Bab 8

23.5K 227 0
                                    

"Assalamualaikum."

Nizam terdiam seketika. Tak percaya.

Hani?!

Rasa tak percaya mendengar suara yang sangat dirinduinya. Bukan setakat suara, malah tuan empunya suara juga. Telefon bimbitnya dilekap kemas di telinga. Nizam tidak silap dengar. Suara itulah yang menemaninya siang dan malamnya satu ketika dahulu. Kini hanya mampu dirindui.

"Hani! Hani!" Bergetar suara Nizam. Hatinya terasa sebak. Nizam tidak menyangka Yuhanis akan menelefonnya. Rupa-rupanya Yuhanis masih sudi bercakap dengannya.

Sepi seketika. Yuhanis terkelu mendengar sebak yang mengiringi namanya yang diseru penuh syahdu. Yuhanis menggigit bibirnya menahan perasaan. Ah, sukarnya.

"Hani, abang tahu Hani masih di sana. Terima kasih kerana sudi call abang. Abang tahu Hani marah pada abang. Hani benci abang sangat-sangat. Abang faham. Abang yang salah dalam hal ini. Abang lelaki bodoh, tak pandai menjaga diri. Patutlah Allah uji abang sebegini. Itu aje yang abang dapat andaikan kenapa abang kehilangan Hani...Abang..." Nizam tak mampu berkata-kata kata kerana sebak lebih menguasai.

Yuhanis jadi semakin sayu mendengar esakan di hujung talian sana. Sebutir-sebutir bak rantai manik terputus talinya, Yuhanis turut menitiskan air mata apabila mendengar esakan Nizam semakin menjadi-jadi. Seumur hidupnya Yuhanis tak pernah melihat Nizam menangis. Sekarang esakan yang kedengaran di telinganya seperti sahaja Nizam berada rapat di sisinya.

Kesian Abang Nizam, keluh Yuhanis dalam hati. Dia perlu buat sesuatu. Kemarahannya telah hilang setelah mendengar cerita dari Puan Azmah. Kini simpati dan kesedihan pula mengambil tempat dalam hatinya. Mereka berdua adalah mangsa keadaan.

Apa pun yang telah terjadi, Yuhanis masih ingat akan segala kebaikan yang pernah dihulurkan lelaki itu kepadanya semasa kecil. Semasa zaman sekolah dahulu. Mungkin peluang ini boleh digunakan Yuhanis untuk membalas budi baik Nizam kepadanya selama ini.

"Abang, tolonglah bang. Kalau abang menangis begini, Hani tak boleh nak cakap. Nanti Hani yang menangis lebih-lebih. Abang sabarlah, jangan menangis lagi. Cubalah kuatkan semangat," pujuk Yuhanis apabila mendengar esakan Nizam yang masih tidak berhenti. Usahkan mahu berhenti, malah bertambah deras sedu Nizam.

Kesudahannya Yuhanis turut menangis. Beriringan dengan esakan Nizam di hujung talian.

Ah, tak boleh begini. Yuhanis cuba kuatkan hati.

Yuhanis berselawat beberapa kali. Yuhanis mencari kekuatan untuk memberi kekuatan kepada bekas tunangnya. Orang yang pernah dicintainya. Orang yang pernah menyayanginya. Mungkin masih juga?

"Abang Nizam ni degillah. Kan Hani dah cakap, jangan sedih-sedih. Tengok... Dengan Hani sekali menangis. Tak pasal-pasal Hani ikut sedih," bebel Hani buat-buat marah.

"Hehehe... Isk isk isk." Tiba-tiba kedengaran tawa Nizam. Dengan sisa-sisa sedunya.

"Okey, okey. Hani tunggu sana... Nanti abang nak errr..."

"Abang jangan nak buat kerja gila datang sini. Abang Nizam duduk diam-diam kat Sungai Rokam tu. Kita cakap kat telefon aje."

"Abang bukan nak ke sana. Abang pun tak berani nak berdepan dengan Hani. Kalau waktu ni Hani ada depan abang, tentu abang akan peluk Hani kuat-kuat."

"Abang Nizam! Tolong jangan cakap merapu macam tu. Hani tak suka. Hani kan dah..."

"Okey, sorry... Sorry. Abang terlalu ikut perasaan. Abang nak naik kereta ni, nak cakap dengan Hani di luar. Nak cakap dengan tenang. Abang call kejap lagi. Janji dengan abang, Hani tak buat abang macam hari tu lagi."

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginWhere stories live. Discover now