Pinggan Tak Retak, Nasi Tak D...

By karyaseni2u

415K 3.9K 187

Tajuk: Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin Penulis: Umi Syidah Muka Surat : 864 Penerbit: Karyaseni ISBN:... More

Bab 1
Bab 2
Bab 3
Bab 4
Bab 5
Bab 6
Bab 7
Bab 8
Bab 9
Bab 10
Bab 12
Bab 13
Bab 14
Bab 15

Bab 11

22.5K 199 0
By karyaseni2u

"Sara dengan Suri cuba kasut ni dulu. Tengok padan tak. Lepas tu baru kita pilih warna pula." Yuhanis menghulur kasut yang dipilihnya, sepasang kepada Sara dan sepasang lagi kepada Suri.

Bersinar-sinar mata si kembar! Senyuman mereka lebar sampai ke telinga.

Yuhanis bertinggung di hadapan Sara dan Suri. Senyuman puas terlakar di wajah Yuhanis apabila melihat wajah teruja Sara dan Suri. Yuhanis meletakkan kasut lama mereka ke tepi, memberi ruang kepada Sara dan Suri mencuba kasut baru mereka.

Ketika datang tadi Sara dan Suri memakai kasut sekolah mereka. Yuhanis mengagak mereka tiada kasut sukan untuk dipadankan dengan tema pakaian mengikut gaya Yuhanis, gaya orang pergi berjoging. Kasut sekolah mereka pun sudah kelihatan agak lusuh dan berbulu.

Terasa sesuatu di jarinya, Yuhanis membalikkan kasut melihat di bahagian tapak. Ada lubang. Yuhanis segera memeriksa kasut-kasut si kembar. Kasut sekolah Sara dan Suri sudah berlubang tapaknya. Bukan baru berlubang. Tentu sudah lama Sara dan Suri memakai kasut berlubang ini ke sekolah. Memandangkan lubangnya yang sudah sebesar duit syiling 50 sen.

Yuhanis mengetap giginya kuat. Hatinya berasa sebak. Tapak kasut yang tinggal pun sudah tersangat nipis. Jika berjalan di atas jalan tar, sudah pasti akan terasa batu kerikil di tapak kaki. Mata Yuhanis mula berair. Dia segera menggosok matanya seolah-olah matanya dimasuki habuk.

Tiba-tiba Yuhanis terasa seperti sedang diperhatikan. Dia segera menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada sesiapa pun yang memandang ke arahnya. Perasaan dia aje kut, kata hati Yuhanis lalu memberi perhatian kepada Sara dan Suri. Hampir setengah jam juga mereka berada di kedai kasut tersebut memilih dan mencuba kasut-kasut untuk Sara dan Suri.

Yuhanis membeli dua pasang kasut sekolah, sepasang sneakers, sepasang sandal dan sepasang selipar harian untuk Sara dan Suri. Beberapa barangan keperluan sekolah seperti stoking dan kapur kasut juga turut dibeli.

Yuhanis berasa seronok membeli-belah untuk si kembar. Kasut mereka sama saiz dan warna pun mahu yang sama. Tentu seronok jika dia mempunyai anak kembar kelak, angan Yuhanis. Kejap aje. Selepas itu Yuhanis tersedar diri.

Dekat pun suami tak sudi, ada hati nak dapat anak. Anak kembar pula tu. Huh! Tukar channel, tukar channel.

Mereka beratur menunggu giliran untuk membuat pembayaran. Mereka memerhati juruwang sibuk memasukkan barang-barang mereka ke dalam beg-beg plastik agar tidak bercampur dengan barang-barang pelanggan lain.

Pelik, tapi mungkin kebetulan. Ada pelanggan lain yang turut membeli kasut yang hampir sama seperti kasut mereka. Cuma warna dan fesyen aje yang berlainan.

"Eh, Kak Hani... Tengok ni. Orang ni pun beli sama macam kita. Saiz kasut pun sama macam saiz Sara dan Suri," bisik Sara di sebelah Yuhanis.

"Yalah, tengok ni. Semua kasut ada dua pasang. Agaknya orang ni pun anaknya kembar macam kita. Cuma warna aje yang tak sama," tokok Suri sambil menunjuk kasut-kasut tersebut dengan jari telunjuk.

