NEW: Introducing Tap. Addictive chat stories for your 📲 Now in 10 languages
DOWNLOAD NOW!

Bab 6

14.3K 114 0

Masa terus berlalu. Hari berganti hari. Sudah hampir sebulan Yuhanis hidup dengan status baru. Kehidupan, dalam apa situasi pun akan tetap berlalu bersama peredaran masa. Suka atau pun tak, manusia terpaksa melaluinya juga mengikut kehendak Yang Maha Berkuasa.

Yuhanis menjinjit kasutnya menuju ke pintu. Masa untuk makan tengah hari. Sedikit awal hari ini, baru pukul 11 lebih. Langkah Yuhanis terhenti apabila matanya terpandang satu beg plastik yang terletak di tepi kabinet kasut. Nampak seperti berisi pakaian, bergumpal-gumpal tak berlipat. Dah macam pasembor di kedai mamak.

Pintu kabinet juga tidak bertutup. Ternganga saja menampakkan susunan kasut yang sudah tunggang-langgang. Sepasang stoking yang bercerai dengan pasangan turut berada di situ. Sebelah di atas kabinet, sebelah lagi... Di dalam kasut sukan.

Mesti Mr. Rock terlewat bangun. Itu yang tak jadi Mr. Perfect pagi ini. Yuhanis menyusun semula kasut-kasut di situ. Stoking dikahwinkan dan diletak di atas kabinet. Pintu kabinet ditutup rapat seperti biasa.

Yuhanis membelek beg plastik pula. Tertera nama kedai dobi di situ. Kedai Dobi Fajar Hajar. Nama yang unik. Senang diingati. Yuhanis selalu saja melintas di hadapan kedai dobi itu yang terletak selang dua buah kedai dari kedai makan yang menjadi dapurnya. Juga tidak jauh dari butik yang disinggahnya beberapa hari lalu.

Huh, banyaknya baju kotor. Malasnya. Memang orang lelaki malas basuh baju agaknya.

Hari ini Yuhanis tidak terus ke kedai makan seperti biasa. Yuhanis menuju ke Kedai Dobi Fajar Hajar terlebih dahulu. Naik senget bahunya menjinjing beg plastik itu. Kenapa dia baik hati sangat? Entahlah. Nak kata isteri mithali, tak kena rasanya. Isteri yang tak dipeduli... Hmmm, itu le gayenye. Itu le sebenor-benornye.

"Akak nak ambil baju Encik Saiful Mizan sekali ke?" soal remaja yang bertugas di kaunter kedai dobi itu dengan senyuman mesra. Ada resit lama di tangannya. Sedari tadi memang sedia terlekat di beg plastik yang dibawa Yuhanis.

Mesra alam sekali budak ni. Padahal baru bertemu pertama kali. Berakak lagi.

"Errr, awak kenal ke tuan baju ni? Ada baju yang perlu diambil ke?" tanya Yuhanis kembali.

"Haah, Encik Saiful Mizan ni pelanggan tetap di sini. Semua pakaiannya dihantar basuh di kedai dobi ni. Biasanya setiap kali hantar pakaian kotor, dia akan ambil semua pakaian yang dah siap dibasuh." Terang remaja itu dengan senyuman lagi. Terkebil-kebil matanya merenung Yuhanis. Orang baru.

Tak diambil, nanti tak berbaju pula Mr. Rock nak pergi kerja, fikir Yuhanis. Yuhanis membalas renungan remaja itu seketika.

"Okeylah, saya ambil sekejap lagi. Saya nak pergi makan dulu, awak dah makan ke belum?" tanya Yuhanis sekadar berbahasa dengan remaja itu. Dah tengah hari. Jam di kedai dobi itu pun sudah menunjukkan pukul 12.30.

"Belum lagi, kak. Hmmm, saya bawa bekal roti hari ni. Tak sempat nak masak. Kalau makan kat kedai, sakitlah poket saya ni nanti hihi," jawab anak muda itu sambil ketawa kecil. Bundut baju diangkat ke atas alat penimbang.

"Okey, kak. 10.5 kilogram semuanya."

Yuhanis sekadar mengangguk. Padanlah sampai senget bahu dia membawanya tadi, bisik hati Yuhanis. Bundut baju kemudiannya dimasukkan ke dalam raga di tepi kaunter pula. Nampak macam ringan saja dia mengangkatnya.

Remaja itu menulis sesuatu pada buku resit, kemudian mengoyak resit tersebut lalu dilekatkan pada beg plastik baru. Yuhanis hanya memerhati gerak kerja remaja di hadapannya.

Segak, ada rupa budaknya, tapi kurus sangat. Tinggi pun tinggi. Dah macam kacang panjang tak cukup baja saja. Panjang dan kurus melidi.

"Kalau macam tu saya pergi makan dulu. Kejap lagi sebelum balik saya datang ambil baju tu, okey?" kata Yuhanis sebelum berlalu.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!