NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 11

13.5K 91 0

"Sara dengan Suri cuba kasut ni dulu. Tengok padan tak. Lepas tu baru kita pilih warna pula." Yuhanis menghulur kasut yang dipilihnya, sepasang kepada Sara dan sepasang lagi kepada Suri.

Bersinar-sinar mata si kembar! Senyuman mereka lebar sampai ke telinga.

Yuhanis bertinggung di hadapan Sara dan Suri. Senyuman puas terlakar di wajah Yuhanis apabila melihat wajah teruja Sara dan Suri. Yuhanis meletakkan kasut lama mereka ke tepi, memberi ruang kepada Sara dan Suri mencuba kasut baru mereka.

Ketika datang tadi Sara dan Suri memakai kasut sekolah mereka. Yuhanis mengagak mereka tiada kasut sukan untuk dipadankan dengan tema pakaian mengikut gaya Yuhanis, gaya orang pergi berjoging. Kasut sekolah mereka pun sudah kelihatan agak lusuh dan berbulu.

Terasa sesuatu di jarinya, Yuhanis membalikkan kasut melihat di bahagian tapak. Ada lubang. Yuhanis segera memeriksa kasut-kasut si kembar. Kasut sekolah Sara dan Suri sudah berlubang tapaknya. Bukan baru berlubang. Tentu sudah lama Sara dan Suri memakai kasut berlubang ini ke sekolah. Memandangkan lubangnya yang sudah sebesar duit syiling 50 sen.

Yuhanis mengetap giginya kuat. Hatinya berasa sebak. Tapak kasut yang tinggal pun sudah tersangat nipis. Jika berjalan di atas jalan tar, sudah pasti akan terasa batu kerikil di tapak kaki. Mata Yuhanis mula berair. Dia segera menggosok matanya seolah-olah matanya dimasuki habuk.

Tiba-tiba Yuhanis terasa seperti sedang diperhatikan. Dia segera menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada sesiapa pun yang memandang ke arahnya. Perasaan dia aje kut, kata hati Yuhanis lalu memberi perhatian kepada Sara dan Suri. Hampir setengah jam juga mereka berada di kedai kasut tersebut memilih dan mencuba kasut-kasut untuk Sara dan Suri.

Yuhanis membeli dua pasang kasut sekolah, sepasang sneakers, sepasang sandal dan sepasang selipar harian untuk Sara dan Suri. Beberapa barangan keperluan sekolah seperti stoking dan kapur kasut juga turut dibeli.

Yuhanis berasa seronok membeli-belah untuk si kembar. Kasut mereka sama saiz dan warna pun mahu yang sama. Tentu seronok jika dia mempunyai anak kembar kelak, angan Yuhanis. Kejap aje. Selepas itu Yuhanis tersedar diri.

Dekat pun suami tak sudi, ada hati nak dapat anak. Anak kembar pula tu. Huh! Tukar channel, tukar channel.

Mereka beratur menunggu giliran untuk membuat pembayaran. Mereka memerhati juruwang sibuk memasukkan barang-barang mereka ke dalam beg-beg plastik agar tidak bercampur dengan barang-barang pelanggan lain.

Pelik, tapi mungkin kebetulan. Ada pelanggan lain yang turut membeli kasut yang hampir sama seperti kasut mereka. Cuma warna dan fesyen aje yang berlainan.

"Eh, Kak Hani... Tengok ni. Orang ni pun beli sama macam kita. Saiz kasut pun sama macam saiz Sara dan Suri," bisik Sara di sebelah Yuhanis.

"Yalah, tengok ni. Semua kasut ada dua pasang. Agaknya orang ni pun anaknya kembar macam kita. Cuma warna aje yang tak sama," tokok Suri sambil menunjuk kasut-kasut tersebut dengan jari telunjuk.

"Eh, jangan usik barang orang. Orang tak sukalah," ujar Sara yang selalu berkelakuan seperti kakak yang lebih tua. Sedangkan beza hanya empat lima minit aje umur mereka.

Siapa yang lahir dulu, siapa yang kemudian, Yuhanis masih lupa hendak bertanya. Mungkin perkara seperti itu tidak begitu penting baginya yang belum mempunyai anak. Baginya mendapat anak kembar sudah cukup menggembirakan. Ia sesuatu yang sangat istimewa.

"Kak Hani tak nampak pun budak kembar lain di kedai ni," ujar Yuhanis sambil melihat sekeliling. Mungkin ada mak ayah yang datang membeli mengikut saiz aje.

Kejadian yang sama berulang lagi semasa mereka bertiga berada di kedai pakaian. Yuhanis rasa semakin pelik. Takkanlah kebetulan terjadi berturut-turut.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!