"Eh, jangan usik barang orang. Orang tak sukalah," ujar Sara yang selalu berkelakuan seperti kakak yang lebih tua. Sedangkan beza hanya empat lima minit aje umur mereka.

Siapa yang lahir dulu, siapa yang kemudian, Yuhanis masih lupa hendak bertanya. Mungkin perkara seperti itu tidak begitu penting baginya yang belum mempunyai anak. Baginya mendapat anak kembar sudah cukup menggembirakan. Ia sesuatu yang sangat istimewa.

"Kak Hani tak nampak pun budak kembar lain di kedai ni," ujar Yuhanis sambil melihat sekeliling. Mungkin ada mak ayah yang datang membeli mengikut saiz aje.

Kejadian yang sama berulang lagi semasa mereka bertiga berada di kedai pakaian. Yuhanis rasa semakin pelik. Takkanlah kebetulan terjadi berturut-turut.

Yuhanis memerhati sekeliling. Sara dan Suri turut sama melihat ke kiri dan ke kanan. Semua pelanggan sedang membuat urusan masing-masing. Masakan Yuhanis hendak menyibuk dan pergi bertanya. Gila apa, nak tanya apa pun Yuhanis tak pasti.

"Terima kasih, Kak Hani," ucap Sara.

"Terima kasih, Kak Hani," giliran Suri pula.

"Sedapnya ayam KFC ni," kata Sara dengan teruja sambil menggigit ayamnya.

"Betullah, sedap sangat ayam KFC ni," tokok Suri pula.

Yuhanis tersenyum. Seperti mendengar rekod rosak. Sekarang rekod pun susah nak jumpa. Akan sampai satu masa nanti, di mana generasi muda tidak tahu apa itu rekod dan bagaimana rupanya.

"Nak lagi boleh tambah, kita oder lain. Sebelum balik nanti, kita beli untuk Abang Yusri pula. Makan kenyang-kenyang, okey," ujar Yuhanis. Puas hatinya melihat si kembar makan dengan begitu berselera sekali.

"Kak Hani, lepas ni kita nak pergi mana lagi?" tanya Suri.

"Kita pergi tengok baju dan kasut sukan pula. Kita beli kasut dan baju serupa tiga orang sekali, nak tak? Tentu nampak smart bila kita pergi joging sama-sama nanti."

"Kak Hani selalu pergi joging ke?" tanya Suri.

Yuhanis tak sempat menjawab apabila tiba-tiba ada orang memberi salam.

"Assalamualaikum!"

Serentak ketiga-tiga mereka mendongak melihat lelaki yang berdiri di tepi meja mereka. Ingatkan tadi pelanggan yang lalu-lalang mencari tempat duduk.

"Awak?" Yuhanis sedikit terkejut. Baru pagi tadi Yusri menyebut nama lelaki itu.

"Boleh saya tumpang duduk di sini? Semua tempat penuh, ramai betul orang hari ni."

Sara dan Suri memandang Yuhanis. Yuhanis mengangkat kedua-dua keningnya kepada mereka. Kalau cakap tak boleh, boleh ke? Yuhanis berkira-kira.

Sara dan Suri menoleh kepada Omar dan serentak mereka mengangguk. Mereka budak baik, faham erti kesusahan. Omar sudah menarik kerusi dan duduk di sebelah Yuhanis menghadap Sara dan Suri. Habis tu, boleh halau ke?

Masin betul mulut Yusri. Pagi tadi sebut nama, sekarang bertembung dengan abang handsome di MegaMall. Hari ni dah jadi hari kebetulan sedunia. Jangan terserempak dengan Mr. Rock sudah!

"Tak sangka kita boleh jumpa di sini, ya?" kata abang handsome.

"Oh, awak shopping juga ke?" tanya Yuhanis. Sekadar bertanya. Mereka bukannya kenal sangat. Ini kali kedua mereka terserempak tapi, masakan hendak membisu seribu bahasa pula.

"Hai! Nama abang, Omar. Adik-adik siapa nama?" sapa abang handsome dengan senyuman mesra.

Sara dan Suri tersenyum simpul. Tak boleh nak jawab, mulut tengah penuh dengan ayam goreng KFC.

