Bab 14

20.4K 174 3

"Tiada keretamu, ndak apa-apa bah, bapaku ada jet, terbang sini sana. Siap boleh landing-landing atas sana, Gunung Kinabalu. Jangan kau trip balik, malu-malu kunun, kumahu hatimu, bukan harta semata, asalkan hati baik, perangai pun cantik, kira okey sudah..."

Sambil menyanyi kecil, Yuhanis mengenakan tudung. Lagu Anak Kampung versi perempuan itu sangat diminatinya. Perkataan landing-landing dalam lagu itu sangat mencuit hati. Namun jika diguna dalam karangan, mesti cikgu BM buat pangkah besar-besar dengan pen merah.

Berulang-ulang kali lagu itu Yuhanis nyanyikan. Sesekali badannya turut meliuk-lentuk mengikut rentak lagu yang sangat catchy itu.

Yuhanis mengunci pintu rumah dengan kunci pendua yang Yusri buat khas untuknya. Yuhanis rasa seronok dan selesa berada di rumah itu. Dah rasa macam rumah sendiri. Rumah sendiri, rumah sendiri tapi terpaksa balik juga ke rumah suami terchenta. Huahuahua.

Sekarang sudah dekat pukul 1 tengah hari. Yuhanis perlu bersegera. Waktu zohor pun dah hampir. Dia bercadang untuk sembahyang di masjid dahulu sebelum pergi ke kedai dobi. Sebelum itu dia ada dua lagi agenda yang tidak kurang juga pentingnya yang perlu diberi perhatian segera. Kerja bertangguh selalunya tak menjadi. Risau juga jika Mr. Rock buat spot check. Manalah tahu dibuatnya balik waktu rehat tengah hari untuk mencari barang yang tak ditemui. Ini kes semalam punya cerita.

"Assalamualaikum!" tegur satu suara tiba-tiba dari belakang Yuhanis yang sedang tunduk menyelak pintu pagar.

"Opocot Mr. Rock kau!" latah Yuhanis yang sedang terkenangkan Mizan. Yuhanis bukan boleh kalau ada orang menjerit tiba-tiba berdekatan dengannya.

Serta-merta Yuhanis menoleh ke arah jalan tar kecil di hadapan rumah. Ada seorang nenek tua.

"Waalaikumussalam. Errr, mak cik cari siapa?" soal Yuhanis sambil melangkah mendapatkan nenek tua yang masih berdiri di tengah jalan. Nasib baik jalan kecil di kawasan perumahan. Ada sebiji beg besar di tepinya.

"Er, nenek nak cari rumah Jenai bin... Bin dia, nenek tak ingat. Dulu nenek pernah datang dua, tiga kali ke sini tapi dah dekat lapan tahun dah. Isteri dia nama Hariyati binti Hamid. Yati ni anak saudara nenek." Kedengaran harapan di celah ayat penerangan itu.

"Hmmm." Yuhanis tak sampai hati nak kata tak tau atau tak kenal. Lebih-lebih lagi melihat wajah letih nenek di hadapannya. Kalau ada kes orang buang bayi, boleh ke terjadi kes orang buang nenek? Tiba-tiba terlintas soalan itu dalam kepala Yuhanis, melihatkan keadaan nenek yang kusut masai itu.

"Mak cik ni datang dari mana? Rumah kat mana? Datang tadi dengan siapa?" Yuhanis tak nampak sesiapa pun tapi kena tanya juga, takut ada sindiket entah apa-apa yang banyak sekarang ni.

"Rumah nenek sebenarnya di Langkawi tapi tadi nenek datang dari Sungai Petani naik bas ekspres. Dari stesen bas tadi, ambil teksi ke sini. Ke sini tak ada bas kata budak-budak kat stesen tu. Teksi tu turunkan nenek kat simpang depan tu. Nak tanya, tak nampak orang pun. Tu yang jalan sampai sini."

Tu dia aih, kira jauh jugalah untuk nenek ni nak jalan dengan beg besar segini. Yuhanis mencongak sambil mata memandang beg.

"Tentu awal mak cik bertolak dari sana," kata Yuhanis lagi sambil mata menyorot ke hujung jalan, cuba mengukur jarak.

"Sana? Sat tadi aja aih. Boleh tahan juga penatnya," jawab nenek itu seraya jari menuding ke arah simpang nun jauh di hujung jalan besar, mengikut arah pandangan Yuhanis.

Boleh tahan lawak juga nenek ni, bisik hati Yuhanis sambil menyembunyikan senyuman.

"Maksud saya dari Sungai Petani, pukul berapa bertolak dari Sungai Petani?" jelas Yuhanis.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!