Andai berlaku sesuatu pada dirinya, sekurang-kurangnya dia sempat bersyahadat.

Dahlia tidak tahu apa yang berlaku kepadanya namun dapat dia rasakan di hujung terowong dirinya seolah dilambung jauh ke sebuah tempat yang empuk. Biarpun netranya masih terkatup, Dahlia sedar dia sudah keluar dari terowong gelap kerana dirinya kini mengesan kehadiran cahaya di dalam kawasan itu. Lagipula, dia sedang dalam keadaan separa berbaring, bermakna kawasan tidaklah sesempit seperti dalam terowong tadi.

  Dahlia terbatuk-batuk perlahan. Semakin lama batuknya tiada henti malah semakin parah. Dahlia mengusap jantungnya perlahan, memaksa dirinya bertenang.

Perlahan-lahan Dahlia memberanikan dirinya untuk membuka mata. Cahaya bilik itu samar-samar dan tidaklah terlalu cerah namun memadai untuk cahaya itu membolehkan dia melihat sekeliling kawasan.

Dahlia memandang sekelilingnya. Ternyata dia dilambung ke arah sebuah tilam empuk yang agak tebal. Malah berbantal. Hatinya bergetus suatu ucapan syukur, alhamdulillah.

'Kepunyaan siapa ini?' dengus hati kecil Dahlia. Dahinya berkerut sambil matanya mula mengamati segenap ruang bilik.

Rupa kawasan itu seolah ruang bilik bawah tanah. Berdindingkan kayu perang. Ruangnya agak kecil tidaklah terlalu besar. Namun tetap muat untuk Dahlia berdiri dan berjalan beberapa tapak.

Di dalamnya tidaklah banyak peralatan. Selain terowong yang menjadi pintu masuk, tilam empuk tempat mendaratnya tadi seolah merupakan ruang utama kawasan itu. Hanya terletak sebuah meja kecil paras lutut dengan beberapa pena serta peralatan menulis. Tiada rak buku seperti di perpustakaan bahagian atas tadi.

"Siapa punya idea buat terowong ke bawah ini? Tangga sahaja kan sudah memadai. Hampir tercabut jantung aku tadi!" Dahlia membebel sendirian. Geram.

Mata Dahlia kemudian menangkap sumber cahaya kawasan itu. Pelita menyala. Rupanya sama seperti lambang pada buku yang dibawanya bersama tadi. Namun tiba-tiba Dahlia menyedari bahawa buku itu tidak lagi berada di tangannya. Segera matanya melilau mencari buku itu.

Ternyata buku itu tercampak beberapa tapak dari tilam empuk tempat Dahlia mendarat. Halamannya terbuka. Dahlia segera mencapai buku itu, namun tatkala matanya menangkap setiap butir huruf yang tersusun di dalam salah satu halaman buku itu, Dahlia terlalu terkejut hingga dia spontan tercampak buku itu jauh daripadanya.

Dusta Puteri PalsuWhere stories live. Discover now