Terpaksalah Yuhanis membuka mulut untuk perkenalkan. Budi bahasa budaya kita. Sara dan Suri menyambung makan. Sambil mengunyah, mata si kembar memandang Yuhanis dan Omar bersilih ganti.

"Yang ini Sara, ini Suri," kata Yuhanis. Ringkas aje. Harap-harap Encik Omar boleh segera beredar selepas selesai makan. Yuhanis dan si kembar ada agenda lain. Jika dilayan risau pula jika lelaki kacak itu mengekori mereka kelak. Hendak pula terjumpa dengan Mr. Rock. Ah, ribut nanti. Lagipun Yuhanis tidak mahu rapat dengan lelaki lain. Nanti pening kepala. Keadaan sekarang pun sudah cukup memeningkan.

"Sara dan Suri ni kembar, ya? Nampak serupa betul, kembar seiras ni. Kalau abang ada adik kembar macam Sara dan Suri tentu best. Tentu seronok, boleh jalan sama-sama, buat kawan. Taklah sorang-sorang macam sekarang ni."

Sara dan Suri hanya tersengih. Yuhanis buat muka selamba.

"Sara dengan Suri dah habis round ke? Lepas ni nak pergi mana?" Ramah dan mesra sekali Omar bertanya. Yuhanis tak menjawab sebab Omar bertanya pada si kembar. Sara dan Suri saling mencuit. Salah seorang kena jadi jurucakap.

Yuhanis menghabiskan makanan, sambil mengetap gigi. Dia tak sepatutnya melayan mana-mana lelaki. Yuhanis tidak mahu mengundang dosa. Dirinya bukan single lagi walaupun keadaan rumah tangganya tidak seperti rumah tangga orang lain. Yuhanis perlu pandai menjaga maruah diri.

"Kak Hani kata nak pergi beli pakaian sukan." Lurus sahaja kata-kata Sara. Yuhanis risau jika lelaki itu mengekori mereka pula. Omar sekadar mengangguk sebagai jawapan.

"Terima kasih bagi abang tumpang meja. Taklah abang makan sorang-sorang."

Terkebil-kebil Sara dan Suri merenung Omar. Simpati agaknya.

"Selalu ke Kak Hani bawa Sara dan Suri makan KFC di sini? Mungkin kita boleh jumpa lagi. Lain kali abang pula yang belanja, okey?" Omar tersenyum sambil memandang Yuhanis di sisinya. Soalan ini diajukan kepada siapa, Yuhanis tidak pasti. Seperti bertanya pada Sara dan Suri, tapi mata lelaki itu memandang Yuhanis.

Sara dan Suri sudah terangguk-angguk. Tentu Sara dan Suri menyangka abang handsome adalah kenalan Yuhanis. Elok aje duduk dekat-dekat, macam dah kenal lama. Bercakap pun mesra aje. Sambil senyum-senyum lagi.

Yuhanis malas nak layan. Dalam kepalanya cuba merangka ayat-ayat sopan nak suruh Omar yang sudah habis makan segera beredar. Namun tak sempat sebab abang handsome telah meminta diri. Bagus! Goodbye. Tahu juga dia jaga diri.

Sedang mereka bersiap untuk bergerak keluar, seorang pelayan datang menjinjit dua beg plastik besar dengan logo KFC di kedua-dua belah tangan. Hadiah tanda terima kasih untuk si kembar sebab sudi berkongsi meja, kata pesanan penaja. Siapa lagi? Encik Omar empunya diri, melalui pelayan yang mewakili.

Aiseyman. Yuhanis pun dah lupa nak beli KFC untuk Yusri seperti yang dijanji. Dia tak boleh nak tolak sebab KFC itu bukan untuknya. Sara dan Suri sudah tersenyum-senyum gembira. Masing-masing memegang satu plastik KFC. Senyuman mereka lebar sampai ke telinga. Nampaknya tak jadilah mereka hendak meronda ke mana-mana lagi. KFC yang masih panas dah ajak balik cepat!

Selepas solat maghrib dan mengaji baru dua baris ayat, Yuhanis mengalah. Awal-awal dah tumbang sebab matanya sudah begitu berat sekali. Penat sampai tidak sempat hendak menghafal. Entah berapa lama dia terlena. Cuma tersedar ketika terdengar deringan telefon bimbitnya. Dia segera mencapai telefon yang terletak di atas meja solek. Tengah cas bateri.

