NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 4

14.8K 110 1

"Mak cakap tak boleh, tak bolehlah. Nizam dah lukakan hati dia, sekarang nak cari dia pula." Puan Azmah menghentikan kerja memotongnya. Pisau di tangannya diletakkan di atas kayu pemotong. Hatinya geram. Nanti tak pasal-pasal pula jarinya yang terpotong. Puan Azmah merenung tajam Nizam yang duduk di hadapannya sambil menggeleng-gelengkan kepala.

"Mak, tolonglah mak. Nizam cuma nak cakap sekejap aje dengan Hani. Nizam nak terangkan apa yang sebenarnya terjadi. Nizam tak mahu Hani sangka selama ini Nizam tak ikhlas sayangkan dia."

"Kalau Nizam dapat cakap dengan Hani, apa Nizam nak kata pada dia? Nak cakap kamu masih sayangkan dia? Kamu tak berniat lukakan hati dia? Apa Nizam ingat dia akan senang hati dengar tu semua?"

Nizam kehilangan kata-kata. Ternyata dia kalah dengan hujah Puan Azmah.

Nizam juga sudah penat merayu tapi dia tidak akan cepat berputus asa. Dia sedar dirinya kini sudah berstatus suami orang. Yuhanis pula bukan tunangnya lagi tapi dia masih tidak puas hati selagi Yuhanis tidak mendengar penjelasan daripadanya. Lagi pun rasa kasih, rasa sayangnya kepada Yuhanis masih berbekas dalam hati. Nizam tidak mahu Yuhanis bersangka buruk padanya.

"Mak, bolehlah mak. Sekali ini saja." Nizam cuba merayu lagi.

"Nizam, berapa kali dah mak cakap? Jangan ganggu Hani lagi. Kamu nak terang ke, nak cakap apa sekalipun, benda dah tak boleh diubah. Hani tu dah jadi isteri abang kamu. Haaa, jangan nak buat hal pula. Kamu tak serik-serik lagi ke? Tu haaa, isteri kamu tu kamu nak letak mana? Dah nak beranak tak lama lagi tu, kamu jangan nak buat perangai lagi. Elok sangatlah Si Hani tu tukar nombor telefon." Puan Azmah berleter panjang sambil mencapai kembali pisau, menyambung kerjanya untuk menyediakan nasi goreng buat sarapan pagi.

Hari ini Mak Kiah tidak dapat datang membantu kerana anak cucunya dari Kedah datang menziarah. Jika ada Yuhanis, anak angkatnya itulah yang menguruskan hal masak makan di rumah itu. Puan Azmah hanya membantu. Terasa sangat kehilangan Yuhanis yang rapat dengannya. Anak yang rajin dan sangat ringan tulang.

"Mak, cerita dulu dengan sekarang lain. Mak dah tahu hal sebenar tapi bila marah Nizam, mak selalu ungkit macam Nizam yang jadi punca abang dengan Si Suraya tu bercerai. Mereka yang bergaduh suami isteri, Nizam yang jadi mangsa. Mak, Nizam bukan nak kacau rumah tangga Hani dengan abang, Nizam cuma nak satu peluang saja bercakap dengan Hani. Ala... Mak, mak bagi ajelah nombor telefon baru Hani tu. Bukan Nizam nak buat apa pun, cakap kat telefon aje." Nizam memujuk lembut.

Tak sangka hati emaknya kini tidak seperti dulu, mudah dipujuk. Mungkin kali ini kesalahannya terlalu besar untuk dimaafkan pada waktu terdekat ini. Nizam merenung wajah emaknya dengan sayu.

Puan Azmah menunjukkan muka masam. Dia perlu bertegas, walaupun Nizam terus berkeras. Dia tidak mahu keadaan menjadi bertambah keruh.

Nizam cuba buat muka sedih, berharap emaknya akan beralah. Jika tidak berjaya memujuk emaknya dengan cara ini, Nizam ada cara lain. Matanya menjeling sekilas ke arah kabinet pinggan mangkuk di belakang Puan Azmah. Telefon bimbit emaknya elok terletak di tingkat paling atas.

Hmmm, pandailah dia nak buat macam mana nanti.

Mizan berasa serba salah. Benar, Yuhanis isterinya. Betul, tangannya sendiri yang telah berjabat dengan tangan tok kadi menerima pernikahan itu, tapi dia terpaksa. Apa hukumnya? Mizan tahu jawapannya. Gadis itu tetap isterinya.

Mizan penat, kepalanya juga serabut. Serabut memikirkan dirinya mendapat apa yang dia tidak perlukan. Hendak tak hendak dia sudah ada isteri sekarang. Dia harus menerima hakikat itu. Mahu tak mahu isterinya itu sudah berada sebumbung dengannya.

Eh, macam mana dia boleh terlupa pasal budak tu? Dah mati kebuluran agaknya? Tapi takkanlah tak tahu nak ikhtiar? bicara hati Mizan. Sekejap rasa bersalah. Sekejap rasa nak marah.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!