Bab 5

20.1K 157 0

Pagi ini hari agak mendung. Jam baru menunjukkan pukul sepuluh setengah pagi. Selepas mandi dan solat sunat duha, Yuhanis keluar ke dapur. Dia mahu menyediakan sarapan. Hari ini Yuhanis merasmikan dapur. Pertama kali memasak di dapur Mr. Rock. Bukan masak apa pun. Sekadar goreng telur mata kerbau. Dikepit dengan dua keping roti Gardenia dan satu muk air coklat panas.

Selesai bersarapan, Yuhanis mengeluarkan empat beg plastik berisi barang-barang dapur yang dibelinya sebelum ini. Yuhanis menyusun beberapa jenis barang di dalam salah satu kabinet. Susu, gula, serbuk koko, Nescafe dan teh disusun di dalam laci. Roti dan buah-buahan dibiarkan di dalam biliknya dahulu. Dia tidak mahu mengganggu pemandangan mata Mr. Rock. Nanti tak pasal-pasal terganggu telinganya pula. Buat apa nak cari penyakit?

Hari ini dia malas hendak keluar. Tiada hati hendak meronda dan menjamu mata. Lebih-lebih lagi cuaca hari itu agak kurang elok. Terasa nak jadi isteri solehah. Duduk di rumah aje. Dia menyapu dan mengemas ruang tamu. Bukan berselerak sangat pun. Melampaulah kalau duduk sendirian, rumah berselerak.

Buku-buku, majalah sukan dan surat khabar disusun di bawah meja. Yuhanis mengelap debu di tempat-tempat yang sudah lama tidak diusik. Port Mr. Rock senang hendak dikesan sebab bersih tak berdebu. Cuma tempat lepak sedikit selerak. Kalau Mr. Rock ni tikus, memang sah senang kena perangkap. Pasang aje jerat di sofa tu. Gerenti kena. Hahaha.

Beberapa pasang kasut digilap hingga berkilat dan disusun semula di dalam kabinet di tepi pintu. Tingkap dilap sampai licin. Lantai disapu dan siap dimop sekali tapi tak boleh sampai licin nanti ada yang tergelincir. Kesian, nanti ada orang jatuh terlentang pula. Berdosa kalau aniaya suami.

Selesai semua kerja, jam sudah menunjukan hampir pukul 1.30 tengah hari. Badan sudah perpeluh-peluh. Sementara menunggu masuk waktu zohor, Yuhanis menyapu dan membersihkan dapur pula. Semua benda disusun seperti sediakala. Satu inci pun tidak berubah tempat. Dia tidak mahu menganggu ketenteraman fikiran Mr. Rock, takut taufan melanda!

Usai solat zohor Yuhanis menyediakan makan tengah hari. Makan mi segera sahaja. Nak masak nasi, rasa tak berbaloi pula. Setengah cawan beras, cuma jadi lantai rice cooker aje. Sudahlah saiz periuk yang ada pun sederhana besar. Pasai apa depa beli rice cooker besaq? Entahlah, tak payah ambil tahulah.

Selesai makan, Yuhanis berehat di ruang tamu. Saja tukar angin. Sambil-sambil berangan jadi tuan rumah. Taklah sampai berangan jadi suri dalam hati tuan rumah. Tak mahulah sampai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Pingan tak retak, nasi tak dingin.

Sedang Yuhanis membaca novel di atas sofa, dengan kaki berlunjur di atas meja, tiba-tiba kedengaran bunyi enjin kereta di hadapan rumah. Apa lagi, kelam kabut Yuhanis mengutip harta karunnya. Novel, sebungkus kuaci dan satu tin air cincau dikepit tak cukup tangan. Yuhanis mencicit lari masuk ke dalam biliknya. Tidak sedar, times up rupa-rupanya.

Masa untuk jadi halimunan dah tiba. Yuhanis mengunci pintu dan menyendal bahagian bawah pintu seperti biasa. Nasib baik tersedar, jika tidak tak pasal-pasal Mr. Rock dapat heart attack melihatnya memakai seluar pendek paras lutut saja. Harap-harap tak adalah kulit kuaci berterabur di port orang tu semasa dia lari mencicit tadi.

"Assalamualaikum. Helo, Hani. Abang nak cakap sekejap dengan Hani."

"Huh?!" Yuhanis terkedu.

Dia mengurut dadanya. Terkejut sangat-sangat bila mendengar suara Nizam di talian. Berkali-kali matanya merenung nombor yang tertera. Memang sah dan betul itu nombor Puan Azmah tapi suara itu, suara Abang Nizam. Yuhanis kenal suara itu. Suara yang pernah dirinduinya satu ketika dulu. Sekarang? Isy, jangan tanya. Yuhanis masih marah. Kenapa mak kasi telefonnya pada Abang Nizam? Jangan-jangan...

"Hani, tolong jangan tutup tele..."

Tut, tut, tut...

Yuhanis memutuskan talian. Bukan setakat putuskan talian, badan telefonnya dirongkah. Bateri ditanggalkan. Kad sim dicabut keluar. Hambil kau, sorry sangat-sangat, naik lori pergi Kuala Langat. Kenapa Abang Nizam perlu menghubunginya? Dia cuba untuk memadam nama itu dari hati dan ingatan.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!