"Mak dengan ayah sihat ke?" tanya Yuhanis selepas menjawab salam Puan Azmah.

"Kami dua-dua sihat. Saja mak telefon. Nak telefon siang tadi, risau pula Hani dengan Mizan ada hal ke mana-mana. Mak tak naklah kacau, bukan ada perkara mustahak pun."

"Alah mak, kan Hani dah pesan. Bila-bila mak nak cakap dengan Hani, mak call aje. Tak payah risau, baju kot ke, baju Melayu ke, kalau mak tengah pakai sari pun boleh call Hani. Hihihi," gurau Yuhanis.

"Isy budak ni, loyar buruk pula. Mak ni teringat yang mak minta Hani telefon Abang Nizam tu. Cuma mak nak pesan, Hani minta izin Mizan dulu. Dia suami Hani, mak tak mahu nanti dia salah sangka. Tak pasal-pasal dia cemburu pula."

Bercakap pun tidak, nak minta izin apanya? Lagi-lagilah cemburu. Cemburu amende? Suka pun tidak, bisik Yuhanis dalam hati.

"Okey, mak. Lain kali mak buat missed call aje, Hani akan call mak balik dengan segera. Ayah tengah buat apa, mak?" Yuhanis segera menukar tajuk. Tajuk yang jauh dari bab suami dan bab cemburu-cemburu. Nak elak dari sakit hati. Erk, sakit hati pasal suami tak cemburu? Hahaha, dia pun dah sama naik mereng macam Mr. Rock.

"Ayah kamu, waktu ni ke masjid la. Nak ke mana lagi? Haaa, Abang Nizam pun pergi sekali. Mak rasa senang hati sikit tengok Abang Nizam sekarang ni. Macam dulu, ke masjid pun dah rajin. Haaa, sebelum mak lupa... Ni, mak nak cakap terima kasih pada Hani kerana mahu juga bercakap, bagi nasihat, bagi semangat pada Abang Nizam kamu tu."

"Alah mak, apalah sangat yang Hani buat? Tak ada apa-apa pun. Eh mak, Hani rasa lama betul Hani tak jumpa mak dengan ayah. Hani rasa rindu pula nak balik," ujar Yuhanis. Sekali lagi cuba menukar tajuk.

Yuhanis malas hendak bercakap perihal Abang Nizam. Ada rasa sedikit kesal dalam hatinya. Dia masih sedang berusaha membaik pulih hatinya. Redalah hati. Mesti ada hikmahnya Allah jodohkan dia dengan Mr. Rock si hati batu itu. Itulah cara Yuhanis memujuk hatinya.

"Kalau Abang Mizan kamu tu boleh balik, Hani bolehlah balik sekali. Balik berdua, manis sikit. Mak bukan apa, Si Shila tu, bukan Hani tak kenal dengan perangai dia. Cemburu tak habis-habis. Shila tu sebenarnya takut Abang Nizam nanti rapat dengan Hani semula."

"Nak cemburu buat apa, mak? Hani kan dah kahwin dengan Abang Mizan. Hani dengan Abang Nizam dah jadi adik dengan kakak ipar. Apa lagi dia nak risaukan?"

"Entahlah, susah mak nak cakap. Mungkin dia sayang juga pada Abang Nizam tu. Yalah, orang perempuan dengan suami. Tak suka tak sayang pun, kalau dah tidur sekatil, sebantal... Lama-lama boleh jatuh suka, jatuh cinta dan sayang juga akhirnya. Haaa, macam Hani dengan Mizan juga."

Yuhanis telan air liur, nasib baik tak tersedak. Puan Azmah ni suka-suka aje serkap jarang.

"Kami okey. Biasa-biasa aje, mak. Cuma Abang Mizan tu sibuk dengan kerja memanjang. Mak, Hani nak cerita satu benda kat mak." Dia cuba mengubah tajuk lagi. Kena bawa cerita jauh-jauh dari hal rumah tangganya dengan Mizan. Lebih-lebih lagi bab tidur sebantal, setilam, sekatil dan entah apa-apa lagi.

"Apa halnya? Pasal Mizan ke? Kamu berdua ada masalah ke? Hani jangan bagi mak risau." Suara Puan Azmah kedengaran cemas.

