"Keputusan Ira muktamad. Ira tak mahu teruskannya," putus Izra sebaik sahaja rakaman itu tamat. Dia letakkan cincin pertunangannya di atas meja.

"Baiklah kalau begitu. Mama juga setuju.. mama tak sangka Farish macam ni," ujar Puan Zahra, tidak rela mempunyai menantu yang mempunyai sifat seperti itu.

"Mama.. Ira minta maaf kalau apa yang terjadi ni buat mama kecewa. Ira tak mahu mama putus kawan dengan auntie Humai disebabkan Ira dan Farish tak jadi kahwin."

"Apa kamu fikir mama kamu ini seumuran adik kamu, Izrel itu?" Respon Puan Zahra sempat menyebut nama anak bungsunya yang tidak ada kena mengena.

"Esok papa akan berjumpa dengan keluarga Farish," balas Encik Huzairi setelah itu dan mengalihkan pandangan Izra ke arahnya. "Ira kena ikut sekali ke?" Izra menyoal.

"Ikut kamu lah."

"Ira tak nak."

Encik Huzairi mengangguk kecil. Dia sudah menjangka itulah jawapan anak gadisnya.

"Uncle.. auntie," Rayyan tiba-tiba bersuara dan secara tidak langsung menukar fokus mereka ke arahnya. "Saya pun ada benda nak beritahu kepada uncle dan auntie," bicara Rayyan sopan. Dia kerling pula Izra di seberang sana. Gadis itu sudah menayang isyarat untuk dia berdiam diri. Mungkin dia sudah tahu apa yang hendak Rayyan sampaikan.

Sudahnya, Rayyan abaikan saja isyarat itu walaupun Izra sudah melarangnya untuk bercerita dan sebenarnya gadis itu juga tak suruh dia masuk ke rumah ini kerana tak mahu keluarganya tertanya-tanya akan kehadirannya di situ tetapi Rayyan tak peduli semua itu dan terus sahaja mengikut tindak tanduk fikirannya.

"Apa kamu nak sampaikan, Rayyan?"

"Sebenarnya tadi.." Rayyan mula bercerita tentang hal yang berlaku tengah hari tadi.
Dia boleh nampak dan nilai sendiri riak wajah kedua orang tua Izra.

"Jadi untuk tu... uncle, auntie. Saya nak minta izin untuk bawa Izra tinggal bersama saya. Saya tak tinggal sendirian.. saya boleh ajak kakak saya untuk temankan Izra." Rayyan meminta kebenaran daripada orang tua Izra setelah dia selesai bercerita. Dia tak tahu sama ada tindakan ini baik padahnya tetapi dia pasti yang kediamannya itu cukup selamat.

Sepanjang perjalanan, idea inilah yang keluar daripada kotak fikirannya dan yang paling cepat untuk diuruskan. Sekali lagi dia kerling Izra di hujung sana. Jelas sekali raut wajahnya bertukar serta-merta. Gadis itu tergamam sebentar. Mungkin tidak menjangka dia akan berfikir sejauh ini.

"Aku tak setuju," bantah Izra terus, walau apa pun alasannya, dia tak akan setuju.

"Uncle tahu niat kamu ini baik tapi uncle rasa tak manis jika kamu buat macam itu. Kalaulah kakak kamu pulang lewat atau tiada di sana disebabkan beberapa faktor lainnya. Adakah anak uncle ini akan dibiarkan bersama lelaki yang bukan mahramnya?" Encik Huzairi menyoal kemudiannya. Dia rasa tak senang hati untuk biarkan anaknya tinggal di situ. "Maafkan uncle sebelumnya.. uncle tak izinkan," sambungnya.

"Saya buat semua ni atas kemahuan saya sendiri, tiada sesiapa pun yang memaksa saya, uncle. Saya boleh perhatikan dia dari jauh tapi saya risau kalau saya tak sempat nak selamatkan dia. Saya cuma mahu dia selamat, uncle. Dia tanggungjawab saya selama penjenayah itu masih belum ditangkap," ujar  Rayyan bersungguh. Dia tak boleh lupakan keadaan Izra semasa dia menyelamatkan gadis itu. Sungguh, tangisannya itu sesuatu yang membuatkan Rayyan tak senang. Dia rasa.. tak keruan.

MEMORIESWhere stories live. Discover now