Bab 12

18.6K 133 0

"Hei, Mizan! Kau dengar tak apa aku cakap ni? Kenapa dengan kau ni, haaa? Dua, tiga hari ni aku tengok kau lain macam aje. Suraya ada datang cari kau ke?" soal Sharif sambil menepuk-nepuk meja, cuba menarik perhatian Mizan. Sedari tadi dilihatnya Mizan asyik tunduk merenung mi goreng di atas pinggannya. Sudu di tangan tidak juga bergerak-gerak. Mizan sedang mengelamun nampaknya.

Mizan mengangkat kepala lalu memandang Sharif di hadapannya. Dia membuka mulut, cuba untuk menjawab soalan dari Sharif tapi tak jadi. Mizan tidak tahu macam mana hendak menerangkan situasinya kepada kawan-kawan baiknya itu. Ah, leceh betul. Kahwin terpaksa. Buat malu nak cerita aje. Mizan mencapai cawan di hadapannya lalu menyisip kopi panasnya perlahan-lahan.

Sharif dan Zulkifli terpaksa bersabar. Berkelip-kelip mata kedua-duanya memandang ke arah Mizan. Mizan meletakkan cawan kopinya semula. Perlahan-lahan juga. Seperti sedang mengira jarak cawan untuk sampai ke piring pun ada.

"Kau ada masalah ke, Mizan? Kau cakaplah dengan kami ni. Kalau kami boleh tolong, kami tolong. Kitakan best friend. Kau pun selalu tolong aku, bila lagi aku nak balas? Kau cakap ajelah, jangan segan-segan," kata Zulkifli sambil menyiku Sharif di sebelahnya.

"Errr, Suraya ada datang cari kau di rumah ke?" Sharif cuba mengorek lagi.

Mizan menggelengkan kepalanya perlahan-lahan. Dia serba salah. Nak cakap susah, tak cakap pun susah. Dulu bolehlah nak mengadu masalah rumah tangganya kepada Sharif dan Zul. Boleh minta nasihat dari kawan-kawan. Tak banyak, sikit ada juga menolong. Ada juga telinga lain menadah, mendengar keluhan hatinya.

Sekarang nak minta nasihat macam mana? Sudahlah kahwin pun senyap-senyap. Takkan alih-alih nak minta nasihat tentang isteri pula? Terpaksalah dipendam, ditelan, ditanggung sendiri.

"Bukan pasal Surayalah. Hmmm... Sebenarnya...adik aku dah balik." Akhirnya itu yang terkeluar dari mulutnya sebagai alasan. Itu aje yang dia teringat ketika ini. Dia terlupa berita tu dah basi. Berita semalam, semalam dan semalam yang dah berlalu.

"So?" Serentak Sharif dan Zulkifli bertanya. Mereka berasa hairan. Bukankah adik Mizan sudah balik lebih sebulan lalu? Balik berkahwin dengan anak angkat keluarganya juga.

"Aku masih tak boleh maafkan dia." Mizan teringat kes Yuhanis melayan panggilan Nizam tempoh hari. Sampaikan suami sendiri di depan mata pun tidak dipedulikan. Sakitnya hati. Sampai sekarang sakit hatinya tak habis lagi. Dia tidak tahu kenapa dia begitu sakit hati.

Sharif dan Zulkifli berbalas pandang. Mereka sedikit pelik dengan perangai Mizan. Kes Mizan dengan adiknya telah lama berlalu. Dah lama Mizan tak ungkit, tapi kenapa tiba-tiba aje cerita basi itu timbul semula? Ini mesti ada apa-apa ni!

Mereka semakin ingin tahu.

"Then?" Sharif menyoal lagi. Zulkifli tumpang angguk. Sama-sama nak korek rahsia hati rakan mereka.

"Aku tak boleh dan... Errr... Tak akan balik ke kampung, selagi dia ada di rumah mak ayah aku." Mizan terpaksa sambung alasannya lagi. Dia sudah terperangkap dengan kata-katanya sendiri.

Sharif dan Zulkifli berpandangan lagi. Macamlah Mizan selalu balik ke kampung. Adakah itu benar-benar punca masalah Mizan? Sharif dan Zulkifli menatap semula wajah Mizan yang serius dan masam mencuka. Mereka tak percaya dengan kata-kata Mizan.

"Alah, janganlah kau nak sorok-sorok dengan kami, Mizan. Bukannya kita baru kenal sebulan dua. Nak cover-cover, carilah alasan yang kukuh sikit, " ujar Sharif tak puas hati. Dia semakin bertambah yakin yang Mizan sedang menyembunyikan sesuatu.

"Okey. Pandailah kau orang berdua. Tapi sorry, aku tak boleh nak cerita pada kau orang sekarang. Tengoklah, bila-bila nanti. Bila aku rasa nak cerita nanti. Bila aku ada mood nak cakap." Akhirnya Mizan mengalah.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!