Alahai, kalau Puan Azmah tahu hal sebenar, mahu pitam emaknya itu. Jadi dia kena mainkan peranannya.

"Mak tak payah risau, Abang Mizan okey aje. Mak ingat tak, hari tu kan Hani ada cerita pasal Hani terjumpa dengan budak nama Yusri tu. Anak yatim tu. Yusri ni ada dua adik perempuan. Tiga beradik ni masih bersekolah." Panjang lebar dia bercerita. Puan Azmah hanya mendengar. Sudahnya Yuhanis sangka emaknya tertidur.

"Mak... Mak lena ke?"

"Hesy budak ni. Kita dengar dia bercerita, kata kita lena pula."

"Hehehe. Tak adalah, mak tu senyap aje. Takut-takut Hani cakap sorang-sorang pula."

"Kesian anak-anak tu ya. Kalau dekat sini, tentu mak boleh jaga, tolong tengokkan budak-budak tu. Teringin juga kalau mak dapat jumpa mereka."

"Hani dah agak, mak mesti cakap macam tu. Bertuah Hani dapat jadi anak mak. Mak is the best mother in the world. Nanti bila ada peluang, Hani akan bawa budak-budak ni jumpa mak, tapi dengan satu syarat."

"Aik, bersyarat-syarat pula. Syarat apa tu?"

"Mak tak boleh sayang mereka lebih dari mak sayang Hani. Eh, tak adalah mak, Hani main-main aje. Hihihi."

"Isy budak ni, main-main pula. Dah jadi isteri orang pun, masih tak habis-habis lagi perangai budak-budaknya."

Yuhanis rasa senang hati mendengar Puan Azmah ketawa. Itu maknanya hati orang tuanya sedang tenang. Lepas juga rindu Yuhanis pada Puan Azmah. Nak balik Sungai Rokam pun, sekarang kena tengok ramalan cuaca. Harap-harap cepatlah mak labu tu bersalin. Cepat bersalin, cepatlah Yuhanis boleh balik ke kampung. Kalau boleh balik bawa Yusri, Sara dan Suri sekali, tentu seronok. Tak sabar Yuhanis mahu ketemukan adik-adiknya kepada Puan Azmah dan Encik Marzuki.

Selepas solat isyak dan menghafaz surah, badan dah penat, tilam nipis ternampak indah. So, landing time! Tangan Yuhanis menggagau novel di bawah bantal. Waktu rehat hendak diisi dengan membaca sedikit. Perlu bacaan yang ringan dan menggembirakan hati. Sebab itu Yuhanis suka novel yang ada unsur-unsur komedi.

Kalau hidup sendiri pun ada masalah dan dilanda kesedihan, buat apa nak baca cerita yang sedih lagi? Buat menambah senak dalam dada. Pahit dalam hati. Sesak dalam jiwa.

Yuhanis membuka muka surat yang ditandanya. Sambil membetulkan badannya Yuhanis mula membaca. Tak sempat habis satu muka surat, telefonnya berdering.

Kelam-kabut Yuhanis mencapai telefonnya. Janganlah bunyi deringan telefon itu menerjah sampai ke bilik orang di atas sana. Manalah tahu, malam-malam yang sunyi begini, jarum jatuh ke atas lantai pun boleh kedengaran kuat seperti bunyi bom meledak.

Abang Nizam!

Salam disambut. Tugas kaunselor rumah tangga sudah bermula! Suka tak suka, sedih tak sedih, Yuhanis kena sabar melayan. Bukan senang hendak membalas jasa orang, rupa-rupanya. Sebab itu peribahasa orang dahulu begitu mendalam maknanya. Hutang budi dibawa mati. Sampai mati tak terbalas agaknya. Untuk orang yang mengenang budilah. Sebab itu orang yang tak tahu membalas budi dinamakan, orang tak kenang budi.

"Hani dah tidur ke?"

"Dah." Yuhanis harap dengan jawapan begitu, sembang mereka tak panjang.

"Hahaha." Berderai tawa Nizam.

"Kenapa Abang Nizam ketawa pula?" Yuhanis menduku kepalanya sendiri. Azam nak berlatih panggil Nizam saja, tapi tak jadi-jadi. Sudah terbiasa berabang dengan Nizam membuatnya sukar untuk membuang panggilan itu.

