Bab 15

35K 372 112

Yuhanis menghenyakkan punggungnya ke atas katil. Tilam nipis itu menyakitkan punggungnya tapi Yuhanis buat tak peduli. Yuhanis rasa amat geram, tapi nak buat macam mana. Lesen besar ada di tangan lelaki bergelar suami. Hendak dilawan atau dikarate pun terpaksalah Yuhanis menahan diri.

Kedengaran azan maghrib bergema dari surau berdekatan. Bagus punya alasan. Belum sembahyang asar! Tapi itulah yang terlintas dalam kepalanya sebentar tadi. Yuhanis tidak mahu bertengkar dengan Mizan. Buang air liur aje. Lagipun diri sendiri sedang belajar bersabar. Risau kesabarannya menipis. Nanti tak pasal-pasal dari acara debat bertukar acara bertinju pula. Keluhan kecil terbit dari bibirnya.

Alahai, tak lepas! Tak dapat lesen balik kampung. Macam mana ni?

Yuhanis bangun dari katil. Hatinya dipagut gelisah. Tentu Puan Azmah sedang menunggu ketibaannya. Salah dia juga. Cepat sangat cakap boleh balik, tapi manalah dia nak tahu Mizan tidak akan mengizinkan. Macamlah encik si hati batu itu tidak sanggup berpisah dengannya. Macamlah Mr. Rock itu sayang sangat padanya sampaikan tidak sanggup berjauhan.

Yuhanis mundar-mandir di dalam biliknya yang sekangkang kera itu. Matanya jatuh pada beg sandangnya yang dilemparkan ke atas katil sebentar tadi. Dia segera menggagau mencari telefon bimbit. Segera dia mendail nombor Nizam. Itu pun jika Nizam mahu menjawab panggilannya.

Sudah beberapa hari mereka tidak berhubung. Sejak Yuhanis memutuskan talian kerana geramkan Nizam yang cakap tidak bertapis tempoh hari. Panggilannya tidak bersambut.

Yuhanis segera ke bilik air. Lebih baik dia mandi dan sembahyang. Mungkin Nizam juga sedang bersembahyang. Takkanlah Nizam hendak merajuk lama-lama dengannya. Namun jika tiada juga jawapan dari Nizam, Yuhanis perlu mencari alasan agar Puan Azmah tidak kecewa mendengar jawapannya. Abang Mizan tak bagi balik. Baru kecil hati orang tua mereka.

Angin apa yang melanda Mr. Rock pun, entahlah. Jika dalam filem P. Ramlee, orang cakap angin kus-kus. Tapi mungkin sahaja Mr. Rock dilanda Taufan Suraya. Dia orang berdua ni pun entah kes apa. Seorang nak, seorang lagi tak nak. Hari tu nampak macam kecewa sakan bila bini lari. Bila bini datang menginding balik, dia pula mengamuk tak ingat dunia... Tapi...

Eh, eh... Kejap. Jika ada proses damai kelak, dia nak diletakkan kat mana pula, eh? Aaa, mungkin dia akan dimerdekakan lebih cepat. Hmmm, lebih baik begitu sebab Yuhanis tidak berminat untuk terlibat dalam menjalani hidup bermadu. Filem Madu Tiga pun dia tak suka tengok.

Usai sembahyang, Yuhanis mengulang baca surah al-Waqiah sambil menggantung telekungnya. Kali ini lambat pula nak lekat. Sudah beberapa hari masih ayat 20 dan 21. Ah, sekali lagi tersangkut. Yuhanis segera mencapai al-Quran kecilnya.

Yuhanis mengelap rambutnya yang masih separuh lembab dengan sebelah tangan. Tuala kecil Good Morning dikesat berulang kali dikepalanya sambil tangan kanannya memegang al-Quran. Dia mundar-mandir sambil mengulang membaca beberapa kali ayat 20 dan 21. Al-Quran diletakkan semula. Dia cuba menghafaz lagi sambil memejamkan mata.

Hesy, susahnya nak lekat, keluh Yuhanis. Kemudian dia menggigit-gigit bibirnya beberapa kali. Tuala kecil di tangannya ditenyeh-tenyehkan ke kepalanya. Geram.

Langkahnya terhenti. Dia terpacak di tengah-tengah bilik. Fikirannya melayang teringatkan Nizam yang telah hilang entah ke mana. Padanlah susah nak lekat kali ini. Risaukan mak dan ayah di kampung satu hal. Banyak betul perkara yang sedang mengganggu fikirannya ketika ini.Tiba-tiba terlintas dalam kepala Yuhanis untuk meminta Puan Azmah yang menghubungi anaknya sendiri. Siapa lagi? Mr. Rocklah. Dengan mak tentu encik si hati batu itu tidak akan mengamuk. Yuhanis segera menyangkut tualanya ke bahu, lalu mencapai telefon bimbitnya.

"Budak ni memang nak kena!" rungut Mizan sambil menutup laju laci almari baju. Nasib baik jarinya tak terkepit. Jika tidak, tak pasal-pasal jarinya menjadi mangsa gara-gara hatinya yang sedang hangat dengan perbuatan Yuhanis. Entah apalah malang nasibnya dapat isteri perangai macam budak-budak.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!