Bab 3

22.1K 183 0

"Eh, aku kat mana ni ya?"

Yuhanis terjaga daripada lenanya sambil memisat-misat mata. Kemudian Yuhanis menggosok perutnya pula. Perutnya sudah berdendang lagu rap minta diisi.

Seketika kepala dan mata Yuhanis bergerak memerhati sekelilingnya. Bila terpandang cermin meja solek yang retak menanti belah itu, baru Yuhanis teringat di mana dia berada.

Bagus juga cermin retak itu boleh menjadi penanda arah buatnya. Apabila masih mamai ketika terjaga daripada tidur. Sementara hendak menyesuaikan diri dengan tempat baru ini. Bilik baru ini.

Erk, baru ke? soal hati Yuhanis sambil mencebik. Semuanya serba lusuh dan berdebu. Namun Yuhanis sedar betapa ramai lagi orang di luar sana yang tiada bumbung tempat berteduh. Tiada rumah tempat berlindung. Dia ada kipas angin di atas kepala. Masih dikira mewah boleh tidur di atas katil.

Yuhanis meninggalkan katil untuk ke dapur. Pintu bilik dikuak sedikit. Dia menjengulkan kepalanya keluar. Liar matanya memerhati ruang dapur dan seterusnya ke ruang tamu. Yuhanis masih ingat pesanan dan peraturan yang telah diberikan oleh tuan rumah.

Line clear. Terhendap-hendap Yuhanis melangkah keluar dari biliknya. Harap-harap janganlah bertembung dengan encik berhati batu itu.

Perut Yuhanis terasa lapar sekali. Pagi tadi dia telah dikerah oleh encik si hati batu keluar rumah sebaik selesai solat subuh. Itu pun sudah dikira bagus tidak dikeluarkan arahan bersiap selepas salam kedua solat subuh. Baru habis kelam-kabut emak dan ayah dibuatnya.

Dalam suasana pagi yang masih gelap, mereka bertolak meninggalkan Kampung Sungai Rokam. Sepanjang perjalanan, suasana di dalam kereta juga sepi, suram dan kelam. Keadaan menjadi lebih gelap bila Yuhanis menutupkan matanya. Lebih baik dia berpura-pura tidur dan akhirnya Yuhanis betul-betul tertidur.

Bukan Yuhanis tidak mahu berbual untuk menemani suaminya itu memandu, tapi awal-awal lagi Yuhanis telah diberi amaran.

"Not even a word, just shut your mouth." Perlahan saja nada amaran itu tapi sudah cukup untuk Yuhanis patuh dengan sepenuh hati. Muka lelaki di sisinya kelihatan chok saja. Yuhanis tidak berani membuka mulutnya sampai ke sudah.

Sekarang sudah pukul 12.15 tengah hari. Punyalah sedap Yuhanis tidur. Menjadi-jadi pula dia tidur mengalahkan puteri beradu. Sedangkan perut masih kosong, tidak diisi apa-apa. Mungkin disebabkan keadaan rumah begitu sunyi menyebabkan Yuhanis lena tak sedarkan diri. Tiada kedengaran satu bunyi apapun, walaupun bunyi cicak.

Sama ada rumah encik si hati batu ini terlalu bersih ataupun garang sangat sampai cicak pun takut nak tumpang duduk serumah, omel hati Yuhanis.

Encik si hati batu. Hmmm, Mr. Rock. Mana satu sedap ya? Tak apa, nanti ikut saja mana satu yang sedap di mulutnya. Yuhanis tersengih sumbing sendirian.

Dari tingkap di ruang tamu, Yuhanis menjenguk ke hadapan rumah. Wah, bagus! Kereta tidak ada. Maknanya Mr. rock juga tidak ada di rumah ketika itu. Yalah, Mr. rock itu bekerja pagi ini. Yuhanis segera menggeledah dapur. Semua kelengkapan dapur ada. Complete. Makanan saja yang tak ada. Satu apa pun tak ada!

Yuhanis membuka peti sejuk pula. Besar betul peti sejuk ni tapi, hampeh! Cuma ada lima botol besar air mineral saja. Namun Yuhanis tetap kena bersyukur. Orang di Afrika air pun susah nak dapat. Lagi-lagi air mineral yang jernih, sedap dan sejuk. Baru keluar dari peti sejuk lagi.

Segelas air mineral sejuk diteguk. Terasa sejuk dan segar sekali ketika air itu mengalir melalui tekak. Hilang kering di tekaknya. Dapat juga mengurangkan sedikit pedih di perutnya dek kelaparan.

Yuhanis segera meninggalkan dapur lalu masuk ke biliknya semula. Yuhanis menyalin pakaian. Seluar jean biru dan baju Muslimah biru serta tudung yang berwarna biru lembut dikenakan di badan. Dia jadi miss biru hari ini. Baju kurung Puan Azmah yang dipakai ketika datang, dilipat dan disimpan di dalam almari.

Pinggan Tak Retak, Nasi Tak DinginRead this story for FREE!