"Ada orang sedang mengigau jawab telefonlah ni, ya? Sorrylah kalau abang mengganggu. Sebenarnya abang rindu pada Hani. Abang nak kita jumpa dan... Er..."

Hah?! Yuhanis kecut perut. Kata-kata Nizam seterusnya sudah kedengaran tenggelam timbul di telinganya. Yuhanis sengaja buat-buat tak dengar. Malas dia nak melayan apabila tajuk ini yang ingin dibualkan di waktu malam-malam begini. Mesti syaitan turut sama bergayut sekali di telinga mereka. Dan semuanya nampak indah-indah belaka. Pasti mengundang dosanya pada suami. Ah, susahnya!

"Hani setuju tak?"

Hah?! Yuhanis jadi semakin risau. Setuju apa ni? Setuju nak jumpa? Setuju dengan cerai-berai? Akhir sekali setuju kahwin lari ke? Ah, sudah. Sudah beberapa kali Abang Nizam menimbulkan isu ini. Yuhanis takut terpengaruh. Jiwanya bukannya sekuat mana. Jika tergoda bukankah akan mengundang dosa? Bukannya kecil-kecil dosa. Balasan dosa adalah api neraka. Nauzubillah!

"Hani tak dengarlah, telefon ni meragam sikit."

"Abang kata, abang dah fikir masak-masak. Abang nak kita..."

"Sekejap-sekejap. Abang ada kat mana sekarang ni?" Yuhanis bertambah risau. Takut jadi orang ketiga. Lebih takut lagi jika jadi isteri derhaka. Tak masuk syurga! Lagi malang, tak bau syurga!

"Abang dalam kereta, kat luar ni. Malas nak duduk rumah. Setiap kali abang bercakap di telefon, mesti bergaduh dengan Shila. Kalau boleh telefon abang ni pun dia nak pegang."

"Dia cemburu tu, tapi Abang Nizam kena faham. Kalau ada rasa cemburu, itu tandanya ada sayang. Lagipun isteri mana yang tak cemburu kalau suaminya asyik bergayut dengan telefon, cakap dengan perempuan lain. Abang Nizam kena sabar, kena faham dengan isteri abang tu."

"Hani lupa ke dia yang menyebabkan kita terpaksa berpisah? Bukannya dia tak tahu abang ni dah ada tunang di kampung. Walaupun abang dah terangkan banyak kali kepadanya yang abang akan kahwin lepas exam, dia tetap paksa abang kahwin dengan dia. Dia sengaja perangkap abang. Kenapa Hani nak bela dia pula? Abang tak cinta dia, abang masih sayangkan Hani. Kita boleh ikhtiar. Hani jangan cepat putus asa dan berserah macam tu aje."

"Abang, kan hari tu kita dah bincang pasal hal ni. Apa yang terjadi adalah kehendak Allah. Kalau Allah tak izinkan, kita ikhtiar macam mana sekalipun tak akan terjadi. Kita kena banyak berdoa, banyakkan sembahyang taubat, sembahyang hajat. Sembahyang fardu lagilah kena jaga betul-betul. Semoga kita sama-sama beroleh ketenangan. Abang dah janji dengan Hani kan, abang nak berubah. Abang dah lupa ke?" Panjang lebar Yuhanis menasihati Nizam.

"Jadi, Hani sukalah tak jadi kahwin dengan abang? Apa? Hani dah seronok jadi isteri Abang Mizan ke? Sampai Hani dah lupa pada cinta kita, janji kita."

Yuhanis garu kepala.

"Abang, kita kena belajar reda. Kita sama-sama dah kahwin. Hani dah kahwin, Hani kena setia pada suami Hani. Selagi Abang Mizan mahu Hani jadi isterinya, selagi itu Hani akan berada di sisinya."

"Maksud Hani, kalau Abang Mizan lepaskan Hani, Hani boleh balik pada abang, kan? Begitu kan? Okey, kalau macam tu abang akan jumpa Abang Mizan. Abang akan ikhtiar apa juga sampai kita dapat bersama kembali." Nizam bersuara dengan teruja. Nampak seperti ada harapan untuk dia dan Yuhanis kembali bersama.

