Bab 1

40.7K 415 23

Disember 2012.

Ring.... Ring.... Ring.

puan Azmah meletakkan bakul bunga telur yang sedang dihiasnya, lalu segera ke meja telefon di penjuru ruang tamu itu. Gagang telefon dicapai dan dilekapkan ke telinga. Selepas salamnya disambut, Puan Azmah terkejut.

"Eh... Nizam, kamu ada di mana sekarang ni?"

"Errr..."

"Kenapa ni? Ada masalah ke?"

"Errr... Errr... Mak... Errr..."

"Apa ni, Nizam? Apa halnya?" Puan Azmah dilanda cemas.

"Ni... Ni... Zam tak jadi balik, mak."

"Apa?!"

"Mak... Maafkan Nizam. Mak... Bukan Nizam sengaja nak malukan mak dengan ayah. Sebenarnya... Sebenarnya... Ni... Nizam... Nizam dah kahwin di sini, mak."

"Apa?! Apa kamu cakap ni, Nizam? Kamu dah kahwin? Ya Allah! Apa kamu dah buat ni, Nizam? Astaghfirullahalazim. Betul kamu cakap ni? Bila kamu kahwin ha? Dah berapa lama kamu kahwin ni?"

"Errr... Dah... Dah lima bulan, mak. Kami... Nikah sebelum exam. Maafkan Nizam, mak. Bila Nizam balik nanti, Nizam akan jumpa Hani. Nizam akan minta maaf dari Hani. Maafkan Nizam, mak," pinta Nizam seraya menamatkan panggilan.

"Ya Allah, nak buat macam mana ni?" Puan Azmah terduduk lemah di atas sofa bersebelahan meja telefon. Seluruh tubuhnya rasa menggigil. Menggigil kerana terlalu terkejut dan kecewa. Menggigil kerana terlalu marah dengan perbuatan anak bongsunya, Shahrul Nizam. Air matanya mengalir laju bertemankan esakan.

"Azmah? Mah? Mah, kenapa ni?" soal Encik Marzuki yang baru masuk ke ruang tamu. Dia yang baru balik dari masjid terkejut melihat isterinya yang sedang menangis teresak-esak di atas sofa. Kelihatan isterinya masih memegang gagang telefon.

Encik Marzuki segera mendapatkan Puan Azmah dan memaut tubuh isteri kesayangannya. Gagang telefon di tangan Puan Azmah dicapai, lantas dilekapkan di telinganya. Sudah tiada sesiapa di talian. Gagang telefon diletakkan kembali ke tempat asal.

"Siapa, Mah? Siapa yang telefon? Mizan ke? Mizan tak nak balik kenduri esok ke? Dia masih marah pada Nizam lagi agaknya." Bertalu-talu soalan dari Encik Marzuki. Dia sudah tidak sabar untuk mengetahui punca yang menyebabkan isterinya bersedih begitu sekali.

Puan Azmah menggeleng perlahan. Air matanya terus mengalir walaupun puas diseka.

"Bukan Mizan? Habis tu, siapa? Takkan Si Nizam kut? Dia kata kan dia sampai esok, sebelum subuh." Sudah tak sabar Encik Marzuki menunggu jawapan daripada Puan Azmah.

Perlahan-lahan Puan Azmah menganggukkan kepala. Wajah suaminya direnung dengan mata yang berbalam.

"Abang... Errr... Abang jangan terkejut tau. Kita... Kita kena fikir cepat. Kita kena segera cari pengganti Nizam. Dia... Nizam dah kahwin di UK sana, bang."

"Apa?! Nizam dah kahwin?!" Encik Marzuki benar-benar terkejut.

Puan Azmah merenung wajah keruh suaminya sambil mengangguk lemah.

"Nizam kata... Dia dah kahwin lima bulan. Dia takut nak cakap pada kita. Tu yang jadi macam ni," jelas Puan Azmah yang masih belum mengetahui kenapa anak kesayangannya itu bertindak sebegitu.

"Ya Allah! Budak Nizam ni sengaja nak bagi malu kita gamaknya. Budak tak bertanggungjawab, belajar saja tinggi. Otak tak tau letak kat mana. Dia tak fikir langsung ke dengan kita? Dia tak ingat ke dia dah ada tunang di sini?" Encik Marzuki melepaskan kemarahannya.

Encik Marzuki berjalan mundar-mandir di ruang tamu. Kalau Nizam berada di hadapannya kini, mahu saja dibelasahnya anak bongsunya itu sepuas hati. Mahu berbakul-bakul kemarahannya dilepaskan. Namun semua itu terpaksa ditelan.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!