"Eh, apa pasal abang cakap macam tu? Isteri abang tu, abang nak letak kat mana? Tak lama lagi dah nak bersalin. Baby tu tentu co..." Belum sempat Yuhanis habis berkata-kata, Nizam menyampuk.

"Itu bukan anak abang!" jerit Nizam di hujung talian.

"Hani kan dah tahu, Shila tu bukan mengandung anak abang!" jerit Nizam lagi.

Yuhanis urut dada.

"Okey, okey. Abang, bawa bertenang. Istighfar banyak-banyak, bang. Apa-apapun dia isteri abang, dah tidur sebantal dan sekatil. Abang dah bersama Shila... Errr, maksud Hani, abang dah kahwin selama enam, tujuh bu..."

Yuhanis tidak sempat hendak menghabiskan kata-kata nasihatnya. Nizam dah naik angin lagi.

"Okey, betul! Abang dah kahwin dengan Shila beberapa bulan. Kami dah sebantal, sekatil selama exactly enam bulan. Abang dah bersama Shila banyak kali, itu yang Hani maksudkan, kan?"

Yuhanis segera memutuskan talian. Dia terkedu seketika. Kaunseling yang tak menjadi. Dia menggaru-garu kepalanya yang tiba-tiba terasa gatal. Alamak, macam mana boleh jadi macam ni? Itulah, mulut ni, suka tercakap salah. Eh, tapi salah ke apa yang dia cakap tadi?

'Bersama'. Tanyalah kat cikgu sekolah mana-mana pun, Yuhanis pasti dia tak salah cakap. Dia geram dengan kata-kata Nizam tadi.

Dia melempar novel ke atas lantai dengan perasaan geram. Kemudian dia rasa nak melempar telefon pula, tapi tak jadi. Yuhanis sayang pada telefon itu. Telefon itu adalah pemberian Nizam, hadiah kali terakhir mereka bertemu pada cuti tahun lepas. Mereka sempat menghabiskan cuti bersama-sama di kampung, sambil melepaskan rindu. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan lagi tempat bermanja.

Telefonnya berbunyi lagi. Entah yang ke berapa kali. Namun dia malas nak bercakap lagi. Nak nasihat orang konon! Sudahnya Yuhanis mematikan telefonnya.

Terngiang-ngiang lagi di telinga Yuhanis kata-kata Nizam sebentar tadi. Eee, malunya nak sebut tapi kepala otaknya yang tak malu teringat-ingat. Tiba-tiba Yuhanis teringatkan Mr. Rock yang tentunya sedang sedap-sedap lena di bilik atas.

Mizan di atas. Yuhanis di bawah. Seorang di kutub utara, seorang di kutub selatan. Bantal masing-masing. Katil asing-asing. Walaupun satu rumah, hidup asing-asing. Mati, jika tembelang mereka pecah. Tak tahulah apa yang emak dan ayah akan buat pada mereka. Yuhanis gerun.

Dia menarik selimut menutup seluruh tubuhnya. Harap-harap dia dapat menutup mindanya dan matanya sekali.

Continue Reading

You'll Also Like

175K 11.9K 35
[ ON- GOING] Dia... Leftenan Zar Uzair, pemegang amanah yang teragung, pada fikiranya ini jalan yang dipilih, tanggungjawab yang dipikul asbab mengap...
30.2K 3.2K 15
𝐔𝐧𝐝𝐞𝐫 𝐌𝐢𝐥𝐢𝐤 𝐃𝐢𝐚 𝐒𝐞𝐫𝐢𝐞𝐬 𝐕𝐨𝐥 𝟐 𝐍𝐮𝐫𝐞𝐞𝐧 𝐑𝐚𝐮𝐝𝐡𝐚𝐡 | 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐙𝐚𝐲𝐫𝐚𝐧 "𝐓𝐚𝐤𝐡𝐭𝐚 𝐲𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐮𝐧𝐠𝐠...
2.5M 232K 83
"Siapalah engkau agaknya Mr Blue?" Tindakan seorang jejaka misteri yang menyelamatkan nyawanya daripada mati lepas beberapa tahun yang lalu membuatk...
485K 18.9K 81
Kehilangan kedua ibu bapanya buatkan Razia rasa hidupnya sudah pun seperti di ambang neraka. Tapi siapa yang menyangka, tiga hari setelah pemergian o...